Saya tergelak sendirian membaca nukilan sahabat saya, Abu Usamah Masri Ramli mengenai Daurah Manhaj 2 yang dianjurkan oleh Yayasan Kebajikan Nusantara (YAKIN) dan juga Institut Imam asy-Syafi’e (INTIS) baru-baru ini. Seperti dia, Daurah Manhaj tersebut adalah daurah pertama saya ikuti. Sebelum itu, saya lebih senang mengikuti kuliah-kuliah pendek dan muhadharah daripada masyaikh yang datang. Namun, daurah pertama inilah yang mengajar saya banyak perkara. Apatah lagi saya terlibat dengan pengurusan. Sedikit sebanyak mengajar saya untuk menjadi lebih sabar dan teliti dalam melakukan kerja. Saya akui, saya kurang teliti. Dan mungkin agak beremosi – seperti mana yang dikatakan oleh Yasir dan kawan-kawan lain. Namun, saya punya sebab sendiri. Mungkin kerana masih belum dapat menyesuaikan diri dengan aspek pengurusan. Maka saya lebih suka menunjukkan sikap ‘tidak suka’ saya itu berbanding terus menghamburkan kemarahan. Mungkin mereka beranggapan saya ini seorang yang emosi. Namun saya adalah seorang yang metaforik. Saya lebih suka dikatakan sebagai seorang yang ‘pemarah’ dan ‘kurang sabar’. Ini mungkin kekurangan yang perlu saya perbaiki. Allahua’lam.
Saya juga punya banyak kenangan yang melucukan sepanjang berlangsungnya daurah. Banyak gelak ketawa yang ceria mengelilingi diri saya dan rakan-rakan lain. Jadi usah hairan jika kami tergelak besar ketika daurah itu – terutamanya ketika makan dan rehat. Mungkin ini antara salah satu kelebihan daurah itu. Benar bak kata Masri; Daurah: Connecting People. Memang, daurah kali ini memang benar menyatukan kami rakan-rakan semanhaj. Saya fikir, kami bukan sahaja berkongsi manhaj yang sama. Akan tetapi, fikrah yang juga sama-sama ‘ceria’. Sahabat-sahabat seperti Edry, Ezry, Arvin, Yasir, Abu Syu’aib, dan lain-lain banyak membantu mengendurkan sedikit ketegangan yang berlaku sepanjang berlakunya daurah. Rasanya, Masri lebih banyak jadi tumpuan. Asyik ‘dipaku’ setiap kali berkumpul. Setiap kali berkumpul jugalah Masri tersipu-sipu malu akibat diusik oleh kami. Berkenaan apa? Biarlah rahsia. Banyak sekali peristiwa yang melucukan menyebabkan saya tersenyum sendirian. Masri ‘berhujan’ (meminjam kata-kata al-Fadhil Ustaz Ariff Nazri), Masri jadi menantu datin (bahana tidak menyimpan nombor telefon Ghafur), Zainab al-Ghazali (tidak ada kaitan samada masih hidup atau yang telah meninggal dunia) dan lain-lain. Sebetulnya, saya masih terkesan dengan lawak-lawak mereka. Lebih-lebih lagi apabila mengingat semula gaya Ustaz Ariff meniru rajuk Masri.
Namun, ada juga perkara yang tidak enak berlaku sepanjang berlangsungnya daurah. Sikap peserta amat tidak memuaskan. Saya kira, masalah ini tidak patut berlaku. Apatah lagi kebanyakan peserta sudah mencapai tahap umur yang boleh dikategorikan sebagai ‘tua’. Kesilapan kecil seperti tidak pam tandas yang digunakan, tidak menutup air, tidak mengatur semula sabun dan syampoo yang digunakan dan lain-lain. Kesilapan kecil yang mana boleh menjadi kesilapan yang fatal. Saya sedikit runsing dengan perkara ini. Agak terkilan. Kerana perkara seperti ini turut boleh berlaku dalam majlis ilmu. Tambah menyedihkan, kerana yang bertanggungjawab menegur adalah ‘tuan rumah’ tersebut. Saya kira perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Tidak walau sedikitpun. Adakah ini sikap mereka-mereka yang mengaku mengikut Quran dan juga Sunnah? Ini amat memalukan. Insya Allah. Jika punya kesempatan, akan saya sentuh dengan lebih terperinci dalam artikel lain yang akan datang. Harapan saya, agar mereka mengubah sikap ini. Kerana, sedikit sebanyak – akan terpalit kekotoran kepada manhaj itu sendiri.
Apapun, secara keseluruhannya saya masih berpuas hati dan sangat gembira dengan daurah kali ini. Daurah kali ini banyak mengajar saya untuk lebih bersedia dan teliti – lebih-lebih apabila terlibat dengan pengurusan. Juga menyedarkan saya bahawa masih banyak yang perlu saya pelajari dan perkukuhkan. Allahua’lam. Semoga Allah permudahkan.
P.S: Terima kasih diucapkan kepada Dato’ Syed Hasan Nazari dan isteri atas layanan yang begitu memuaskan. Semoga Allah merahmati usaha Uncle, Auntie dan keluarga. Jazakumullah Khairan Kathira.
Abu Fadhl Ariff Arifin
Tengah Malam, 6 September 2007
Mahallah Zubair al-Awwam, IIUM
1 comments:
Satu lagi yang sukar dilupa, ada kawan kita tu bila beri penguman atau bercakap guna mic waktu daurah nampak tawaduk, tunduk je. macam Syaikh masa bagi khutbah hehe.
Post a Comment