Dugaan Dari Allah: Hanya Tangisan Atau Ada Kegembiraan?

Semalam saya menerima mesej dari seorang rakan melalui friendster. Mewakilkan seseorang untuk bertanyakan soalan kepada saya. Dan saya sedikit terkejut apabila membacanya. Mungkin kerana itu bukan soalan fiqh. Atau bukan soalan yang biasa-biasa saya jawab. Sebaliknya persoalan mengenai penderitaan yang dialami disebabkan dugaan yang tidak putus datang menimpanya. Dan saya agak takut dan ragu-ragu untuk memberikan jawapan. Mungkin kerana ia juga berkaitan dengan aqidah dan kepercayaan kepada Allah. Namun, seakan menjadi tanggungjawab kepada saya untuk memberikan jawapan yang terbaik. Sabda Rasulullah SAW:

"من نفس عن مؤمن كربة من كرب الدنيا نفس الله له كربة من كرب يوم القيامة، ومن يسر على معسر يسر الله عليه في الدنيا والآخرة، ومن ستر مسلماً ستره الله في الدنيا والآخرة، والله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيه"

“Barang siapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba, selama hamba itu senantiasa menolong saudaranya.”

(Riwayat Muslim dalam kitab Zikir dan Do’a, Taubat dan Istighfar)

Penanya tersebut adalah seorang wanita. Dan biarlah saya ringkaskan soalan beliau seperti berikut:

Pertama, mengenai kasih sayang. Adakah wujud kasih sayang itu? Dan bagaimana kasih sayang boleh dikatakan wujud jika masih wujud pengkhianatan pada kasih sayang itu? Seperti; kenapa kita masih boleh mengingkari perintah Allah sedangkan kita sayang akan-Nya? Dan kenapa kita membenci ibu dan bapa serta melakukan perbuatan terkutuk di luar pengetahuan mereka, sedangkan kita menyayangi mereka.

Kedua,mengenai kesabaran menempuhi dugaan. Banyak sekali yang perlu dia tempuh. Darilah penyakit yang dialami oleh beliau, sehinggalah penderitaan akibat dipinggirkan oleh kedua ibu bapa dan keluarga. Dia juga dikhianati oleh rakan serta hampir menjadi mangsa kerakusan lelaki. Semua perkara itu menyebabkan dirinya tertekan dan menderita.

Sebetulnya susah untuk saya gambarkan mengenai penderitaan yang si penanya itu alami. Rasanya cukup berat. Berikut adalah jawapan dari saya. Semoga dapat dimanfaatkan bersama:

Sebenarnya penderitaan yang saudari tersebut alami adalah implikasi DUGAAN yang Allah berikan kepada beliau. Namun perlu kita ingat. Bahawa Allah tidaklah memberi dugaan melainkan Dia mengetahui bahawa hamba-Nya itu mampu menangani dugaan yang diberikan kepadanya:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

(al-Baqarah: 286)

Itu adalah bukti yang jelas dari Allah sendiri bahawa Dia tidak akan sesekali memberikan lebih dari apa yang sanggup dipikul hamba-Nya. Sewajarnya saudari tersebut bersabar dengan segala dugaan yang diberikan kerana Allah lebih mengetahui apa yang dirancangkan untuk beliau. Dan Dia lebih mengetahui bahawa saudari mampu menangani dugaan yang diberikan itu.

Dan sewajarnya saudari bergembira di atas janji Allah ini:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,

(al-Syarh: 5)

Dan

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

(al-Syarh: 6)

Allah menyebutkan dua kali di dalam al-Quran pada surah al-Syarh (Alam Nasyrah), bahawa selepas setiap kesulitan pasti akan ada kesenangan. Dan sewajarnya bagi kita orang mu’min untuk berpegang dengan janji Allah ini.

Jadi saya nasihatkan agar saudari tersebut memperkukuhkan hatinya dengan keimanan kepada Allah dan berpegang kepada segala janji Allah. dan ketahuilah bahawa Allah itu Maha Adil.

Berkenaan dengan kasih sayang. Kasih sayang sesama manusia ini satu perkara yang subjektif. Tidak jelas. Dan tidak tetap. Dan juga tidak kekal. Juga tidak boleh dijadikan sandaran. Sebab itu walaupun ada perasaan kasih dan sayang, masih wujud juga pengkhianatan. Contoh yang paling hampir adalah cerita saudari ini.

Sebab itu perlu ada sifat cinta kepada Allah melebihi segala-galanya. Kontribusi (penyerahan) kasih sayang kita mutlaknya kepada Allah. Dan jika berlaku pengkhianatan sekalipun ke atas kasih sayang anda berikan sesama manusia,maka anda tidaklah terlalu terkesan dengannya. Kerana anda tahu dan sedar bahawa kasih dan sayang kita adalah kepada, Allah. dan Allah lah tempat kita mencurahkan segalanya; sedih, gembira, suka dan duka. Semuanya anda lampiaskan kepada Allah. Maka sedikit sebanyak anda akan dapat lupakan mengenai kesedihan yang anda alami.

Semuanya bermula dari sifat keimanan itu sendiri. Kerana orang mu’min itu akan selalu kekal di bawah lindungan Allah Ta’ala.

قُلْنَا اهْبِطُوا مِنْهَا جَمِيعًا فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُون

Kami berfirman: "Turunlah kamu semuanya dari surga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran ke atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati."
(al-Baqarah: 38)

Berkenaan sikap ibu bapa terhadap saudari. Bagi saya. kita sebagai anak tidak sepatutnya membenci ibu bapa. Tidak kira walau bagaimana mereka membenci kita sekalipun. Dan sememangnya, melakukan perbuatan terkutuk di luar pengetahuan mereka adalah salah satu sifat penderhakaan. Begitu juga dengan membenci mereka.

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

(al-Israa’: 23)

Itu ayat yang paling jelas bahawa kita tidak sewajarnya bercakap kasar kepada mereka. Apatah lagi untuk membenci mereka.

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya Dengan menanggung susah payah. sedang tempoh mengandungnya beserta Dengan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa tiga puluh bulan. setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa Yang sempurna kekuatanNya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke Dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepadaMu, dan Sesungguhnya Aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)".

(al-Ahqaaf: 15)

Tanggungjawab anak kepada ibu bapa adalah untuk mentaati mereka. Dan tanggungjawab ibu dan bapa kepada anak-anak adalah untuk memberi pendidikan dan nasihat kepada mereka. Sewajarnya saudari tersebut mencari jalan penyelesaian kekeruhan hubungan dengan ibu bapa nya. Cuba berbincang. Atau jika sudah kehabisan alternatif, maka mintalah seseorang yang lebih tua dan berpengalaman untuk menasihati ibu bapa anda. Semoga mereka dibukakan hati oleh Allah Azza wa Jalla.

Itulah sedikit sebanyak jawapan dari saya. Moga membantu.

Allah Ta’ala A’lam.

0 comments: