Showing posts with label ayat kehidupan. Show all posts
Showing posts with label ayat kehidupan. Show all posts

Hapuskan Tangisan...


Benarlah manusia itu dalam kerugian. Hanya ingat akan ALLAH di waktu dia berada dalam kesusahan dan kesakitan, akan tetapi lupa di waktu senang.

Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan tatkala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami, memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu), demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.[i]

Manusia itu, apabila menangis. Meratap tidak ketahuan. Maka akan mula ingat kepada ALLAH. Namun sebaliknya di waktu riang.

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.[ii]

Sungguh! Malanglah mereka. Ya ALLAH! Tidak aku ingin menjadi orang yang demikian! Wahai Rabb kepada ‘Arsy yang agung. Selamatkanlah aku dari demikian!

Jadikanlah aku orang yang ingat padamu setiap masa. Di kala duka, di kala gembira. Sungguh itu lebih aku mahukan dari segalanya ya ALLAH....

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku akan ingat pula kepada Mu; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).[iii]

Aku mahu jadi orang yang ingat akan Mu, agar aku diingati Mu[iv]. Aku mahu dapatkan buah, hasil cinta dan kenal Mu ya Allah.[v]

Ya Allah, jadikan aku antara mereka yang ruku’ dan sujud kepada Mu. Tanpa penat dan keluh kesah. Semata mencari redha Mu ya Allah! Pancarkan kasturi keimanan dari wajahku.

Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan kurnia dari Allah serta mengharapkan keredaanNya. Tanda mereka terdapat wajah mereka - dari kesan sujud.[vi]

Jadikan pula aku orang yang takut serta taat. Agar dapat aku menuntun manusia selainku. Serta biar aku mendapat buah keharuman syurga.

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.[vii]

Sesungguhnya cukuplah Dia bagiku. Dan Dia lebih mengetahui dari setiap kalian manusia.

Sesungguhnya Allah mengetahui Segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya ia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.[viii]

Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan.[ix]




[i] Yunus: 12

[ii] Fussilat: 51

[iii] Al-Baqarah: 152

[iv] Rujuk hadith shahih dari Imam Ahmad, “Sesiapa yang mengingatkan Ku padanya, akan aku mengingatkannya kepada Ku…” (Disebutkan juga oleh Ibnu Taimiyyah dalam kitab al-Iman. Ibn Katsir dalam tafsirnya membawakan hadith ini sebagai syahid kepada ayat al-Quran yang datang sebelum ini.

[v] Taisir al-Karim ar-Rahman, as-Sa’di, Dar as-Salam, Riyadh (70)

[vi] Al-Fath: 29

[vii] An-Nur: 52

[viii] Fathir: 38

[ix] An-Nahl: 19

Meredhai Allah sebagai Rabb



Sudah lama jari ini tidak memegang pena, menancap kata-kata dengan tinta. Hari ini aku luahkan semua, apa yang terbuku di dada, di atas lembaran putih berkaca.

***************************

Tauhid merupakan jalan utama dalam menyucikan jiwa untuk menghampiri Rabb kepada Arsy yang Mulia. Dalam mentauhidkan Allah, seorang mukmin akan mendapati dirinya senang dengan segala yang telah dituliskan ke atasnya. Mereka yang mentauhidkan Allah adalah mereka yang mendukung redha kepada Allah sebagai Rabb. Orang-orang yang sedemikianlah yang menjadikan Allah sebagai tempat bertawakkal dan meminta pertolongan.

وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرً

Barangsiapa bertawakkal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menetapkan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.[i]

Sesungguhnya beruntunglah orang yang bertawakkal, kerana sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW kepada Ibnu Mas’ud;

احفظ الله يحفظك، احفظ الله تجده تجاهك، وإذا سألت فاسأل الله، وإذا استعنت فاستعن بالله، واعلم أن الأمة لو اجتمعوا على أن ينفعوك، لم ينفعوك إلا بشيء كتبه الله لك، ولو اجتمعوا على أن يضروك، لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك، رفعت الأقلام، وجفت الصحف

“Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu, jagalah Allah dan dia akan berada bersamamu. Jika kamu meminta, mintalah dengan Allah, dan jika kamu pinta pertolongan, maka mintalah dari Allah. Ketahuilah, jika seluruh ummat ini bersatu untuk memberi kebaikan kepadamu, mereka tidak akan dapat memberi kebaikan padamu melainkan apa yang telah Allah tuliskan kepadamu. Dan jika mereka bersatu untuk memberi keburukan kepadamu, tidak akan mereka dapat berikan keburukan melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atasmu. Telah diangkat pena dan telah kering lembaran-lembaran.”[ii]


Sesungguhnya bagi mereka yang bertawakkal kepada Allah, serta meminta setiap sesuatu hanya kepadaNya, mereka akan jadi redha. Tiada rungutan mahupun keluhan yang akan terlahir dari bibir orang-orang yang sedemikian. Kerana bagi mereka, ketentuan yang telah ditulis oleh Allah kepada mereka menyebabkan hati jadi kuat, serta tahan segala cabaran dan dugaan. Mereka tahu mengenai kasih sayang Allah. Bagaimana Allah mengasihi hamba-hambaNya. Bahkan, kasih sayang Allah itu adalah melebihi kasih sayang seorang hamba (manusia) kepada dirinya sendiri. Kasih sayang ini akan diperoleh oleh orang-orang yang beriman. Mereka yang menelusuri jalan Allah dengan sebenar-benar rasa keimanan.

وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا

Dan adalah Dia Maha Penyayang (sentiasa melimpah-limpah rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di Akhirat).[iii]

Tabarakallah! Alangkah bertuah mereka yang memperoleh rahmat dan kasih sayangNya. Kasih sayang yang tidak ada tolok banding, di bumi mahupun di langit! Apa lagi yang dimahukan? Apa lagi yang diharapkan? Sungguh mengasyikkan apabila mengenangkan ganjaran-ganjaran Allah kepada mereka yang beriman.


Maka ingatlah! Mereka yang mentauhidkan Allah, Allah akan merasa senang dengannya, dan dia akan merasa senang dengan segala balasan Allah.

قَالَ اللَّهُ هَذَا يَوْمُ يَنْفَعُ الصَّادِقِينَ صِدْقُهُمْ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Allah berfirman: "Inilah satu hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. itulah kejayaan yang amat besar".[iv]

Sungguh beruntung mereka yang disebutkan. Mereka inilah orang yang benar dalam menyatakan mengenai ketauhidan mereka kepada Allah. Sebagaimana yang dikatakan adh-Dhahak oleh Ibnu Abbas; يوم ينفع الموحدين توحيدهم (Iaitu) hari dimana tauhid memanfaatkan orang-orang yang mengesakan (Allah).[v]


Dan berlainanlah orang yang beriman dan mengharapkan kasih sayang daripada Allah dengan mereka yang hanya merasa takabbur apabila diberikan ganjaran, dan kufur apabila diberikan ujian.

فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ - وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ

Oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takabbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!". Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, Dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"[vi]

Orang-orang yang sedemikian adalah orang yang selalu menganggapkan bahawa apabila Allah memberikan kepadanya kebaikan yang banyak, dia menganggap bahawa itu adalah bahagian kemuliaan yang diberikan Allah kepadanya, akan tetapi ianya merupaka ujian dan dugaan baginya.[vii]


Kebaikan yang banyak akan didapati oleh mereka yang mentauhidkan Allah Azza wa Jalla. Lihat sahaja kepada kesan sejarah yang dilakar oleh para Sahabat R. Anhum Ajma’in. Mereka menggadai segala-galanya demi mendapatkan wajah Allah Jalla wa ‘Ala. Mereka meredhai Allah sebagai Rabb mereka, dan mereka menerima dugaan yang hadir tanpa banyak bicara. Inilah tingkatan keimanan yang paling tinggi. Kerana mereka mengetahui, apabila mereka mentauhidkan Allah, sudah termateri ikatan mereka dengan Nama Allah serta sifat-sifat yang layak baginya. Dan orang-orang mukmin seperti merekalah yang mempunyai darjat yang tinggi, jika hendak dibandingkan dengan orang yang hanya merasa senang dengan balasanNya sahaja.

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِرُسُلِهِمْ لَنُخْرِجَنَّكُمْ مِنْ أَرْضِنَا أَوْ لَتَعُودُنَّ فِي مِلَّتِنَا فَأَوْحَى إِلَيْهِمْ رَبُّهُمْ لَنُهْلِكَنَّ الظَّالِمِينَ - وَلَنُسْكِنَنَّكُمُ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِهِمْ ذَلِكَ لِمَنْ خَافَ مَقَامِي وَخَافَ وَعِيدِ

Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seagama Dengan kami". lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: "Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim. Dan demi sesungguhnya! Kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan takut akan janji-janji azabKu".[viii]


Sahabat R. Anhum telah merasai kemanisan Islam yang sebenar. Mereka maklum akan kewujudan Allah yang akan menimbang segala amal mereka di hari akhirat kelak. Unsur tauhid yang jelas ini menyebabkan mereka tidak takut akan segala dugaan dan cabaran. Kerana mereka mengetahui, sebaik sahaja mereka melafazkan kalimah suci penyaksian. Mereka disucikan jiwa dan raga. Penyaksian mereka akan ketauhidan Allah bukanlah dari segi lisan sahaja, bahkan, dizahirkan dengan semangat dan azam. Dan inilah yang benar apabila disebut mengenai tauhid.


Dan orang-orang yang datang dan pergi selepas mereka wajar mempunyai iltizam yang sama. Untuk menyucikan diri dengan jalan yang haq iaitu dengan mentauhidkan Allah Ta’ala. Sebagaimana yang dilakukan oleh Salaful Ummah dalam mengejar keredhaan Allah, iaitu dengan meredhai Allah sebagai Rabb mereka. Dan meletakkan rasa takut (الخوف) serta harap (الرجاء) kepada Allah.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم « قال الله عز وجل أنا عند ظن عبدى بى وأنا معه حيث يذكرنى والله لله أفرح بتوبة عبده من أحدكم يجد ضالته بالفلاة ومن تقرب إلى شبرا تقربت إليه ذراعا ومن تقرب إلى ذراعا تقربت إليه باعا وإذا أقبل إلى يمشى أقبلت إليه أهرول »

Rasulullah SAW bersabda; Allah telah berfirman, “Aku berada dalam persangkaan hambaKu terhadapKu dan Aku selalu bersamanya selama mana dia mengingatiKu. Demi Allah sesungguhnya Allah itu lebih gembira dengan taubat hambaNya berbanding salah seorang daripada kamu (yang gembira) kerana menjumpai (kenderaan dan bekal perjalannya) yang hilang di padang pasir. Barangsiapa yang mendekati Aku sejengkal, maka akan Aku dekatinya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekati aku sehasta, maka akan Aku dekatinya sedepa. Dan apabila dia menuju ke arah ku secara berjalan, maka aku akan mendatanginya dengan berlari.”[ix]

Abu al-Fadhl

IIUM

____________________________


[i] At-Thalaaq: 3

[ii] Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dalam Sunannya (2516), Ahmad dalam Musnad (2763), al-Hakim dalam al-Mustadarak (6304), serta dinilai shahih oleh al-Albani di dalam al-Misykah.

[iii] Al-Ahdzab: 43

[iv] Al-Ma’idah: 119

[v] Tafsir al-Quran al-Adzim, Ibn Katsir, Dar at-Taiyyibah (3/235)

[vi] Al-Fajr: 15-16

[vii] Ibid (7/397)

[viii] Ibrahim: 13-14

[ix] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam shahihnya (7405), Muslim dalam shahihnya (7128), serta Ahmad dalam Musnad (11066). Lafaz ini didatangkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim. Dan terdapat riwayat lain dengan nun (وأنا معه حين يذكروني) sementara dalam riwayat ni dengan tsa (حيث).

La Tas'aluni



Nasyeed ini saya edit semula dan publish kan sebagai video atas permintaan seseorang. Versi YouTube ada di sini. Munsyid nya adalah Muhammad al-Husayyan. Entah kenapa, ia terasa begitu dekat dengan saya. Dan saya begitu sukakannya. Liriknya di bawah. Lirik terjemahan ada pada video. Sebarang kesalahan pada terjemahan, sila betulkan. Wallahua'lam.


لا تسألوني عن حياتي
فهي أسرار الحياة
هي منحة .. هي محنة
هي عالم من أمنيات
قد بعتها لله ثم
مضيت في ركب الهداة


أما طريقي ف
قرآن .. وسيف .. وابتلاء
الله باركه وسار عليه قبلي الأنبياء
و مواكب الشهداء روته بأنهار الدماء
فإذا به روض ذكي في إطار من ضياء


أما مصيري فهو
مايرضي الإله وما يريد
الفوز بالنصر المبين
أو الشهادة والخلود
فإذا وجدت على الثرى
والعمر محدود الحدود
فكن البطولة والهداية
أو فيا بئس الوجود


P/S: Permohonan maaf kepada teman-teman terutamanya Abu Hasif (abuhasif.wordpress.com) kerana sudah lama tidak mengemas kini blog dengan artikel-artikel. Insya Allah, entry yang seterusnya.

Cinta?


Buat Mereka Yang Bersedih..



Date Taken: 15/03/2008
Camera: Canon EOS 400D (Digital SLR)

Ayat Kehidupanku


Ketika kekandaku, Abu Zubair, memperdengarkan hadith di atas kepadaku Aku jadi begitu terkesan. Menyedarkan aku, bahawa aku seolah-olah terlupa bahawa taqdir itu sudah ada untukku. Sudah dituliskan bagiku. Dan siapa aku untuk menyanggahinya? Jika benar pengakhirannya begitu. Walau sebanyak mana aku cuba melarikan diri. Maka tetap akan aku temukannya. Dan jika benar apa yang telah dituliskan oleh Allah itu sebagai 'milik' aku. Nescaya, tidak akan ada yang dapat merubahnya daripada menjadi 'milik' aku. Kecuali Dia.