Itu Aku


Sudah lama tidak menulis. Jari jemari makin kaku dan fikiran semakin beku. Ide-ide yang ingin dicurahkan tidak semantap dan alirannya tidak selancar dahulu. Masih mencari nada dan irama agar jari-jari ini menari sama rentak dengan apa yang ingin dicurahi.

Komitmen

Bukanlah tidak mahu menulis, atau tidak tahu apa untuk ditulis. Namun masa menjadi penghalang saya. Ya. Sudah lama saya tidak menulis. Rasa cemburu kian menebal melihat rakan-rakan begitu asyik mengedarkan tulisan-tulisan pada laman masing-masing. “Ah! Bagaimana pula dengan aku? Komitmen aku pada blog ini?” Perkara menerjah benak fikiran saya bilamana membaca laman rakan yang lain. Di balik kesibukan ini, saya masih cuba menulis. Malah ada beberapa entry yang saya sengaja ‘perapkan’ di dalam draft kerana tidak sempat untuk saya edit atau habiskan. Seperti yang telah saya nyatakan, masa menjadi kekangan. Walau saya seharian menghadap laptop buruk saya ini, namun masih tidak punya kesempatan untuk menghabiskan tulisan-tulisan saya. Setiap hari pasti ada perkara baru yang ingin saya perkatakan – atau bincangkan. Namun, kesibukan menghalang.

Tidak serajin dulu

Mungkin betul pernyataan itu. Kesibukan yang menerjang menyebabkan kehidupan siber saya lebih kaku berbanding dahulu. Kalau dulu, begitu mudah saya mencernakan ide-ide menjadi artikel untuk tatapan umum. Namun sekarang, belum sempat ide itu dilakarkan – saya sudah mengalah. Rasa malas menghenyak fikiran. Malas kerana masih ada yang lebih utama perlu saya fikirkan – dan selesaikan. Tugasan-tugasan keluar masuk. Setiap kelas merupakan kelas kritikal bagi saya. Kadang-kadang,bila sahaja saya punya ide untuk dilontarkan. Jari-jemari mula rajin menaip bait-bait bahasa. Namun, sebaik sahaja menghampiri suku pertama tulisan. Saya berhenti. Teringatkan –atau diingatkan – dengan tugasan yang menanti untuk disiapkan. Mungkin sudah menjadi tabiat – takut-takut juga kalau ianya berdarah daging – sejak mula menjadi pelajar jurusan seni bina ini. Tugas yang diberi, lambat-lambat disiapkan. Bertangguh. Namun, bukanlah selalu – lebih tepat, tidaklah sekerap dulu. Jikalau dulu, lukisan dan model-model bangunan menjadi rakan. Namun sekarang, berbeda sama sekali. Kalkulator, komputer, dan juga kertas-kertas menjadi sahabat karib. Kerja yang dua tahun dipraktikkan di matrik langsung tidak diguna-pakai di sini. Kira-mengira, dan tugasan serta laporan setebal tesis mini perlu dibuat. Perkara-perkara inilah yang menghalang saya dari menulis. Kadang-kadang perlu berada di bawah terik mentari melawati tapak-tapak projek pembinaan. Balik pula terpaksa menyembamkan muka kepada slip sort yang menanti untuk diisi. Letih. Namun tidak ada alasan untuk berhenti – atau berkeluh-kesah.

Tahun Pertama

Ya. Ini baru tahun pertama saya. Setelah dua tahun tidak tidur – menghadap projek-projek – di matrik dahulu. Ini merupakan tahun pertama saya di bawah pengkhususan subjek Ukur Bahan. Cabaran yang berbeza dengan matlamat yang masih sama. Kalau dulu, tahun-tahun asas sangat penting. Begitu juga dengan sekarang. Matlamatnya sama. Namun, tidak pula saya mahu pinggirkan blog saya ini di tempat kedua. “Ini platform da’awah aku!” Kata-kata inilah yang saya suntik sebagai motivasi dalam diri setiap kali membuka blog ini.

Inilah wadahku

Blog inilah wadah perjuangan peribadi saya dalam menegakkan manhaj. Tidak mungkin – dan tidak akan saya biarkan ‘rumah pertama’ saya ini buruk dan usang. Blog ini akan cuba saya isi dengan perkara bermanfaat walau bukan dari tulisan saya sendiri. Sekurang-kurangnya menjadi ubat bagi jiwa raga saya sendiri. Ya. Ubat kepada ‘luka-luka’ dalam perjuangan menghadirkan ‘sesuatu’ yang baru.

Projek baru

Pada entry sebelum ini, ada saya khabarkan mengenai ‘sesuatu’ yang baru. Mungkin belum sesuai untuk dihebahkan kepada umum. Cukuplah dengan sekadar ‘usikan’. Namun, apa yang boleh saya katakan ianya adalah mengenai sebuah ‘rumah’ untuk ‘kita semua’. Bukan ‘rumah’ saya seorang. Mungkin agak metaforik kata-kata saya itu. Apapun, saya tidak ingin merosakkan perjalanan ia. Biarlah ia ‘berkembang dan mekar’ sebelum saya pertontonkan kepada semua. Insya Allah. Tidak lama lagi.

0 comments: