Jahil?


Di bawah adalah kisah yang tidak benar. Usah baca!

***************************

Situasi #1

Seorang anggota kumpulan lawak terkenal tanah air memberikan komentar apabila ditanya mengenai isteri yang baru dikahwininya.

“Memang saya bangga dapat berkahwin dengan Ana (bukan nama sebenar). Dia bukan sahaja lawa tetapi beriman. Pandai mengaji.”

Komentar:

Apakah iman itu dinilai sekadar pada pandai mengaji. Tidak menyalahkan artis tersebut kerana beliau merupakan artis dan sememangnya artis. Akan tetapi, kenyataan yang salah perlu diperbetulkan? Sindrom bercakap tanpa berfikir, serta bercakap tanpa ilmu adalah satu stigma kepada seorang Muslim. Apakah iman hanya diukur kepada pandai mengaji, sedangkan dalam mukasurat yang sama akhbar tersebut, terpampang gambar isterinya tidak menutup aurat. Wallahua’lam. Sememangnya iman kepada Allah itu tidak dapat diukur dengan tudung yang berada di atas kepala. Dan perlu diingat bahawa ia juga tidak dapat diukur dengan reti atau tidak membaca al-Quran. Para sahabat Rasulullah SAW, pada awal keislaman mereka, juga tidak tahu membaca al-Quran, bahkan mereka diajar solat dan disampaikan ayat-ayat dari al-Quran oleh seorang yang pada asalnya juga tidak tahu; yakni Rasulullah! Betapa ramai juga badwi yang masuk ke dalam Islam tidak mengetahui mengenai ayat al-Quran. Akan tetapi keimanan serta ketaatan mereka kepada Allah dan RasulNya tidak dapat ditolok banding.

Keimanan dan ketaatan. Dua perkara yang datang serentak. Keimanan kepada Allah dan RasulNya serta perkara-perkara lain dari unsur yang enam itu akan melahirkan ketaatan. Ketaatan yang menyebabkan para sahabat Radiallahu ‘Anhum Ajma’ien sanggup berkorban mati mengharapkan syahid serta wajah Allah Ta’ala kelak. Akan tetapi, perkara sekecil menutup aurat, jika tidak dilaksanakan, bukan sahaja tidak menunjukkan ketaatan. Bahkan, menzahirkan rasa penentangan terhadap ayat-ayat Allah Azza wa Jalla yang termaktub dalam al-Quran! Alangkah buruk dan malang!

***************************

Situasi #2

Berita di tanah seberang; “Sebuah ahli kumpulan muzik, Purple (bukan nama sebenar) dilarang membuat konsert di perkarangan masjid.”

Komentar:

Wallahua’lam. Dikatakan bahawa kumpulan tersebut dilarang kerana dikhuatiri mencemari kesucian masjid. Akan tetapi berlainan pula dengan situasi di negara kita, seorang ‘ustaz’ yang kononnya memberi ceramah di perkarangan (atau mungkin juga di dalam) masjid. Tiba-tiba menjerit dan melalak menyanyikan lagu cover song kepada Siti Nurhaliza selain beberapa lagu nasyid tanah air. Apakah ini satu budaya yang baik? Tidak dinafikan bahawa, Hasan bin Tsabit al-Ansari pernah bersya’ir di dalam masjid. Namun, apakah nyanyian juga tergolong dalam perkara yang sama? Apatah lagi dengan muzik-muzik berkumandang, serta lagu yang tidak membawa sebarang faedah. Mungkin mereka menganggap cara ini untuk berseronok, menghilangkan mengantuk serta kebosanan. Akan tetapi, jika diselitkan dengan sesuatu yang berunsurkan penderhakaan kepada Allah dan RasulNya. Apakah ia akan jadi halal akhirnya. Apakah dengan memakai pangkal nama ‘ustaz’, akhirnya terlepas jika membuat kesilapan?

Bukan ingin mengutuk mana-mana pihak, akan tetapi, ada perkara yang perlu dijelaskan agar tidak terus berada dalam kekeliruan. Barangkali jika perkara yang menjangkiti minda masyarakat, jika tidak diubati, maka akan terusan jadi barah. Semuanya akibat kedangkalan serta kejahilan. Apakah kita berterusan mahu diselimuti kebodohan? Perlu untuk kita menyelamatkan diri serta keluarga dari azab neraka. Bercakap menggunakan ilmu, dan berbuat sesuatu perkara juga perlu dibatasi dengan ilmu.

Wallahua’lam.

0 comments: