Hujjat Syi’ah
-Tuduhan bahawa Abu Bakr dan Umar mengajak Abu Ubaidah semata-mata kerana ingin melambatkan pengkebumian Rasulullah SAW.
-Menanggap bahawa Rasulullah telah memberikan wasiat bahawa Ali adalah pengganti baginda.
-Menuduh Saidina Umar telah melakukan pengkhianatan terhadap keluarga Ali dan Fatimah sehingga menyebabkan kematian beliau.
-Mengatakan bahawa Abu Bakr dibenci oleh Rasulullah kerana menyakiti Fatimah.
-Menuduh Khalifah Muawwiyyah sebagai pencerca utama kepada Saidina Ali.
-Menuduh bahawa Ahlus Sunnah telah bertindak menyembunyikan fakta mengenai kebenaran sejarah selain kononnya menggunakan sumber-sumber dari pihak Ahlus Sunnah sendiri untuk menghujjat mereka semula.
Jawapan:
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad dan seluruh Ahlul Bayt-nya
Di sini saya akan cuba menjawab dua artikel yang dibentangkan oleh saudara X sebelum ini. Pada artikel yang pertama, saudara X telah menuduh saya sebagai bias dalam menilai sejarah. Dan di sini saya ingin tegaskan bahawa saya tidak bertindak berat sebelah dalam menilai sejarah-sejarah Islam.
Saudara X menyatakan bahawa Abu Bakr dan Umar telah bertindak khianat dengan tidak mengajak sahabat-sahabat yang lain. Namun masih pula sempat mengajak Abu Ubaidah. Di sini saya akan cuba menjelaskan perkara tersebut dari perspektif Ahlus Sunnah. Sebelum ini sudah saya jelaskan mengapa Abu Bakr dan Umar tidak mengajak lain-lain sahabat untuk pergi bersama ke Tsaqifah adalah di atas sebab bimbangnya mereka akan kemungkinan berlakunya kekecohan disebabkan perselisihan mengenai siapakah yang sepatutnya diangkat sebagai khalifah selepas peninggalan Rasulullah. Juga diriwayatkan dari Umar al-Khattab;
Ketika Rasulullah wafat, maka Ali, az-Zubair dan orang-orang yang berserta mereka tidak ikut sama kerana pada masa itu mereka berada di rumah Fatimah. Kaum Ansar tidak seluruhnya berkumpul bersama kami. Lalu datanglah kaum Muhajirin kepada Abu Bakr, aku katakana kepadanya, “Wahai Abu Bakr mari kita berangkat menuju kepada saudara-saudara kita dari golongan Ansar!” Maka kami seluruhnya berangkat menuju kepada mereka dan bertembung dengan dua orang shalih dari golongan Ansar (dan) mereka menceritakan kepada kami apa yang sedang dibincangkan oleh kaum Ansar. Mereka berkata, “Hendak kemanakah kalian kaum Muhajirin?” Aku menjawab, “Kami mahu menemui saudara-saudara kami kaum Ansar!” Maka mereka berdua berkata, “Janganlah kalian mendekati mereka, tetapi selesaikanlah urusan kalian sendiri.” Maka aku menjawab, “Demi Allah kami akan menemui mereka,”(al-Hafidz Ibn Katsir; al-Bidayah Wa an-Nihayah)
Sudah kita maklum bahawa keadaan selepas kewafatan Rasulullah adalah begitu genting. Betapa ramai yang telah berbalik kepada asal (murtad) dan betapa ramai juga yang merebutkan jawatan sebagai pemimpin ulung. Maka tidak hairanlah jika Abu Bakr dan Umar begitu tergesa-gesa kerana bimbang akan berlakunya perpecahan di kalangan ummat Islam seluruhnya. Dan sudah saya jelaskan sebelum ini pada artikel lepas bahawa walaupun ada sesetengah riwayat yang menyatakan Ali tidak berbai’at kepada Abu Bakr, namun ada juga riwayat yang menyatakan bahawa Ali ada berbai’at. Saya sudah bawakan hujjjah dari Kanzu al-Ummal dan Ansabu al-Asyraf, namun untuk memuaskan hati saudara X, saya naqalkan juga satu riwayat dari Tarikh at-Tabari:
Bahawa Amar bin Huraits bertanya kepada Said bin Zaid, “Adakah engkau menyaksikan kewafatan Rasulullah S.A.W? berkata Said, “Ya.” Amar bertanya, “Bilakah Abu Bakr diba’ah?” Said menjawab, “Pada hari Rasulullah wafat itu juga. Mereka (sahabat) tidak mahu berada walaupun separuh hari tanpa bersama jema’ah.” Amar bertanya lagi, “Adakah seseorang tidak menyetujui bai’ah itu?” Berkata Said,”Tidak. Tidak ada kecuali orang yang murtad atau orang yang hampir jadi murtad di kalangan kaum Ansar sekiranya tidak menyelamatkan mereka.” Amar bertanya lagi, “Adakah seseorang dai kalangan muhajirin tidak ikut berbai’ah?” Said menjawab, “Tidak ada, golongan Muhajirin bertubi-tubi datang berbai’ah kepada Abu Bakr tanpa diminta dari mereka (supaya berbai’ah).”
Jelas dinyatakan dari riwayat tersebut bahawa “..golongan Muhajirin bertubi-tubi datang berbai’ah..” dan di situ juga ada dinyatakan bahawa orang yang tidak berbai’ah adalah “..orang yang murtad atau orang yang hampir jadi murtad di kalangan kaum Ansar..” sahaja. Maka adakah golongan Syi’ah ingin meletakkan Saidina Ali pada kedua-dua kalangan manusia yang disebutkan itu? Adapun mengenai kemarahan Ali dan juga Zubair al-Awwam seperti yang dinyatakan, maka saya akan cuba merungkai perkara sebenar yang berlaku berdasarkan riwayat yang dikemukakan oleh Musa bin Uqbah di dalam Maghazinya:
Dari Saad bin Ibrahim kata beliau, “Ayahku menceritakan bahawa ayahnya; Abdul Rahman bin Auf ada bersama Umar. Muhammad bin maslamah telah mematahkan padang Zubair kemudian Abu Bakr berucap. (Di dalam ucapannya) beliau menyatakan keadaannya kepada orang ramai. Kata beliau, “Demi Allah aku tidak pernah berhasrat untuk mendapatkan kekuasaan walaupun sehari dan semalam. Tidak pernah juga aku memohon kepada Allah untuk mendapatkannya; sama ada secara sunyi mahupun secara terbuka.” Setelah mendengar ucapan beliau itu, golongan Muhajirin menerima kata-katanya itu, tetapi Ali dan Zubair berkata, “Kemarahan kami kerana tidak kerana lain melainkan tidak dikemukakan (diajak) di dalm mesyuarat (di Tsaqifah), sedangkan kami juga berpendapat bahawa Saidina Abu Bakr adala orang yang paling layak untuk menjawat jawatan ini. Kerana beliaulah orang yang berada di samping Rasulullah S.A.W di dalam Gua Tsur (ketika dikejar musuh) dan beliaulah orang yang disebutkan oleh Allah sebagai salah seorang dari dua orang (di dalam al-Quran). Kami mengakui kebaikan dan keutamaan beliau. Rasulullah S.A.W pernah menyuruh beliau mengimamkan sembahyang sewaktu Baginda S.A.W masih hidup.” (al-Hakim; al-Mustadrak, Jil. 3 Hal. 66 & al-Baihaqi; as-Sunan, Jil. 8 Hal. 152-153)
Jika dinilai dari riwayat ini, jelaslah bahawa mereka hanya berkecil hati akibat tidak diajak sama dan bukanlah menentang perlantikan Abu Bakr sebagai khalifah . Kerana menurut pandangan mereka berdua, perpecahan dan pergeseran mungkin berlaku pada hari itu (dan) boleh menyebabkan kerugian dan porak perandanya ummat Islam. Akan tetapi jika mereka juga turut hadir bersama, maka tentu mereka juga akan menyokong sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat yang lain. Dan riwayat Musa bin Uqbah ini juga turut dinyatakan di dalam kitab Syi’ah sendiri oleh Ibn Abi Hadid di dalam kitabnya, Syarh Nahju al-Balaghah!
Adapun mengenai penyeksaan yang dilakukan kepada Fatimah sehingga menyebabkan keguguran anak ketiganya serta kematian Fatimah itu sendiri; masih tidak dapat dikenal pasti keshahihannya kerana saudara X tidak mengemukakan sumber rujukan beliau. Dan sudah ditegaskan bahawa berita itu adalah berita palsu.
Berkenan hadith yang meyatakan bahawa “kemarahan Fatimah adalah kemarahanku” pula, adakah saudara X terlupa untuk menceritakan Asabul Wurud hadith ini? Mengapa hadith ini disebut oleh Rasulullah? Adakah saudara terlupa bahawa perbuatan Ali yang ingin mengahwini anak perempuan Abu Jahal juga menyebabkan kemarahan Rasulullah? Bahawa Rasulullah S.A.W merasa tidak senang dengan keputusan Ali yang ingin meletakkan anak seorang musuh setaraf dengan anak perempuan yang amat dikasihi oleh Baginda S.A.W sendiri. Jadi, adakah dengan itu Ali juga menjadi orang yang dibenci? Nah! Inilah buktinya. Adakah Abu Bakr itu sebagai orang yang dibenci, ataupun Ali sendiri?
Dan adalah tidak adil bagi saya apabila saudara X juga menuduh bahawa saya mereka-reka cerita mengenai Fatimah memaafkan Abu Bakr, sedangkan saya telah mengemukakan sumber saya. Dan saudara boleh merujuk al-Bidayah Wa an-Nihayah karangan Ibn Katsir, iaitu sebuah kitab sejarah yang tinggi nilainya di sisi Ahlus Sunnah. Dan saya juga telah menyatakan riwayat itu mempunyai sanad yang baik. Berkenaan riwayat yang menyatakan Ali menanam Fatimah tanpa pengetahuan Abu Bakr pula, di sini saya juga bawakan satu riwayat yang berkenaan sebagai alternatif kepada Tarikh at-Tabari iaitu apabila Ali sendiri meminta Abu Bakr menyembahyangkan jenazah Fatimah (Siddiq Akhbar; Kanzul Ummal, Hal. 424)
Mengenai tuduhan saudara X yang menyatakan bahawa Ahlus Sunnah menolak hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Ahlul Bayt, itu tidak benar sama sekali. Perlu kita ketahui bahawa walaupun hadith yang diriwayatkan oleh Ahlul Bayt tidak banyak terdapat dalam kitab-kitab hadith Ahlus Sunnah; namun ianya tidak bermaksud bahawa ianya sudah diseleweng atau disembunyikan. Dan perlu juga diingat bahawa hadith-hadith yang diriwayatkan oleh para-para sahabat seperti Abu Bakr, Umar dan Uthman juga boleh dibilang dengan jari. Dan adakah ini bermaksud bahawa Ahlus Sunnah juga cuba berbuat perkara yang sama hadith-hadith para sahabat tersebut? Maka jawapannya adalah tidak! Ahlus Sunnah bertindak adil dalam menilai setiap hadith. Bagi mereka yang mendalami ‘Ulum al-Hadith, akan mengetahui bahawa setiap perawi akan dinilai berdasar ilmu Jarh Wa Ta’dil. Dan mana-mana perawi yang diragui akan tertolak.
“Sesungguhnya orang yang sangat besar jasanya padaku dalam persahabatan dan kerelaan mengeluarkan hartanya adalah Abu Bakr. Andai saja aku diperbolehkan mengangkat seorang khalil selain Rabbku pastilah aku memilih Abu Bakr, namun cukuplah persaudaraan se-Islam dan kecintaan kerananya. Maka janganlah ditinggalkan pintu di Masjid ini melainkan pintu Abu Bakr sahaja.”
Juga sabda Baginda S.A.W semasa beliau berada di Uhud bersama Abu Bakr,Umar dan Uthman; maka tidak semena-mena gunung tersebut bergoncang. Maka kata Baginda:
“Diamlah wahai Uhud, sesungguhnya di atas mu ada seorang Nabi, seorang Shiddiq dan dua Syahid.”
Lihatlah cintanya Baginda Rasulullah kepada Abu Bakr. Dan juga cinta Abu Bakr kepada Rasullah. Dan saudara X langsung tidak menyatakan mengenai hal ini. Adakah hal ini berlaku disebabkan prasangkanya kepada Abu Bakr dan sahabat-sahabat yang lain? Maka jawapan hanyalah ada di tangannya.
Berkenaan Saidina Muawiyyah telah mencerca Saidina Ali, maka itu adalah khilaf di dalam sejarah. Bahkan tidaklah dapat dipastikan sejauh mana keshahihannya walaupun terdapat riwayat. Terdapat juga riwayat yang menyatakan Muawiyyah memuji-muji Ali. Tetapi, mengapa tidak diambil? Perbuatan sesetengah pihak yang hanya suka mencari kesalahan adalah ibarat seseorang manusia yang suka kepada perkara yang busuk sahaja. Di sini saya bentangkan beberapa bukti sejarah yang menyatakan bahawa Ali pernah dipuji oleh Muawiyyah:
Saidina Muawiyyah setelah mendengar Dharir memuji Ali dengan panjang lebar dan meyatakan keutamaannya, beliau (Muawiyyah) terus menangis seraya berkata, “Semoga Allah merahmati Abul Hasan (Ali). Demi Allah sebenarnya begitula keadaannya (seperti yang dipuji oleh Dharir).”(al-Isti’ab, Jil. 3 Hal. 4344 & a-Riadhu an-Nadhirah, Jil. 2 Hal. 212)
Dan
Apabila datang mengenai berita kematian Saidina Ali sampai kepada Muawiyyah, beliau ketika itu sedang berehat di rumah isterinya yang bernama Fakhtah bin Qarzah. Bila saja mendengar berita itu beliau terus berkata, “Inna Lillah..” dan terus menangis. Isterinya bertanya, “Engkau menangis? Sedangkan sebelum ini engkau menentanginya?” maka kata beliau, “Sesungguhnya engkau tidak tahu betapa manusia telah kehilanga keutamaan fiqh dan ilmu dengan kehilangannya.”(al-Hafidz Ibn Katsir; al-Bidayah Wa an-Nihayah, Jil. 8 Hal. 130)
Tidaklah dapat dibuktikan bahawa Muawiyyah adalah golongan penentang. Walau terdapat hadith Rasulullah yang menyatakan bahawa Ammar bin Yassir akan dibunuh oleh golongan penentang. Maka ini menjadi menjadi bukti bahawa Muawiyyah tidak patut dicerca dan dilaknat, sedangkan beliau adalah seorang sahabat yang telah diberitakan syurga berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari berikut:
“Tentera pertama dari ummatku yang berperang dengan meredah lautan pasti mendapat syurga.”
Dan peristiwa perang menerusi lautan yang berlaku pada tahun ke-28 Hijrah berada di bawah pemerintahan Muawiyyah. Bahkan keluarganya adalah disenangi dan disayangi oleh Rasulullah berdasarkan riwayat al-Bukhari dan juga Muslim:
Pada hari pembukaan Mekah, ayah dan ibu Saidina Muawiyyah memeluk Islam. Ketika itu Hidun (ibu Muawiyyah) datang mengadu kepada Rasulullah dengan berkata, “Pernah di suatu ketika saya rasakan bahawa tidak ada satu keluarga yang menyukakan (menyenangkan hati) saya kehinaannya dari keluarga tuan dan hari ini pula saya rasakan bahawa tidak ada satu keluarga yang menyukakan saya kemuliannya dari keluarga tuan.” Maka Rasulullah pun bersabda, “Demi tuhan yang nyawaku berada di tangannya! Begitulah juga keadaan saya!”
Allah Ta’ala A’lam
Disusun oleh Ariff.Arifin
Verses Of Life mengesyorkan juga membaca Muawiyah bin Abu Sufyan RA di sisi Ahli Sunnah?
0 comments:
Post a Comment