Hujjah Syi’ah dan Jawapannya: Vol. 1

Hujjah Syi’ah:

-Mengenai peristiwa Tsaqifah, di mana Abu Bakr As-Siddiq telah diangkat menjadi khalifah pertama dalam Islam selepas kewafatan Nabi. Si Syi’ah mengatakan bahawa Abu Bakr dan Umar telah melakukan pengkhianatan dalam usaha mendapatkan jawatan sebagai khalifah.

-Mengenai isu tanah Fadak yang kononnya menjadi penyebab bahawa Fatimah membenci Abu Bakr.

-Kisah kononnya Fatimah dibunuh bersama-sama anak di dalam kandungan beliau dan juga kisah bahawa Ali telah diheret semata-mata untuk dipaksa berbai’ah kepada Abu Bakr.

Jawapan:

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad dan seluruh Ahlul Bayt-nya

Insya Allah, saya akan cuba menjawab beberapa persoalan yang telah ditimbulkan oleh saudara X di dalam blognya melalui artikel yang bertajuk “Islam.. Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.” Saudara X telah membangkitkan beberapa persoalan mengenai peristiwa di Tsaqifah Bani Sa’idah dan juga isu pembai’atan Abu Bakar as-Siddiq selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.


Saya mulakan dengan peristiwa di Tsaqifah Bani Sa’idah, saya bawakan satu riwayat seperti yang dikemukakan oleh Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari melalui Abu Ya’la di dalam musnadnya bahawa ketika Abu Bakr R.A, Saidina Umar R.A dan kesemua Ahlul Bayt sedang menyiapkan jenazah baginda S.A.W, seseorang tiba-tiba muncul dari belakang dinding dan memanggil Umar supaya keluar buat seketika. Maka Umar membentaknya dan berkata, “Tidak perlulah, kami sedang sibuk menyiapkan jenazah Rasulullah dan tidak mempunyai peluang” Orang itu lantas berkata, “Ada perkara besar sedang berlaku. Golongan Ansar sedang berkumpul di Tsaqifah Bani Sa’idah, harap tuan pergi untuk memerhatikan keadaan mereka sebelum berlakunya sesuatu yang boleh membawa kepada peperangan.” Mendengar keterangan itu, Saidina Umar terus berkata kepada Saidina Abu Bakr, “Marilah kita pergi.” Dan mereka pergi (dengan tergesa-gesa) (Ibn Hajar al-Asqalani; Fath al-Bari, Jil. 7 Hal. 23)


Riwayat ini jelas sekali menunjukkan mereka pergi dalam tergesa-gesa tanpa sempat memaklumkan kepada sahabat-sahabat yang lain. Sesungguhnya perkara itu terjadi kerana mereka cemas akan kemungkinan berlakunya peperangan akibat perbincangan di Tsaqifah Bani Sa’idah. Dan umum sudah mengetahui bahawa perbincangan yang berlaku di Tsaqifah adalah mengenai pengangkatan khalifah sesudah kewafatan Rasulullah. Saya bawakan kronologi yang berlaku berdasarkan rujukan kepada al-Bidayah Wa an-Nihayah oleh al-Hafidz Ibn Katsir oleh Umar al-Khattab:


Sebahagian kaum Ansar telah keliru dan menyangka bahawa khalifah yang diangkat perlulah berasal dari golongan mereka. Dan mereka berpendapat bahawa merekalah yang paling layak untuk memikul jawatan khalifah. Maka Abu Bakr berbicara dan mengatakan bahawa orang Quraisylah yang paling mulia berdasarkan nasab mereka dan beliau telah menarik dua orang dari Quraisy sebagai pilihan untuk dibai’at. Dan dua orang itu adalah Umar al-Khattab dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah. Maka seorang dari mereka (Ansar) telah bangun dan berkata, ‘ana juzailuha al-muhakkak wa uzaiquha al-murajjab, dari kami seorang pemimpin dan dari kalian pilihlah seorang pemimpin wahai orang-orang quraisy. Perkataan ‘ana juzailuha al-muhakkak wa uzaiquha al-murajjab itu membawa maksud “aku lah pemimpin yang tertinggi.” Maka kekecohan mulai berlaku sehingga Umar dan Abu Bakr mula merasai khuatir akan berlakunya perbalahan. Maka Umar meminta tangan Abu Bakr dan dia pun segera memba’at Abu Bakr. Dan seluruh kaum Muhajirin turut membai’at, serta kemudian kaum Ansar turut serta membai’at. (al-Hafidz Ibn Katsir; al-Bidayah Wa an-Nihayah)


Jadi sudah jelas di sini mengapa Abu Bakr dibai’at dalam keadaan yang tergesa-gesa. Dan kita juga sedia maklum bahawa mereka bukanlah sengaja meminggirkan sahabat-sahabat yang lain, dan mereka juga bukanlah sengaja untuk meminggirkan Saidina Ali sendiri. Bahkan mengenai spekulasi bahawa Saidina Ali menolak untuk tidak membai’at Abu Bakr, itu adalah tidak benar.


Diriwayatkan dari Sa’id bin Musayyab katanya, “Ali bin Abi Thalib R.A keluar untuk berbai’ah kepada Abu Bakr. Setelah beliau mendengar ucapan golongan Ansar, beliau berkata, “Tuan-tuan sekalian, siapakah dari kamu yang sanggup membelakangkan orang yang pernah dikemukakan oleh Rasulullah?” Sa’id bin Musayyab berkata, “Saidina Ali telah mengeluarkan satu ucapan (yang sangat bernilai) yang belum dikeluarkan oleh mana-mana hadirin.” (Ali al-Muttaqi al-Hind; Kanzu al-Ummal, Jil. 3 Hal. 48)


Diriwayatkan dari Abi al-Jahhaf, katanya ketika Abu Bakr dibai’ah dan orang ramai telahpun selesai berbai’ah kepadanya beliau bangkit dan menyuarakan tiga kali kata-kata ini; ‘Tuan-tuan sekalian! Saya menyerahkan bai’ah kamu kepada kamu (pilihlah khalifah lain yang kamu senangi).” Ketika itu berkata Saidina Ali, “Demi Allah kami tidak akan mengambil kembali bai’ah yang telah kami berikan kepadamu. Dan kami juga tidak meminta supaya kamu mengembalikan bai’ah kami kepadamu. Rasulullah S.A.W mengemukakan kamu di dalam sembahyang (sebagai imam). Sekarang siapakah yang akan membelakangkan engkau pula?” (al-Balazuri; Ansabu al-Asyraf, Jil. 1 Hal. 587)


Nah! Ini bukti bahawa Ali bin Abi Thalib tidak menolak untuk membai’at Abu Bakr kerana beliau turut serta bersama-sama sahabat lain untuk membai’at Abu Bakr. Berkenaan dakwaan bahawa Ali telah disiksa, itu tidak benar sama sekali. Bahkan dakwaan ini banyak muncul berasalkan sebuah kitab al-Imamah Wa as-Siasah yang kononnya dinukilkan oleh Ibn Qutaibah. Padahal kitab tersebut nukilannya bukanlah oleh Ibn Qutaibah atau nama sebenarnya Abdullah bin Muslim. Tetapi disyaki ditulis oleh Ibrahim bin Qutaibah, seorang Syi’ah pelampau yang turut hidup pada zaman itu. Begitu juga kitab Iqdul Farid oleh Ibn Abdi Rabbih. Juga mengandungi berita-berita palsu dan tidak benar. Ibn Katsir ketika memberikan komentar mengenai kitab ini mengatakan bahawa, “Kata-katanya menunjukkan beliau seorang Syi’ah.” Begitu juga cerita di dalam Tarikh at-Tabari. Ibn Humaid yang diambil ceritanya oleh at-Tabari dianggap sebagai seorang yang paling mahir berbohong dan dia dianggap sebagai orang yang suka memutar-mutarkan riwayat dan juga sanad-sanadnya. Dan sebagai menutup segala tuduhan mengenai penyeksaan yang dilakukan kepada Saidina Ali dan juga Fatimah, maka di sini dinukilkan kenyataan tokoh Syi’ah sendiri iaitu Ibn Abi al-Hadid di dalam kitabnya Nahju al-Balaghah, “Ada pun cerita yang menyebutkan bahawa telah berlaku serangan ke atas rumah Fatimah dan telah dikumpulkan kayu api untuk membakarnya, maka itu adalah khabar wahid yang tidak boleh dipercayai dan tidak sesuai dikatakan kepada para sahabat, bahkan kepada sesiapa pun yang jelas keadilannya.”(Ibn Abi al-Hadid; Syarh Nahju al-Balaghah, Jil. 4 Hal. 63)


Berkenaan keengganan Fatimah berbai’at kepada Abu Bakr ianya adalah perselisihan yang disebabkan oleh tanah di Fadak. Fatimah dan Abbas telah menuntut perkara-perkara tersebut, maka Abu Bakr menyatakan sebuah hadith Rasulullah yang terdapat dalam Shahih al-Bukhari; “Kami tidak mewariskan, dan apapun yang kami tinggalkan hakikatnya adalah sedekah, dan sesungguhnya keluarga Muhammad mendapatkan nafkah makanan mereka dari hasil harta ini.” Dan kemudian Abu Bakr melanjutkan perkataannya, “demi Allah aku tidak akan meninggalkan sesuatu perkara yang aku lihat Rasulullah S.A.W mengerjakannya kecuali aku akan pula melakukannya!” dan sejak itu Fatimah memboikot dan tidak berbicara dengannya sehingga wafat.


Hadith ini telah diriwayatkan oleh Abu Bakr dari Rasulullah. Dan tidak sewajarnya kita mengatakan bahawa Fatimah mencurigai hadith ini. Kerana Fatimah jika kita ketahui bukanlah menolak perkara syari’ie yang beliau tidak ketahui. Bahkan beliau telah menuruti banyak sekali perintah syar’ie yang beliau tidak ketahui sebelumnya (sebelum disampaikan kepadanya). Riwayat ini juga sebenarnya tidak diketahui oleh para isteri Rasulullah sehinggalah dikhabarkan oleh ‘Aisyah dan mereka kemudian sepakat menerimanya. Maka tidaklah sesuai mengatakan disebabkan kecurigaan Fatimah terhadap hadith ini maka timbul perselisihan. Kerana para sahabat lain turut sama bersepakat untuk menerima keshahihan hadith ini. Maka sebab sebenar perselisihan tidaklah dapat dipastikan. Namun jika Fatimah dan Abu Bakr dikatakan berselisih kerana tanah di Fadak, maka sesungguhnya Abu Bakr telah mengemukakan alasan yang kukuh iaitu bersumberkan hadith tersebut. Dan tanah di Fadak itu juga tidak diwarisi oleh keluarga Abbas. Kerana Bani Abbas juga tergolong dalam kelompok Ahlul Bayt, inilah DEFINISI AHLUL BAYT yang sebenar, iaitu golongan yang diharamkan menerima sedekah yang meliputi keluarga Ali, Ja’afar , Aqil dan juga Abbas. Dan kenapa mereka ini (selain keluarga Ali) dipinggirkan dari kelompok Ahlul Bayt oleh golongan syi’ah?


Berkenaan penyeksaan Fatimah sehingga menyebabkan kematian, maka tidak dapat dipastikan dari manakah saudara X mengambil jalan periwayatan itu. Kerana riwayat yang masyhur mengatakan bahawa Fatimah wafat akibat sakit dan bukanlah penyeksaan. Saya sudah menjelaskan mengenai spekulasi pemaksaan pembai’atan Ali dan keluarga dan di sini ada diriwayatkan oleh al-Hafidz al-Baihaqi dari Amir as-Sya’bi, dia berkata, ketika Fatimah sakit Abu Bakr datang menemuinya dan meminta diberi izin masuk. Ali berkata padanya, “Wahai Fatimah, Abu Bakr datang dan meminta izin agar diizinkan masuk.” Fatimah bertanya, “Apakah engkau ingin agarku memberikan izin baginya?” Ali berkata, “Ya!” Maka Abu Bakr masuk dan berusaha meminta maaf kepadanya sambil berkata, “Demi Allah tidaklah aku tinggalkan seluruh rumahku, hartaku, keluarga dan kerabatku kecuali hanya mencari redha Allah, redha RasulNya dan Redha kalian wahai Ahlul Bayt.” Dan Abu Bakr terus memujuk sehingga akhirnya Fatimah rela dan akhirnya memaafkannya. (Dala’il an-Nubuwwah, Jil. 7 Hal. 281)


Riwayat tersebut datang dengan sanad yang baik dan kuat. Maka jelas sekali di situ bahawa Fatimah meninggal akibat sakit, dan bukanlah disebabkan oleh penyeksaan dari Abu Bakr. Malahan di situ turut dijelaskan bahawa Fatimah telah memilih untuk memaafkan Abu Bakr di akhir hayatnya. Dan pembai’atan Ali selepas kewafatan Fatimah adalah pembai’atan kali kedua selepas peristiwa di Tsaqifah Bani Sa’idah. Namun ada yang telah tersalah anggap atau mahu memanipulasikan cerita telah menuduh bahawa Ali hanya membai’at Abu Bakr selepas kewafatan Fatimah. Maka timbullah dongengan karut menyatakan bahawa Ali membai’at kerana takut akan paksaan Abu Bakr dan para sahabat yang lain. Ini jelas sekali satu penipuan yang dilakukan oleh golongan rafidhah untuk menegakkan benang yang basah.


Bahkan cerita mengenai terdapatnya wasiat untuk memilih Ali sebagai Khalifah, itu juga adalah tidak benar. Mustahil untuk para sahabat menukar dan mengkhianati wasiat Rasulullah. Bahkan jika benar terdapatnya wasiat memilih Ali, mengapa tidak menggunakannya sebagai hujjah beliau. Mustahil bagi para sahabat yang taat untuk menolak hujjah Ali melainkan para sahabat sudah berpaling (murtad) sebagaimana yang diwar-warkan oleh golongan rafidhah (syi’ah). Jika benar wujud wasiat tersebut, maka ia akan menjadi satu senjata yang hebat bagi Ali untuk menghujjat para sahabat bahawa beliaulah paling layak memegang peranan sebagai khalifah. Dan jika beliau tidak menunaikan wasiat tersebut, maka sudah pasti beliau dianggap lemah. Dan jika beliau mampu, tetapi hnaya membiarkannya maka beliau sudah dianggap mengkhianati wasiat itu sendiri! Jadi jelas sekali bahawa tidak pernah wujud wasiat kepada Ali sebagaimana yang digembar-gemburkan.


Mengenai peperangan Jamal dan Siffin, apa tanggapan Saidina Ali kepada mereka? Beliau tidak pernah menanggap bahawa golongan yang berada di hadapan (memusuhi) beliau sebagai kafir. Tetapi beliau menyatakan bahawa mereka adalah golongan pembangkang dan tidak lebih dari itu. Dan mengenai Muawwiyyah pula, walaupun beliau mempunyai perselisihan dengan Saidina Ali tidak sewajarnya untuk kita mencela beliau. Ini kerana Allah lebih tahu mengenai perselisihan yang timbul. Dan di sini ingin dijelaskan bahawa Saidina Hasan dan Husain R.A mempunyai hubungan yang baik dengan Muawiyyah. Maka untuk menuduhnya sebagai kejam terhadap Ahlul Bayt adalah tidak berasas sama sekali. Bahkan lebih dari itu, Saidina Hasan sendiri lah yang menyerahkan jawatannya sebagai Khalifah kepada Muawiyyah dan ianya berlaku bukanlah atas dasar paksaan. Saidina Hasan membai’atnya dan seterusnya menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Muawiyyah. Dan tahun penyerahan yang berlaku pada tahun 40 atau 41 Hijrah itu dinamakan sebagai tahun jama’ah disebabkan oleh persepakatan orang-orang mu’min mengenai Muawiyyah. Perbuatan Saidina Hasan sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W yang ada diriwayatkan di dalam shahih al-Bukhari, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya cucuku ini adalah sayyid. Allah akan mendamaikan dua kelompok besar melalui tangannya.”


Dan saya sebagai seorang muslim menerima kesemua empat sahabat yang memegang tampuk kekhalifahan mahdiyyin tanpa berlepas diri walau seorang pun daripada mereka. Maka inilah tindakan yang paling wajar dan adil untuk dilakukan oleh setiap mereka yang bergelar muslim tanpa membelakangi mana-mana sahabat Rasulullah. Jadi di sini buat sahabat ASWJ sekalian, saya nukilkan pendapat seorang ulama’ salaf iaitu Imam Abu Zur’ah ar-Razi, “Bila engkau lihat seseorang mencari-cari kesalahan mana-mana sahabat Rasulullah S.A.W, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya orang itu adalah zindiq, kerana Rasulullah S.A.W di sisi kita adalah benar dan al-Quran (juga) benar. Dan al-Quran dan as-Sunnah disampaikan kepada kita oleh sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W itu. Mereka sebenarnya mahu mencederakan saksi-saksi kita. Untuk membatalkan al-Quran dan as-Sunnah, mereka itulah yang patut dicederakan. Itulah dia orang-orang yang zindiq. (Khatib Baghdadi; al-Kifayah Fil ‘Ilmi ar-Riwayah, Hal. 49)


Allah Ta’ala A’lam


Disusun oleh Ariff.Arifin

2 comments:

Unknown said...

salam
sepatutnya, jika anda tidak mengetahui ttg Syiah, lebih baik janagn bicara mengenainya. Banyak kelemahan tulisan anda, selain tidak memberikan rujukan blog atas jawapan anda itu. Apakah anda takut sekiranya pihak blog lawan anda itu menjawab semula tulisan anda ini? ini tidak etik dalam jawapan atas tulisan org lain, dan boleh sahaja org akan mengatakan anda sengaja merekayasa klaim anda ini.

buat masa ini saya akan bawa dua point sahaja:

1) Bukhari menyatakan: kaum Ansar, Imam Ali, Zubair dan org2 yg bersamanya tidak bersama kami/ dalam terjemahan Muhsin khan : Opposed us.
apakah anda nampak berlaku ijmak atas perlantikan Abu Bakar? dan apakah anda nampak Imam Ali a.s membaiah Abu bakar di sini?
(rujuk bab rejam wanita hamil kerana berzina)

2) hadis Fadak riwayat Muslim dari Aisyah: Fathimah tidak berbicara dengan Abu bakar 6 bulan, dan selama ini Imam ALi a.s tidak membaiah Abu bakar. Hanya setelah terlihat orang2 mula bersikap dingin terhadapnya, barulah Imam Ali a.s mahu berdamai dengan Abu bakar, dan perhatikan kata2 Imam Ali bahawa Abu Bakar tidak mengajaknya utk berbaiah.

Apakah anda nampak Imam Ali a.s membaiah Abu bakar dalam keadaan rela? Dan perhatikan hujjah Imam Ali a.s bahawa beliau percaya beliau ada hak dalam kekhalifahan.

(kalau tak tahu rujukan kitab2 tersebut, bagitau saya, nanti saya tunjukkan kepada anda)

Kalau saya punya waktu, saya akan bangkitkan soalan2 lain sekitar apa yg anda fitnahkan ini- eg. Fadak, perselisihan Abu bakar dengan Puteri Rasulullah saaw. kecintaan anda kepada Muawiyyah...tapi kalau anda mau, cukup saya boleh berikan link2 sesuai utk anda dari kalangan blogger Syiah, dan anda boleh bertanya terus kepada mereka tanpa bersikap seperti apa yg anda lakukan kepada 'Mr. X' ini.

wassalaam

Ariff Arifin said...

insya Allah saya akan kaji kritikan tersebut.