Suara.. Kita..


Sudah ramai yang mula memberikan respons terhadap penerbitan filem pendek, ‘Fitna’ yang diterbitkan oleh Geert Wilders, seorang ahli parlimen Belanda. Ramai menyokong kenyataan Tun Dr Mahathir Mohammad agar barangan keluaran Belanda diboikot. Namun malang sekali, ada juga yang menyatakan ketidak setujuan dengan terbuka berdasarkan beberapa sebab.


Boikot atau tidak?


Ada suara-suara bertanya, “Kenapa perlu diboikot? Bukankah ramai orang Islam di Negara tersebut. Memusnahkan ekonomi mereka, bermakna menganiaya umat Islam di Belanda.”


Dan ada yang lantang beralasan bahawa, “Kenapa mesi boikot? Seorang sahaja membuat kesalahan. Kenapa perlu dihukum semua?”

Saya hairan, adakah kita telah terlupa bahawa kekecohan yang pernah ditimbulkan oleh akhbar Jylland-Post dari Denmark yang menerbitkan karikatur berunsur penghinaan kepada Rasulullah SAW? Apakah yang menyebabkan kita begitu marah? Kerana mereka secara biadapnya telah menyerang dan melakukan penghinaan terhadap Rasulullah.

Dan apa bedanya pula sekarang ini? Apakah satu filem pendek, yang berisi menyatakan secara jelas penghinaan mereka terhadap al-Quran, khususnya dan agama Islam, secara umumnya ini tiada membawa kesan?

Saya kira, kita semua sudah cukup bijak untuk menilai apa yang haq, dan apa yang bathil.

Tanya saya juga, tidakkah karikatur dari Denmark itu jua dicetuskan oleh satu sosok sahaja. Jawabnya sama. Ya, ia dicetuskan oleh seorang sahaja, dan begitu jua halnya di Belanda.

Namun, apakah kita masih boleh berlapang dada dalam hal ini?

Kepentingan Aqidah

Ya, aqidah menjadi dasar utama untuk berinteraksi dalam hal sebegini. Disebutkan bahawa punca utama kekuatan umat Islam adalah aqidah yang kukuh. Aqidah bagai teras yang menjana kebaikan kepada luaran.

Terikatnya persatuan di antara umat Islam adalah berasaskan aqidah yang sama. Lihat sahaja kesan sirah apabila kaum Muhajirin bersatu dengan kaum Ansar kerana cinta dan kasih kepada aqidah Islam yang mereka anuti.

Dalam surah Ali Imran ayat 19, Allah berfirman, “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.”

Juga dalam surah ali Imran ayat 85, “Barangsiapa mencari agama selain Islam, maka sesekali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang yang rugi.”

Agama ini menjadikan kita disegani, dan aqidah ini merupakan sumber utama kekuatan kita. Kita dahulunya umat yang pernah menguasai 2/3 dunia dengan aqidah menjadi dasarnya.

Disebut di dalam ar-Raheeq al-Makhtum bahawa usul pertama perjanjian perikatan kaum Muhajirin dan Ansar adalah, ‘Mereka adalah umat yang satu di hadapan umat lain.’

Dan mereka adalah umat yang satu, dengan kalimah penyaksian sebagai tulang penegak.

Syahadah itu adalah bagai kunci utama kepada aqidah. Dan di dalam syahadah, termuat dasar penting iaitu keimanan kepada Allah dan juga Rasul-Nya. Kecintaan kepada dua perkara ini adalah perkara yang paling penting. Tidak dapat tidak, aqidah akan mendasar di setiap penjuru perbuatan.

Bagaimana pula kita boleh lari dan cuba bertindak cuai di dalam hal ini? Sedang ia satu isu besar yang melibatkan penghinaan kuffar kepada umat Islam. Begitu lemah sekali kita?

Keimanan yang kuat

Rasulullah SAW sentiasa menjaga ruh para sahabatnya dengan pelbagai motivasi keimanan, menyucikan jiwa mereka dengan pengajaran al-Hikmah (yakni as-Sunnah) dan al-Quran, mentarbiyah dengan tarbiyah yang mendalam, mendorong jiwa mereka untuk menggapai kemuliaan, kesucian hati, kebersihan akhlak, bebas dari kekuasaan kebendaan, memerangi nafsu syahwat. Sebaliknya rindu kepada Rabb yang menguasai langit dan bumi. Baginda menyuluhkan bara di hati mereka, mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya yang terang benderang, serta mengarahkan mereka supaya bersikap sabar terhadap sebarang gangguan. Maka para sahabat bertambah kukuh pegangan agama, semakin reda dari nafsu syahwat, bertambah rindu untuk menggapai keredhaan Allah dan syurga-Nya, bertambah semangat untuk menggali ilmu, faqih dalam agama, menguasai perasaan dan emosi, dan semakin bertambah kesabaran.

Dan kecintaan kepada Rasul akan menyebabkan kita turut menyintai apa yang dibawa dan diajari olehnya. Para sahabat rela dipijak tengkuk mereka, namun mereka tidak akan rela jika Rasulullah tercakar oleh kuku mahupun tertusuk dengan duri. Apakah kita pada hari ini akan rela membiarkan al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad melalui Jibril sebagai perantara itu dihina dan dipermudahkan?

Keimanan para sahabat R.Anhum kepada hari akhirat sangat kuat. Dan kepercayaan inilah yang memperkuatkan azam dan tekad mereka. Mereka mengerti bahawa mereka akan menghadap Rabb mereka kelak, dan akan dihisab amal mereka dengan teliti. Dan mereka yakin bahawa tempat perhentian mereka di syurga yang penuh kelazatan, ataupun neraka yang penuh azab. Mereka hidup di dalam keadaan di antara khauf dan raja’.

Bagaimana kita pula pada hari ini? Adakah kita bersedia untuk menghadap Rabb kita dalam realiti yang kita punya hari ini?

Penutup

Saya menyeru kepada semua pembaca agar mempertimbangkan dan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menangani hal ini. Adakah kita sanggup melihat agama kita ini dihina dan diperlekeh secara berterusan?

Disebutkan di dalam Shahih al-Bukhari, ketika mana Khabab bin al-Art al-Tamimi datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya apakah baginda tidak mendoakan untuk mereka. Baginda SAW duduk dalam keadaan muka yang merah (kemarahan) lantas menjawab, “Dahulu ada orang-orang sebelum kamu ada yang disisir dengan sisir besi sehingga kulitnya menggelupas, namun pekara itu tidaklah menggoyahkan tekad mereka untuk mempertahankan agama. Allah pasti akan mengakhiri semua perkara begitu, sehingga orang berani berjalan dari San’a ke Hadhramaut tanpa rasa takut kepada sesiapapun kecuali Allah, tetapi kamu semua terburu-buru.

Dan saya juga menggesa, agar pihak-pihak yang berkaitan dengan hal ehwal pengguna untuk mengeluarkan satu senarai khas produk dari Belanda yang pasti dan teliti dan bukan sekadar menggunakan maklumat yang diperoleh dari internet untuk diedarkan kepada orang ramai. Ini kerana, pemboikotan yang dilakukan perlulah telus dan berkaitan dengan objektif tanpa perlu membabitkan mana-mana pihak yang tidak berkaitan.


Rujukan:

A’lam al-Sunnah wa al-Manshurah; Hafiz bin Ahmad al-Hikami

Al-Raheeq al-Makhtum, Safiyurrahman al-Mubarakfuri

0 comments: