Susah.. Susah..


Sebelum membaca entry kali ini, pembaca diminta untuk mengosongkan minda dari rasa taksub dan sebagainya.

**********************

Masuk sahaja ke tandas blok di mahallah Zubair hari ini, ternampak satu notis baru (gambar) ditampal berhadapan wash area bertulis, “ATTENTION! Don’t put any belonging / toiletaries (it should be toiletries) at this area…” (terdapat kesilapan tatabahasa serta kesalahan eja pada bahagian digariskan) bermaksud “PERHATIAN! Jangan letakkan apa-apa barangan anda di kawasan ini…”

Sekali pandang, atau sekali baca. Jelas sekali notis itu larangan secara fatal perbuatan meletakkan mana-mana barangan secara khusus di kawasan tersebut pada bila-bila masa walau untuk seketika. Namun, apakah itu sebenarnya yang hendak disampaikan oleh pihak pengurusan? Atau mereka sekadar bermaksud untuk melarang perbuatan sesetengah pelajar yang bertindak meninggalkan barangan seperti berus gigi, sabun mandi, syampoo dan sebagainya di situ lagaknya seperti tandas rumah sendiri?

Dalam menilai tujuan notis itu diletakkan, saya lebih cenderung kepada interpretasi yang kedua.

Menyampaikan maklumat

Sedikit kesilapan dalam menyampaikan maklumat, sudah pasti akan menyebabkan kecelaruan serta bahana yang amat besar. Notis di atas cumalah satu contoh. Satu analogi. Syahidnya adalah, penyampaian maklumat. Analogi di atas cumalah satu notis kecil yang ada kesilapan ejaan, kesalahan tatabahasa, serta maksud yang tidak jelas yang hanya diletakkan di ceruk tandas. Namun, apakah yang anda fikir jika kesalahan seperti ini, dilakukan dalam menyampaikan maklumat mengenai agama kepada orang ramai?

Bagaimana agaknya jika maklumat mengenai ibadah seharian ini disampaikan secara salah dan tidak tepat. Bahkan, yang lebih teruk ia ditokok tambah serta dalam bentuk yang sangat sukar untuk difahami.

Jelas sekali perbuatan ini adalah menyanggahi apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sendiri. Sedangkan baginda bersabda; “Permudahkanlah dan jangan menyusahkan”[i]

Kesilapan

Apabila dimaksudkan dengan memberi kemudahan dalam menyampaikan ilmu, ia membawa makna untuk memberi kefahaman kepada orang ramai dalam cara yang paling mudah tanpa memadam maksud yang telah dititip oleh al-Quran mahupun as-Sunnah yang dibawa di atas kefahaman as-Salaf[ii] dalam keadaan lembut tanpa bertujuan menjauhkan mad’u dari landasan agama.

Jadi amat sukar, apabila melihat ramai sekali ummat Islam disusah-susahkan dalam ibadah. Banyak sekali halangan diada-adakan. Semuanya kerana komunikasi ketika penyampaian maklumat yang tidak betul. Jika sehelai notis kecil amat sukar untuk difahami jika ada kesilapan ejaan mahupun tatabahasa. Apatah lagi halnya jika ia berkaitan dengan agama. Sedikit kesilapan boleh menyebabkan fatal error pada pemahaman. Begitu juga dengan amalam menokok tambah dalam ibadah hasil kerana kononnya ingin mengamalkan sikap at-tathabbut (berhati-hati).

Contoh 1: Seorang ustaz yang ditugaskan untuk mengajar tatacara mengambil wudhu’. Menyuruh murid-muridnya yang berada dalam tahun 1 membasahkan atau membasuh bahagian kepala. Kononnya untuk menanam sikap berhati-hati, sedangkan apa yang warid dari Nabi SAW hanyalah untuk menyapu bahagian kepala[iii] dan bukannya membasahkan! Hasilnya sudah pasti amat buruk dan kesian si kecil itu. Akibatnya budak kecil yang berumur 7 tahun tersebut pasti akan ‘mandi’ untuk melengkapkan apa yang dimahukan oleh ustaz tersebut. Dan jangan terkejut jika mereka yang berumur 70 tahun sekalipun akan melakukan perkara yang sama jika diajar dalam bentuk yang demikian.

Contoh 2: Z mendapat e-mel dari temannya, C, menyatakan bahawa kentut di dalam air, boleh membatalkan puasa kerana disyaki air boleh termasuk ke dalam lubang dubur[iv]. Z mula merasa was-was kerana teringat bahawa dia telah melakukan perbuatan tersebut ketika berendam ditab mandi di rumahnya.

Kesemua contoh terjadi apabila maklumat yang asal, ditokok tambah, kononnya untuk mejaga kemaslahatan. Ini adalah satu kesilapan sedangkan ini telah secara total menukar apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebenar-benarnya!

Muhammad SAW contoh ikutan

Dalam menelusuri kebenaran yang hadir, maka yang jadi contoh terbaik adalah al-Mustofa SAW. Ajaibnya dakwah Rasulullah SAW dapat kita lihat dalam banyak hadith yang datang. Lembutnya sifat Rasulullah, untuk memberi kefahaman, tanpa menjauhkan mereka yang berniat untuk menghampiri agama.

Dapat kita lihat sikap ini apabila berdiri seorang lelaki badwi dan kencing di dalam masjid. Maka orang ramai datang dan mahu menangkapnya, serta ingin menghukumnya. Lalu berkata Nabi SAW kepada mereka; “Tinggalkannya dan lepaskanlah dia dan alirkanlah ke atas air kencingnya setimba atau segelas air. Sesungguhnya kamu diutuskan bukan untuk menyusahkan tapi untuk mempermudahkan.”[v]

Positifnya dakwah Nabi SAW perlu menjadi tauladan. Bagaimana indahnya komunikasi dakwah. Ini adalah prinsip dalam melakukan dakwah yang sebenar. Menyukarkan orang lain cumalah satu kezaliman, bukan sahaja kepada mad’u, bahkan kepada diri sendiri. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah bahawa Rabbnya berkata, “Wahai hamba-hambaku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diriKu dan Aku mengharamkannya pula atas kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi”[vi]

Maka permudahkanlah dan jangan sesekali menyusahkan. Sungguh. Manusia itu lebih baik jika meninggalkan apa yang tidak perlu baginya!



[i] Diriwayatkan oleh Syaikhan. Al-Bukhari meriwayatkannya dalam bab ‘wajibnya berlembut dan mempermudahkan manusia” dan Muslim dalam bab ‘arahan mempermudahkan dan meninggalkan kesusahan’.

[ii] Salaf yang dimaksudkan dalam konteks ini adalah para pengikut pada 3 kurun pertama. Dengan hakikat mereka adalah hampir kepada Nabi SAW dan menerima kefahaman paling shahih. Sebagaimana disabdakan oleh Nabi SAW bahawa, “Sebaik-baik ummat pada kurun ini adalah mereka yang mengikutiku, kemudian mereka yang datang selepas itu, kemudian mereka yang datang selepas itu.” (Shahih Muslim)

[iii] Sebagaimana kaifiat wudhu’ Rasulullah SAW yang ditunjukkan oleh Abdullah ibn Zaid yang menyatakan, “Dia memulai dari bahagian depan rambut sehingga pergi ke bahagian tengkuknya kemudian kembali ke tempat asal dia memulakannya.” (Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim)

[iv] Batalnya puasa kerana disebabkan masuknya sesuatu ke dalam rongga badan bukanlah ditsabitkan ke atas mana-mana dalil. Tidak dikhabarkan oleh Rasulullah SAW di dalam mana-mana hadith samada shahih, dha’if mahupun maudhu’. Bahkan perbuatan menyangkakan kentut di dalam air boleh menyebabkan batalnya wudhu’ adalah hasil dari imaginasi yang amat tinggi akibat dari perasaan was-was dan sebagainya.

[v] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Kitab Wudhu’ pada bab ‘mengalirkan air pada air kencing di masjid’.

[vi] Hadith Qudsi yang diriwayatkan oleh Muslim pada bab ‘haramnya berbuat zalim’. Lafaz yang dibawa di atas cumalah petikan kecil dari hadith panjang tersebut.

2 comments:

Shakirah said...

salam.
mula2 baca ingatkan nak citer pasal toilet mahalah zubair. heran gak td.
ada maksud tersirat rupanya.
bagus2..analogi yang selari..!
mudah faham..
mudah jangan susahkan

Ariff Arifin said...

wassalam.

tak maulah cerita pasal tandas mahallah. cuma buat analogi saja. :)

wallahua3lam.