Omong 0+0

Menu berbuka hari ini ‘menggamatkan’ jiwa. Gulai kambing dan ikan keli bakar sudah cukup untuk membangkitkan selera. Namun tak semena-mena teringat kepada madghut serta makaruna (spaghetti) di Mahallah az-Zubair. Apa agaknya dua benda ini ya?

Madghut (مضغوط) berasal dari perkataan الضغط yang membawa maksud tekanan. Kata Abu Zubair, ia dikaitkan dengan cara memasak nasi ini, yang dimasak dalam periuk tekanan. Dan memang benar, ia dimasak di dalam periuk tekanan bersama-sama rempah serta lahm (الحم) atau daging. Sayangnya, yang dimasak di sini bersama-sama daging lembu. Kalau ada daging kambing tentu lebih menarik. Harga? RM6 untuk satu polystyrene penuh. Sudah dikira murah jika hendak dibanding dengan harga di mat’am arabi di luar UIA. Murah 2 hingga 3 kali ganda. Mana mahu cari?

Makaruna atau spaghetti makanan ‘asasi’ saya sewaktu ramadhan kali ini. Purata sebanyak 2-3 hari sekali pasti akan saya beli. Rasa daging yang sebati dengan sos. Harga? Agak mahal. Saya tidak tahu bagaimana pak arab itu meletakkan harga. Cuma jika satu polystyrene yang hampir penuh dan ditambah dengan beberapa ketul daging rebus, boleh mencecah hingga RM6.50. Masih lagi murah jika hendak disbanding dengan harga biasa di luar UIA. Samosa yang digoreng rangup itu harganya Cuma 70 sen. Isinya daging cincang dan kentang.

Kenapa agaknya tiba-tiba bercakap mengenai makanan? Tiada sebab khusus. Cuma terasa ingin berbuat demikian. Kemungkinan selepas Ramadhan ini, gerai Arab itu sudah lesap. Apa salahnya berkongsi cerita.

******************************

Tadi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan bahawa satu Syawal adalah bersamaan dengan 1 Oktober 2008. Maknanya, hari Rabu, umat Islam Malaysia akan menyambut ‘Eid al-Fitri atau Hari Raya Puasa. Dalam artikel sebelum ini, telah saya cuba tekankan peri penting untuk meneruskan semangat Ramadhan, bukan sahaja ke bulan Syawal, bahkan bulan-bulan yang seterusnya.

******************************

Teruskan bergembira dengan kedatangan Syawal. Namun - jika tidak mampu menangisi - maka janganlah lupa untuk sekurang-kurangnya merasa sedih dengan perginya Ramadhan. Bila lagi entah kita akan ketemu. Terus-terusanlah memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana berjaya menempuh Ramadhan kali ini. Samada jaya atau tidak. Itu untuk setiap peribadi nilaikan. Namun jangan sesekali terus leka dan alpa. Wallahua'lam.

0 comments: