Bingkisan Kasihku buat Jemaah Tabligh

Saya menulis artikel ini sebagai kesinambungan kepada thread Bincangkan artikel ini, Keluar 3, 40, hari Jemaah Tabligh. Tujuan saya bukanlah untuk menghentam Jemaah Tabligh [JT]. Akan tetapi, kedudukan JT sebagai satu ‘public figure’ untuk agama Islam telah ‘mendesak’ saya untuk menulis artikel ini. Maka, anggaplah tulisan ini sebagai satu luahan ‘perasaan sayang’ saya kepada JT dan rakan-rakan penda’awah.

PERJUANGAN JT

Tidak perlu untuk saya ceritakan dengan lebih lanjut mengenai sejarah JT kerana saya yakin sudah ramai yang tahu akannya. JT lebih dikenali sebagai satu jemaah yang menyebarkan da’awah secara tradisional cukup dikenali oleh masyarakat di seluruh dunia. Jemaah da’awah yang dimulai oleh Maulana Muhammad Ilyas di India telah menjangkau usia yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘senior’.

RELEVAN

Masih relevankah perjuangan JT mutakhir ini? Ada yang berpendapat ya. Dan ada yang mengatakan tidak. Secara peribadi, saya masih lagi merasakan YA. Namun, saya terpaksa mengatakan tidak pada sebahagian yang tertentu.

Ya, kerana saya bersetuju dengan realiti bahawa usaha ini adalah paling mirip dengan usaha Rasulullah S.A.W. Tidak dapat dinafikan bahawa metode da’awah yang mereka gunakan adalah paling hampir kepada metode da’awah Rasulullah S.A.W di mana da’ie akan bersemuka terus dengan mad’u dan memberikan penerangan mengenai agama Islam. Anjuran amalan hidup secara berjemaah oleh pendokong JT juga amat mirip dengan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. Juga dengan kesungguhan mereka untuk menegakkan sunnah Rasulullah S.A.W dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Namun saya tepaksa mengatakan tidak pada sebahagian yang lain kerana masih terdapat kepincangan dalam ‘perlaksanaan’ da’awah mereka sehingga menyebabkan berlakunya fitnah ke atas JT sendiri. Antaranya ialah persoalan perlunya keluar atau ‘khuruj’ sehingga ke IPB selama 4 bulan, tanggungjawab karkun [aktivis JT] kepada keluarga masing-masing dan pengabaian ‘ilmu untuk mengiringi da’awah mereka.

KEPINCANGAN

Masih banyak lagi perkara yang boleh disangkal dalam JT. Keperluan da’awah yang mereka rasakan melebihi dari sesuatu yang lain telah menyebabkan salah faham ke atas JT. Tidak dapat dinafikan bahawa da’awah adalah sesuatu yang penting bukan bagi ahli JT sahaja bahkan bagi ummat Islam keseluruhannya. Keperluan keluar [atau khuruj] selama 3,10 dan 40 hari malah 4 bulan sekalipun telah dipertikaikan oleh pemerhati JT khususnya dan masyarakat amnya. Telah dijelaskan oleh Kapten Hafiz Firdaus dalam artikelnya bahawa ini cumalah dispilin bagi ahli-ahli JT agar dapat menetapkan tempoh yang khusus bagi tujuan berda’awah. Dan saya sendiri bersetuju dengan beliau. Akan tetapi, keperluan keluar berda’awah berdasarkan ketetapan masa ini telah disalah fahamkan oleh ahli-ahli JT sendiri. Ada yang beranggapan bahawa keluar berda’awah selama beberapa hari yang telah ditetapkan itu adalah satu kewajipan. Malahan ada yang beranggapan bahawa da’awah mereka tidak sah jika tidak menjangkau tempoh-tempoh yang telah ditetapkan itu. Sama ada anda benci atau suka dengan apa yang saya katakan ini, namun ahli-ahli JT terpaksa menelan kenyataan saya ini kerana ini adalah hakikat semasa yang berlaku dalam JT.

Selain itu, pengabaian yang berlaku pada keluarga oleh ahli-ahli JT semasa keluar berda’awah juga telah menimbulkan satu persepsi yang buruk oleh masyarakat kepada JT sendiri. Kebaikan dan keperluan da’awah tidak dapat dinafikan. Namun masih terdapat beberapa aspek lain yang perlu diambil kira untuk melakukan da’awah. Keluarga adalah salah satu daripadanya. Yang mana satukah kewajipan? Jika dilihat dari dalil yang shahih. Sudah pasti keluarga. Namun masih ada lagi sesetengah [saya tidak kata keseluruhan] ahli JT yang tidak menyedari akan hakikat ini. Sesuatu yang dinafkan di jalan Allah itu adalah sesuatu yang baik bahkan dituntut. Namun keperluan kepada keluarga adalah lebih utama.

Dari Abu Hurairah R.A katanya Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Dinar yang kamu nafkahkan di jalan Allah [yakni untuk jihad atau ketaatan kepada Allah], dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin dan dinar yang kamu nafkahkan untuk keluargamu, maka yang paling agung pahalanya adalah dinar yang kamu nafkahkan untuk keluargamu’

[Riwayat Muslim]

dan

Dari Abdullah Ibn Amr Ibn al-Ash R.A dia berkata Rasulullah S.A.W bersabda: Cukuplah dosa seseorang apabila dia menyia-nyiakan orang yang menjadi tanggungannya’

[Hadith Shahih diriwayatkan oleh Abu Daud dan lainnya]

Sudah jelas di sini akan kepentingan keluarga melebihi dari sesuatu yang lain. Tidak dapat tidak. Kepentingan keluarga mesti didahulukan.

Pengabaian ‘ilm dalam mengiringi da’awah ahli-ahli JT juga menjadi satu sebab lain yang menyebabkan ahli JT dipandang serong oleh masyarakat. Setuju atau tidak. Kepentingan ‘ilmu telah diabaikan oleh ahli-ahli JT. Mereka lebih suka membentuk kefahaman diri tentang da’awah berdasarkan kitab-kitab JT sahaja dan menolak dari sumber-sumber lain? Malah ada [sebahagian kecil, bukan semua] yang beranggapan ‘ilmu yang banyak itu adalah penghijab kepada hidayah? Kenapa mesti perkara seperti ini berlaku. Bukankah ianya satu tuntutan? Satu sabda Junjungan Ulung Rasulullah S.A.W:

Dari Abu Hurairah R.A katanya Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Sesiapa yang berjalan di atas satu jalan untuk mencari ‘ilmu di dalamnya, Allah akan mempermudahkan jalannya menuju ke Jannah’

[Riwayat Muslim]

dan firman Allah S.W.T:

Katakanlah [Wahai Muhammad]: "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang yang menurutKu, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah [dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik]; dan bukanlah Aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."

[Yusuf: 108]

Ini adalah satu bukti kukuh lagi jelas bahawa ‘ilmu adalah satu keperluan. Baginda S.A.W sendiri amat menitik beratkan kepentingan ‘ilmu. Kenapa kita mesti menidakkannya? Siapakah kita? Maksumkah kita? Sudah tentu sekali jawapannya tidak.

Untuk ahli JT sendiri. Saya bawakan salah satu daripada 6 sifat yang menjadi ‘asas’ kepada JT. ‘ILM wa ZIKR. Bukankah itu sepatutnya menjadi satu ‘petanda’ kepada ahli JT mengenai kepentingan ‘ilmu? Ada sebabnya mengapa ‘ilmu ‘diletakkan bersama’ dengan zikr. Apa yang dapat saya simpulkan dari konsep ‘ILM dan ZIKR adalah penekanan mengenai konsep kepentingan menuntut ‘ilmu yang perlu disetarakan dengan konsep mengerjakan ‘ibadah. Bukankah kita ber’ibadah dengan ‘ilmu yang kita ada? ‘Ilmu yang diperoleh dengan tatasusila yang betul dari al-Quran dan as-Sunnah? Untuk kita ketahui apa yang halal dan haram? Itu adalah hipotesis yang dapat saya buat sepanjang saya berada ‘bersama’ JT. Mungkin saya silap dan betulkanlah saya jika saya melakukan kesilapan. Kerana Allah telah berfirman dalam Kalam-Nya yang suci:

Dan tetap tekunlah Engkau memberi peringatan, kerana Sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang Yang beriman.

[Adz-Dzariyat: 55]

TAQLID

Sikap taqlid atau ekstrem akan jemaah juga perlu diubah. Bukanlah saya menghalang ahli JT ‘menyayangi’ JT. Namun kasihilah kegiatan da’awah yang dinaungi oleh JT dan juga jemaah-jemaah da’awah yang lain. Saya tujukan pendapat saya ini bukanlah kepada ahli JT sahaja, tapi secara keseluruhan. Sikap taqlid dan ekstrem tidak membawa kita selain ke arah keburukan. Sikap taqlid-lah yang menghalang kita dari menerima ‘ilmu, fikrah dan kebaikan dari sumber-sumber lain. JT adalah baik. Begitu juga sumber-sumber lain. Asimilasikanlah sumber-sumber yang baik ini agar menjadi yang terbaik. Kita berada di landasan da’awah atas dasar kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Kita bersama-sama di atas jalan da’awah ini untuk mencontohi Rasulullah, Para Sahabat, Tabi’een dan Tabi’it Tabi’een. Bukankah itu tujuan kita dan merekalah ‘role model’ kita. Kenapa mesti berselisih? Pendapat saya; beradalah dalam jemaah anda TAPI terimalah jemaah lain dengan terbuka untuk membantu UMMAH. Bukankah dengan cara itu kita akan membentuk keadaan yang lebih bagus?

GESAAN

Dan satu gesaan saya kepada masyarakat khususnya. Bentuklah pemikiran-pemikiran positif akan jemaah-jemaah da’awah. Penting sekali bagi mereka untuk menerima sesuatu dari anda setelah mereka memainkan peranan mereka sebagai ‘pemberi untuk berkongsi’ apa yang ada pada mereka. Nah. Inilah masa anda memainkan peranan anda. Bantulah mereka dengan memahami fikrah mereka; untuk mereka memahami fikrah anda pula. Firman Allah:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah [agama Islam], dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan [semasa jahiliyah dahulu], lalu Allah menyatukan di antara hati kamu [sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam], maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka [disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah], lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu [disebabkan nikmat Islam juga]. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

[Ali Imran:103]

Sayangilah mereka [bukan kepada Jemaah Tabligh sahaja; tapi juga kepada jemaah selainnya] yang sanggup memikul beban tugas menyampaikan ini kerana mereka melakukannya untuk mendapat rahmat dan keredhaan dari Allah Rabbul ‘Alamin.

KHATIMAH

Apakah kita akan melebihkan jemaah berbanding dengan keperluan ummah. Dan apakah kita akan terus berada dalam satu firqah sahaja buat selama-lamanya dengan mengabaikan apa yang lebih penting? Kita adalah ummat Islam yang seharusnya sama sahaja di sisi Allah melainkan iman dan taqwa yang menjadi pembeza. Wajar untuk kita membetulkan kembali fikrah kita agar objektif kita diciptakan oleh Allah tercapai. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa saya dan anda sekelian

Allah Ta’ala A’lam

Al-Faqir,

Ariff Arifin

Rabu, 14 Februari 2007

5:08:15

0 comments: