Perjalanan Syawal 1429H


Beraya tidak lama, cuma dua hari. Memang sudah jadi habit bahawa tidak suka berziarah. Acara tahunan seperti berziarah ke rumah nenek serta sanak saudara dan berakhir di situ untuk raya pertama setiap tahun. Jika rajin serta ada jemputan untuk dari rakan-rakan, maka kami akan berkonvoi ke rumah rakan taulan serta guru-guru yang pernah mendidik. Biasanya tidak banyak. Dan itu biasanya pada raya kedua. atau ketiga.

Saya kurang berziarah? Ya. Memang tidak dinafikan. Kerana sedari kecil, tidak diajar oleh ibu untuk berbasikal mengelilingi kampung mengutip wang raya. Biasanya ibu akan marah sedikit jika ingin buat demikian, “tak elok.” Jadi jika rakan-rakan di sekolah bercerita mengenai hasil kutipan duit raya, maka tentunya saya jatuh di tangga terakhir. Seingat saya, saya tidak pernah berjaya mengumpul duit raya melebihi RM100! Melebihi RM50 pun hanya dua kali rasanya.

Dah besar pun masih kurang berziarah? Ya. Masih kurang. Bukan apa, akan tetapi ada beberapa perkara yang tidak saya gemari ketika berziarah.

Pertama, masalah bersalaman dan bersentuhan dengan bukan mahram. Alhamdulillah, agaknya kerana bersekolah agama, jadi tidak ‘dipaksa’ untuk bersalaman dengan bukan mahram hatta sepupu sepapat sekalipun. Di kala dewasa, dengan janggut yang panjang, masalah ‘terpaksa’ bersalaman tidak lagi timbul. Mungkin masing-masing sudah malu. Janggut juga yang jadi aset paling berharga sebagai perisai di Hari Raya selain prinsip! Masri juga ada bercakap mengenai hal ini.

Kedua, perihal aurat. Walaupun tidak bersalaman, akan tetapi masalah aurat tidak dapat terelakkan. Dengan Hari Raya sebagai dalil utama, maka akan kelihatanlah setiap perkara yang tidak mahu dilihat! Akan ada itu ini yang kurang menyeronokkan. Alangkah tidak mahu berbuka (yakni berhari raya) dengan melihat aurat orang. Perkara paling biasa adalah sepupu perempuan berpakaian seperti sedang menyambut suami. Dan saya serius. Tuan-tuan (serta puan-puan), ia akan jadi jadi berbeza jika saya suami mereka ya!

Ketiga, tentang bermaafan di Hari Raya. Sedikit keras mungkin di sini, akan tetapi ia bukan dari sunnah. Apa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW adalah untuk mengucapkan tahniah kepada kaum Muslimin yang lain dengan perkataan, عيد مبارك ataupun dengan mengucapkan كل عام وانتم بخير. Dan ini lebih utama, bermaafan bukan sahaja di Hari Raya. Tetapi setiap masa. Alangkah buruk pemikiran sesetengah manusia yang beranggapan bahawa Hari Raya sahaja menjadi medan bermaafan. Sehingga jika berselisihan, ada yang beralasan, “tidak mengapa. Hari Raya nanti minta maaf.” Namun, tak dapat tidak, masih belum dielakkan sepenuhnya. Kadang-kadang, sekadar untuk meraikan orang yang terlebih dahulu meminta maaf. Hanya sekadar menjadi lebih bersopan. Akan tetapi, perlu ditegaskan bahawa adalah bukan dari sunnah untuk menghadkan hari meminta maaf di Hari Raya sahaja, bahkan setiap hari!

Tidak dinafikan bahawa Hari Raya memainkan peranan penting dalam mengeratkan perhubungan. Di Hari Raya, saya berpeluang berjumpa rakan-rakan serta guru-guru yang sudah lama tidak ditemui. Dan setiap tahun, guru-guru saya akan bercakap bahawa saya dan rakan-rakan sudah berlainan jika dibandingkan dengan setahun yang lepas; bermakna hari raya tahun lepas! Dan kami dilayan seperti rakan, bukan lagi murid. Rasa hormat kami kepada mereka tidak berkurang, akan tetapi rasa hormat mereka kami sudah berlainan. Kami jadi bukan sekadar bekas murid, tetapi rakan.

Bahang Syawal akan terus kekal barangkali. Dan malam ini saya akan berangkat ke Kuala Lumpur. Beraya bersama rakan-rakan dari jazirah arab pula. Insya Allah!

0 comments: