Ilmu dan Neraka

Sebelum berbuka sebentar tadi, Syeikh Aiman ada memberikan tazkirah ringkas. Tazkirah berkisar mengenai tazkiyatun nafs atau penyucian diri.

Antara yang masih saya ingat adalah bahawa penyucian diri itu melalui tauhid. Kepala dalam Islam adalah tauhid. Dan tauhid itu adalah asas kepada penyucian diri. Ya. Jika difikir-fikir, memang.. Dalam agenda penyucian diri, tauhid menjadi asas. Jika diri tidak mentauhidkan Allah, entah bagaimana kita ingin mencapai tahap penyucian diri yang sebenar. Ramai orang alpa dan leka, kononnya berzikir kepada Allah dalam tujuan menyucikan diri. Ramai pula yang bersedekah dan berbuat bermacam lagi amalan, dengan satu maksud, untuk menyucikan diri. Namun mereka jugalah yang berbuat syirik kepada Allah. Menyembah kepada selain daripada Allah, samada dalam keadaan sedar atau tidak. Walhal, berat sekali azab siksa Allah kepada mereka yang mensyirikkanNya. Apakah mereka lebih sanggup mendiami Jahannam akibat dari mensyirikkan Allah?! Na’udzubillah!

Syeikh juga ada menyebut bahawa ilmu adalah sebagai salah satu medium mensucikan diri. Ya. Dengan ilmu, tentu sekali kita sedar bahawa apa yang sepatutnya dilakukan, dan mana yang tidak. Mana yang baik, dan mana satu jugakah yang LEBIH baik. Serta mana satukah yang buruk. Ini semua pasti kita dapati dengan adanya ilmu.

Hati jadi tersentuh apabila Syeikh mengingatkan kepada hadirin bahawa Allah membenci orang yang mempunyai ilmu akan tetapi dia sendiri tidak mengamalkannya. Sebagaimana yang difirmankan Allah;

“Wahai orang-orang yang beriman! Kenapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak kerjakan? Amat besar kebenciannya di sisi Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan.”

Hati jadi sakit. Jadi pedih. Jadi sayu. Jadi geram. Marahkan diri sendiri apabila mendengar kata-kata Syeikh. Betapa saya sendiri kadang-kadang, bahkan selalu melalaikan diri. Semoga Allah mengampunkan saya!

Syeikh kemudian menyambung dengan satu hadith bahawa antara yang terawal masuk atau dibakar api neraka adalah orang alim.

Diri ini terdiam. Sungguh, bahawa orang alim itu punya bahagian juga di dalam api neraka. Ajaib bukan? Tapi jika dinilai dari surah as-Saff tersebut. Apa yang dihairankan? Memang.. Memang benar sekali.

Moga Allah ampunkan diri kita dari sifat yang demikian. Moga dijauhkan. Betapa dha’if diri, namun masih leka dan lupa. Sungguh! Moga dijauhkan dari kesesatan. Berat dan panas azab neraka belum tentu dapat ditanggung dipikul oleh tubuh kecil ini.

Betapa aku rindu untuk jadi diri sendiri. Diri yang positif.

0 comments: