Hujjah Syi’ah dan Jawapannya: Vol. 3

Hujjat Syi’ah

-Menggunakan hadith Tsaqalain sebagai hujjah bahawa Ahlul Bayt adalah keutamaan.

Jawapan:

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad dan seluruh Ahlul Bayt-nya


Berikutnya akan saya jelaskan mengenai hadith tsaqalain yang digunakan oleh golongan Syi’ah untuk menghujjat golongan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah mengenai keutamaan Ahlul Bayt serta kedudukan mereka untuk menjadi pengganti Rasulullah selepas kewafatan Baginda. Hadith tersebut didawka oleh Syi’ah sebagai hadith mutawatir, bahkan terdapat dalam riwayat Muslim sendiri. Namun Ahlus Sunnah didakwa sebagai telah mengabaikan hadith ini. Namun jika mengikut kajian Ahlil Hadith, kedudukan hadith ini tidaklah sampai ke taraf mutawatir. Walaupun banyak diriwayatkan, namun hanya tiga sahaja yang menepati taraf shahih; iaitu yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Shahih-nya, Imam Ahmad di dalam Musnad-nya serta Imam Darimy di dalam Sunan-nya. Adapun, riwayat Imam Ahmad itu tiada berbeza dengan riwayat oleh Imam Muslim 2-3 patah perkataan sahaja manakala hadith yang terdapat di dalam Sunan Darimy telahpun diringkaskan.


Dan untuk menjelaskan segala kekeliruan yang dialami. Perhatikan matan hadith riwayat Muslim tersebut:

حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ وَشُجَاعُ بْنُ مَخْلَدٍ جَمِيعًا عَنْ ابْنِ عُلَيَّةَ قَالَ زُهَيْرٌ حَدَّثَنَا إِسْمَعِيلُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ حَدَّثَنِي أَبُو حَيَّانَ حَدَّثَنِي يَزِيدُ بْنُ حَيَّانَ قَالَ انْطَلَقْتُ أَنَا وَحُصَيْنُ بْنُ سَبْرَةَ وَعُمَرُ بْنُ مُسْلِمٍ إِلَى زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ فَلَمَّا جَلَسْنَا إِلَيْهِ قَالَ لَهُ حُصَيْنٌ لَقَدْ لَقِيتَ يَا زَيْدُ خَيْرًا كَثِيرًا

رَأَيْتَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسَمِعْتَ حَدِيثَهُ وَغَزَوْتَ مَعَهُ وَصَلَّيْتَ خَلْفَهُ لَقَدْ لَقِيتَ يَا زَيْدُ خَيْرًا كَثِيرًا حَدِّثْنَا يَا زَيْدُ مَا سَمِعْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَا ابْنَ أَخِي وَاللَّهِ لَقَدْ كَبِرَتْ سِنِّي وَقَدُمَ عَهْدِي وَنَسِيتُ بَعْضَ الَّذِي كُنْتُ أَعِي مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَا حَدَّثْتُكُمْ فَاقْبَلُوا وَمَا لَا فَلَا تُكَلِّفُونِيهِ ثُمَّ قَالَ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فِينَا خَطِيبًا بِمَاءٍ يُدْعَى خُمًّا بَيْنَ مَكَّةَ وَالْمَدِينَةِ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ وَوَعَظَ وَذَكَّرَ ثُمَّ قَالَ أَمَّا بَعْدُ أَلَا أَيُّهَا النَّاسُ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ رَسُولُ رَبِّي فَأُجِيبَ وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللَّهِ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللَّهِ وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ فَحَثَّ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ وَرَغَّبَ فِيهِ ثُمَّ قَالَ وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي فَقَالَ لَهُ حُصَيْنٌ وَمَنْ أَهْلُ بَيْتِهِ يَا زَيْدُ أَلَيْسَ نِسَاؤُهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ قَالَ نِسَاؤُهُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ وَلَكِنْ أَهْلُ بَيْتِهِ مَنْ حُرِمَ الصَّدَقَةَ بَعْدَهُ قَالَ وَمَنْ هُمْ قَالَ هُمْ آلُ عَلِيٍّ وَآلُ عَقِيلٍ وَآلُ جَعْفَرٍ وَآلُ عَبَّاسٍ قَالَ كُلُّ هَؤُلَاءِ حُرِمَ الصَّدَقَةَ قَالَ نَعَمْ

Zuhayr ibn Harb dan Shuja` ibn Makhlad meriwayatkan kepada aku dari Ibn `Ulayyah bahawa dia berkata: Zuhayr berkata: diriwayatkan kepada kami oleh Isma`il ibn Ibrahim, dari Abu Hayyan, dari Yazid ibn Hayyan, yang berkata: “Aku pergi menemui Zaid bin Arqam bersama Husain bin Sabrah dan Umar bin Muslim. Setelah kami duduk di hadapannya; Husain berkata kepada beliau; “Sesungguhnya engkau mendapat kebaikan yang sangat banyak wahai Zaid. Engkau telah melihat Rasulullah S.A.W dan mendengar hadithnya. Engkau telah berperang bersamanya dan bersembahyang di belakangnya.seseungguhnya engkau telah mendapat kebaikan yang banyak wahai Zaid. (Oleh itu) ceritakanlah kepada kami wahai Zaid apa yang engkau telah dengar dari Rasulullah S.A.W.” Zaid berkata, “Wahai anakku, demi Allah sesungguhnya umurku telah tua dan peristiwaku bersama Rasulullah telahpun lama berlalu. Aku telah lupa sebahagian dari apa yang aku pernah ingat dari Rasulullah S.A.W. Apa yang aku ceritakan kepada kamu, (maka) terimalah ia. (Dan) apa yang aku tidak ceritakan janganlah kamu menekan supaya aku menceritakannya.


Kemudian beliau (Zaid) berkata, “Pada suatu hari Rasulullah bangun berucap di hadapan kami di suatu danau yang dipanggil Khum yang terletak antara Mekah dan Madinah. Baginda memuji dan menyanjung Allah. Baginda memberi nasihat dan kemudian mengingatkan dan kemudian Baginda bersabda, “Adapun kemudian daripada itu ketahuilah wahai manusia; sesungguhnya aku adalah manusia. Tidak lama lagi akan datang kepadaku Utusan (Malaikat Maut) dari Rabbku dan aku akan meninggalkan pada kamu dua perkara yang sangat berat (sangat bernilai). Pertama, Kitabullah yang di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Ambillah kitab Allah itu dan berpegang teguhlah dengannya. (Kemudian Zaid bin Arqam berkata) Maka Baginda menggalakkan dan menggemarkan para hadirin supaya berpegang teguh dengan Kitabullah. Dan Alhul Baytku. Aku mengingatkan kamu kepada Allah tentang Ahlul Baytku. Aku mengingatkan kamu kepada Allah tentang Ahlul Baytku. Aku mengingatkan kamu kepada Allah tentang Ahlul Baytku.”


Setelah itu Husain pun berkata kepadanya, “Siapakah Ahlul Bayt itu wahai Zaid? Bukankah isteri-isteri Baginda itu dari Ahlul Baitnya?” Zaid bin Arqam menjawab, “Para isteri Baginda memanglah dari kalangan Ahlul Baytnya. Tapi Ahlul Bayt yang dimaksudkan di sini adalah mereka yang diharamkan menerima sedekah selepas Baginda. Husain bertanya, “Siapakah mereka?” Jawab Zaid, “Mereka adalah keluarga Ali, keluarga Aqeel, keluarga Ja’afar dan keluarga Abbas.” Husain bertanya, “Mereka semua itu haram menerima sedekah?” Zaid menjawab, “Ya.”


Hadith dengan matan seperti di atas dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam Jami’us Shahih beliau pada Bab Fadhaail Ali. Dan hadith itu memang menjelaskan bahawa Rasulullah menggesa supaya Ahlul Bayt Baginda dilayani dengan baik, dikasihi serta dihormati selepas peninggalan Baginda. Namun apakah itu adalah bukti mutlak bahawa tsaqal kedua adalah Ahlul Bayt Baginda dan bahawa Saidina Ali Radiallahu Anhu yang sewajarnya diangkat menjadi khalifah selepas kewafatan baginda? Kita akan bahaskan mengenai perkara ini daripada beberapa sudut.


Pertamanya adalah dari sudut dirayah hadith tersebut. Walaupun disebutkan Ahlul Bayt, namun tidaklah bermakna bahawa Ahlul Bayt itulah yang menjadi pegangan sebagaimana al-Quran. Zaid bin Arqam sendiri telah mengakui bahawa dia telah banyak lupa akan apa yang diriwayatkannya dari Rasulullah. Dan beliau telah menegaskan bahawa beliau hanya menyampaikan dari apa yang masih diinhatinya sahaja. Kita lihat, selepas Rasulullah menyebut perkataan
ثَقَلَيْنِ ada disebutkan أَوَّلُهُمَا iaitu ‘yang pertama’ dan kemudian barulah disebutkan Kitabullah. Jadi perkataan ‘yang pertama’ itu merujuk kepada Kitabullah. Akan tetapi, sebelum menyebutkan Ahlul Bayt, Rasulullah tidak menyebutkan pula perkataan ‘yang kedua’. Sedangkan apabila menyebutkan perkataan ‘yang pertama’ itu menunjukkan bahawa akan terdapat ‘yang kedua’. Jadi sudah jelas bahawa tsaqal kedua yang dimaksudkan di dalam hadith ini bukanlah Ahlul Bayt, tetapi sesuatu yang lain.


Kedua, Rasulullah selepas menyebutkan tsaqal yang pertama iaitu Kitabullah, Baginda ada menyebutkan beberapa kepentingan dan sifat Kitabullah itu seperti; di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya, dan supaya ia diambil dan berpegang teguh kepadanya. Namun selepas menyebut Ahlul Bayt, Rasulullah tidak ada menyebut mengenai kepentingan untuk berpegang teguh kepada Ahlul Bayt baginda sebagaimana Kitabullah. Ini juga satu indikasi bahawa tsaqal yang kedua bukanlah Ahlul Bayt Baginda S.A.W.


Ketiga, perkataan ثُمَّ selepas disebut Kitab Allah dan perintah supaya berpegang teguh dengannya. Perkataan ُثُمَ memberi erti ‘tarakhi’ iaitu membawa makna lama selepas disebutkan kandungan yang pertama, barulah disebutkan kandungan yang kedua. Ertinya kandungan yang kedua tidaklah disebut terus atau secara langsung selepas yang pertama. Jadi Ahlul Bayt terdiri adalah dari kandungan yang berbeza dan tentu sekali tidak sesuai jika ثُمَّ digunakan sebelum Ahlul Bayt jika benar ia adalah tsaqal kedua.


Kita kembali semula kepada perkataan Ahlul Bayt yang dinyatakan di dalam hadith tersebut. Jika benar Ahlul Bayt adalah tsaqal yang kedua. Bermakna kita wajib untuk pberpegang kepada semua Ahlul Bayt Rasulullah iaitu
keluarga Ali, keluarga Aqeel, keluarga Ja’afar dan keluarga Abbas. Mereka dan seluruh keturunan mereka mesti ditaati dan dipegang. Namun kenapa Syi’ah hanya mengangkat keturunan dari keluarga Saidina Ali sahaja? Dan mengapa mereka bersikap ‘double standard’ dengan Ahlul Bayt yang lain? Di sini dapat dilihat bahawa mereka (Syi’ah) mempunyai kepentingan disebalik kenyataan tersebut. Mereka meminggirkan Ahlul Bayt yang lain, namun mengangung-agungkan keluarga Ali sahaja.


Dan tujuan Rasulullah mengingatkan kepada hadirin ketika itu mengenai Ahlul Bayt baginda adalah untuk mengingatkan bahawa banyaknya fitnah yang banyak akan berlaku berhubung Ahlul Bayt. Ini jelas terbukti melalui kata-kata Saidina Ali sendiri, “Dua golongan binasa keranaku. Pertama, yang terlampau sayang kepadaku dan kedua yang terlampau benci.” (Kanzu al-Ummal, Jil. 1 Hal. 324)


Jadi dapat dijelaskan di sini bahawa tsaqal kedua bukanlah Ahlul Bayt, namun sesuatu yang lain. Bahkan ianya adalah sesuatu sebagaimana yang dipegang oleh Ahlus Sunnah dan juga Syi’ah iaitu Sunnah Rasulullah S.A.W. Dan untuk mennyokong kenyataan ini, perhatikan petikan-petikan dari sumber Syi’ah sendiri.

- Ucapan Saidina Ali di dalam Nahju al-Balaghah berhubung dengan firma Allah S.W.T di dalam surah an-Nisaa’ ayat 59 yang bermaksud: “Jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya.” Beliau berkata, “maksud ‘mengembalikannya RasulNya’ adalah kita beramal mengikut Sunnahnya.” (Nahju al-Balaghah, Jil. 1 Hal. 240)

- Diriwayatkan dari Hisyam bin al-Hakam bahawa beliau mendengar Abu Abdillah (Ja’afar as-Shadiq) berkata, “Jangan kamu menerima sesuatu hadith yang dihubungkan kepada kami kecuali mana yang bersesuaian dengan al-Quran dan as-Sunnah.” (Tanqihu al-Maqal Maqami, Jil. 3 Hal. 236)

- Abu Abdillah (Ja’afar as-Shadiq) berkata, “Sesiapa yang telah menyalahi Kitab Allah dan Sunnah Muhammad S.A.W bererti dia telah kafir.” (al-Kulaini; al-Usul min al-Kafi, Jil, 1 Hal. 70)


Bukti yang disertakan di atas sudah cukup untuk menunjukkan bahawa tsaqal kedua bukanlah Ahlul Bayt, sebaliknya adalah Sunnah Rasulullah S.A.W.


Allah Ta’ala A’lam.


Rujukan: Maulana Asri Yusoff

Diolah semula oleh Ariff.Arifin

0 comments: