Ramadhan Terakhir..?

Hari-hari terakhir ramadhan menyebabkan orang-orang yang beriman menangis. Menangis kerana tahu Ramadhan semakin pudar, semakin meninggalkan. Menangis kerana pegembaraan mencari Lailatul Qadr makin hampir ke penghujung. Menangis kerana mengingatkan diri bahawa ini mungkin sahaja Ramadhan terakhir! Mungkin sahaja pencarian malam al-Qadr yang akhir!

Hari-hari terakhir menuntut kepada penghisaban amal-amal yang dilakukan. Banyakkah yang berjaya? Berapa banyak pula yang gagal. Sekelumit rasa kecewa. Kerana amal soleh yang dibuat pada siang dan malam Ramadhan masih disulami dengan dosa serta kemaksiatan. Betapa diri yang kerdil ini berharap agar diampunkan oleh Rabb Azza Wa Jalla. Memang benar, bahawa Allah itu Maha Pengampun dan suka kepada mereka yang bertaubat. Kerana itulah disediakan kepada hamba-hambaNya yang beriman malam al-Qadr sebagai satu tapak dan landasan untuk meloloskan diri dari segala dosa. Hikmah disembunyikan hakikat malam al-Qadr agar mereka yang beriman menggunakan segala kudrat mereka untuk menegakkan tulang belakang di malam hari untuk menghadap Allah yang Mulia. Untuk menyembahNya, memohon keampunan.

Di kala mereka yang terleka bergembira dengan tibanya Syawal, mereka yang beriman menangisi perginya Ramadhan. Timbul satu persoalan, akan signifikan Ramadhan di bulan Syawal. Akan manifestasi Ramadhan yang mulia pada Eid yang diberkati.

Ramai terlupa, bahkan ramai sekali alpa. Bahawa Ramadhan yang berlalu adalah satu medan penyucian diri dan hati.. Satu medan untuk membentuk manusia menjadi seorang yang lebih baik. Ramai sekali terlupa bahawa selama sebulan kita meniti Ramadhan, kita diajar untuk jadi manusia yang lebih baik. Samada pada zahir mahupun yang batin. Sebulan yang mendidik kita untuk menjadi manusia sebagaimana asalnya. Dan apabila tiba Eid al-Fitri, hari kita menyambut kembali keadaan kita yang kembali kepada fitrah, bukanlah yang dimaksudkan kembali kepada fitrah adalah kembali makan dan minum sebagaimana asalnya sahaja. Akan tetapi, kembali kepada fitrah sucinya diri, serta amalan sebagaimana kita diajar dan dididik di bulan Ramadhan. Sebagaimana fitrah manusia yang suci pada diri, akal, serta amalan mereka. Namun disebabkan oleh kealpaan, mereka mula menjadi kotor. Tibanya Ramadhan itu sebagai satu laluan untuk mendidik agar berpaling semula kepada fitrah. Dan kita menyambut Eid dengan kembali kepada fitrah. Ini signifikan Ramadhan kepada umat.

Ramai yang jadi lupa kerana menyangka bahawa Ramadhan cuma medan untuk mengajar diri dari menahan lapar dan dahaga. Apabila tiba Syawal, hari dibenarkan untuk makan dan minum sebagaimana asal, maka dibenarkan juga untuk melakukan perbuatan lain yang dilarang di dalam bulan Ramadhan. Ramai kembali bercakap kotor, berdusta, dan sebagainya. Betapa malang mereka yang berpendapat demikian. Ramadhan adalah seperti satu medium untuk melakukan ‘brainwash’ kepada manusia. Di mana, orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasulnya akan menghayatinya dengan maksud sebenar.

Ramadhan semakin sedikit bakinya. Betapa jika hati ini menangis memberontak, masa pasti tidak akan mampu diputar. Tinggal apa yang terdaya hanyalah untuk berdoa, agar dikurniakan Ramadhan yang seterusnya. Agar dapat menjejak semula malam al-Qadr. Namun bagaimana jika ini Ramadhan terakhir bagi kita..?

****************************

Bila lagi kita akan bertemu wahai Ramadhan? Di kala aku mendambakan keampunan. Kau pergi berlalu. Di kala aku mengharapkanmu menjadi peluang padaku. Kau semakin jauh. Apakah aku akan menemuimu lagi wahai Ramadhan?

اللهم إنك عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُ الْعَفْوَ فاعْفُ عَنِّي

Ya Allah, sesungguhnya engkau adalah pemberi kemaafan lagi mulia, dan cinta akan kemaafan, berilah kemaafan kepadaku.

Ya Allah, terimalah permohonan taubatku, kabulkanlah istighfarku kepadaMu. Kerana aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkanMu ya Allah. Aku mahu menyembahMu walau di mana aku berada, di barat mahupun timur, di kala fajar menyinsing mahupun terbenam, di kala aku berdiri, mahupun duduk, di saat aku jaga mahupun tidur. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku bahkan matiku adalah keranaMu ya Allah. Aku mahukan keampunan serta kemaafan. Tiada yang lebih berharga, melainkan rasa kecintaan kepadaMu wahai pemilik ‘Arsy yang mulia. Sesungguhnya aku ingin menjadi di antara mereka yang mendapat wajahMu di hari akhirat kelak. Jika ini Ramadhan yang terakhir bagiku, maka jangan biarkan aku membiarkan ia sia-sia, dan jauhkanlah aku dari disia-siakan wahai Allah. Aku bermohon kepadaMu. Biar sahajalah basah mata ini keranaMu. Biar sahaja lemah kaki ini, berdiri menghadapMu. Biar sahaja... Kerana aku mendambakanMu wahai Allah...

0 comments: