Makanan Hati


Di atas adalah antara artwork terawal ariff.arifin.studio (sebelum itu belum wujud).

*****************

Gemersik suara Yusuf, sahabatku, yang mengimamkan terawikh di Zubair terhenti. Lama.. Kemudian terdengar esak tangisan. Suaranya yang mengalunkan bacaan dalam riwayat warsy itu tersekat-sekat, cuba menahan esak, tapi pecah.. Berderai.. Aku ketika itu masih di kamar, terdiam, meneliti ayat yang dibaca.. Aku yakin, itu ayat dari surah al-A’raf.

Turun bersolat dalam keadaan sedikit lewat. Usai sahaja solat, ternampak Syeikhuna Aiman ad-Daqaq Hafidzahullah mengambil mushaf. Terdetik dalam hati, “Malam ini bukan kuliah Shahih al-Targhib wa al-Tarhib.” Nampak wajah tenang Syeikh membacakan ayat yang menyebabkan derai tangisan Yusuf.

لَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آَذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Dan Sesungguhnya Kami jadikan isi neraka jahanam banyaknya dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Sungguh. Penerangan yang benar-benar menggoncangkan hati. “Tuhan kamu mahukan dari kamu HATI kamu! Tuhan kita mahukan dari kita HATI kita!” Terdiam dan terpana. Syeikh menyambung, “Dikhabarkan kepada kita dari Sadiqul Masduq SAW; Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk serta tubuh badan kamu, akan tetapi Dia melihat kepada hati serta amal kamu.”

Betapa kerdil diri apabila mendengar kata-kata Syeikh. Entah sudah berapa banyak tompokan noda hitam dalam hati ini. Allahu Rabbuna, sucikanlah semula hatiku. Betapa diri terasa sanagat kecil apabila memikirkan bahawa betapa amal-amal sedikit selama ini dipalit dan dicalit dosa maksiat. Ramai terdiam. Termasuk aku.

Betapa ramai yang punya hati, akan tetapi, tidak digunakan untuk memahami ayat-ayat Allah. Syeikh berkata, “Mereka mempunyai hati tapi mereka menggunakannya untuk memahami dinar dan dirham, mereka mempunyai hati tapi mereka menggunakannya untuk memahami hawa nafsu, mereka mempunyai hati tapi menggunakannya untuk memahami dunia!”

Aku tidak mahu jadi demikian.. Tidak mahu..

Hati itu raja.” Memang benar, hati itu raja. Jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota yang lain, tapi jika buruk, maka padahlah juga pada seluruh anggota yang lain. Siapa sangka seketul daging kecil dalam tubuh itu mampu membawa implikasi besar kepada hidup manusia? Siapa sangka??

“Mereka punya mata tapi tidak mahu melihat dengannya. Mereka punya mata, tapi tidak menggunakannya untuk melihat.” Betapa risaunya aku sedangkan mata ini banyak sekali digunakan untuk melihat perkara yang tidak layak. Yang mengotorkan aqal dan hati. Ya Rabbul ‘Arsyil Karim, sucikanlah semula apa yang sudah ada padanya kotoran. Mahunya aku jadi seperti bayi yang baru dilahirkan. Yang suci dari noda dunia serta isinya.

Hum yanzuruun lakin la yubsiruun! Hum yasma’uun lakin la yastajibuun!” Suara Syeikh agak meninggi. Menekan. Kemudian menyambung dengan ayat dari surah lain;

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ قَالُوا سَمِعْنَا وَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang berkata: "Kami dengar", padahal mereka tidak mendengar.

Syeikh bertanya, “Keif yasma’uun wa la yasma’uun?” Mereka itulah orang yang mendengar akan tetapi tidak mahu menerima. Memang, orang yang melihat itu tidak menerima. Orang yang mendengar juga tidak menerima. Tidak menerima dengan hati. Tidak! Kerana itu hilang pedoman. Kerana itu ramai yang terhalang oleh bayang-bayang dosa dan kemunafikan. Seperti mereka yang dalam ayat tersebut. Hati jadi nipis mendengar. Kecil. Kerdil. Dicarik-carik. Sedih.

Sedih.

Lebih parah lagi kesayuan apabila mendengar doa Syeikh di hujung pengajian. Agar diselamatkan dari sifat nifaq dan kadzib! Allahu Rabbuna, selamatkan aku! Selamatkan kami!

0 comments: