Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Ramadhan Terakhir..?

Hari-hari terakhir ramadhan menyebabkan orang-orang yang beriman menangis. Menangis kerana tahu Ramadhan semakin pudar, semakin meninggalkan. Menangis kerana pegembaraan mencari Lailatul Qadr makin hampir ke penghujung. Menangis kerana mengingatkan diri bahawa ini mungkin sahaja Ramadhan terakhir! Mungkin sahaja pencarian malam al-Qadr yang akhir!

Hari-hari terakhir menuntut kepada penghisaban amal-amal yang dilakukan. Banyakkah yang berjaya? Berapa banyak pula yang gagal. Sekelumit rasa kecewa. Kerana amal soleh yang dibuat pada siang dan malam Ramadhan masih disulami dengan dosa serta kemaksiatan. Betapa diri yang kerdil ini berharap agar diampunkan oleh Rabb Azza Wa Jalla. Memang benar, bahawa Allah itu Maha Pengampun dan suka kepada mereka yang bertaubat. Kerana itulah disediakan kepada hamba-hambaNya yang beriman malam al-Qadr sebagai satu tapak dan landasan untuk meloloskan diri dari segala dosa. Hikmah disembunyikan hakikat malam al-Qadr agar mereka yang beriman menggunakan segala kudrat mereka untuk menegakkan tulang belakang di malam hari untuk menghadap Allah yang Mulia. Untuk menyembahNya, memohon keampunan.

Di kala mereka yang terleka bergembira dengan tibanya Syawal, mereka yang beriman menangisi perginya Ramadhan. Timbul satu persoalan, akan signifikan Ramadhan di bulan Syawal. Akan manifestasi Ramadhan yang mulia pada Eid yang diberkati.

Ramai terlupa, bahkan ramai sekali alpa. Bahawa Ramadhan yang berlalu adalah satu medan penyucian diri dan hati.. Satu medan untuk membentuk manusia menjadi seorang yang lebih baik. Ramai sekali terlupa bahawa selama sebulan kita meniti Ramadhan, kita diajar untuk jadi manusia yang lebih baik. Samada pada zahir mahupun yang batin. Sebulan yang mendidik kita untuk menjadi manusia sebagaimana asalnya. Dan apabila tiba Eid al-Fitri, hari kita menyambut kembali keadaan kita yang kembali kepada fitrah, bukanlah yang dimaksudkan kembali kepada fitrah adalah kembali makan dan minum sebagaimana asalnya sahaja. Akan tetapi, kembali kepada fitrah sucinya diri, serta amalan sebagaimana kita diajar dan dididik di bulan Ramadhan. Sebagaimana fitrah manusia yang suci pada diri, akal, serta amalan mereka. Namun disebabkan oleh kealpaan, mereka mula menjadi kotor. Tibanya Ramadhan itu sebagai satu laluan untuk mendidik agar berpaling semula kepada fitrah. Dan kita menyambut Eid dengan kembali kepada fitrah. Ini signifikan Ramadhan kepada umat.

Ramai yang jadi lupa kerana menyangka bahawa Ramadhan cuma medan untuk mengajar diri dari menahan lapar dan dahaga. Apabila tiba Syawal, hari dibenarkan untuk makan dan minum sebagaimana asal, maka dibenarkan juga untuk melakukan perbuatan lain yang dilarang di dalam bulan Ramadhan. Ramai kembali bercakap kotor, berdusta, dan sebagainya. Betapa malang mereka yang berpendapat demikian. Ramadhan adalah seperti satu medium untuk melakukan ‘brainwash’ kepada manusia. Di mana, orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasulnya akan menghayatinya dengan maksud sebenar.

Ramadhan semakin sedikit bakinya. Betapa jika hati ini menangis memberontak, masa pasti tidak akan mampu diputar. Tinggal apa yang terdaya hanyalah untuk berdoa, agar dikurniakan Ramadhan yang seterusnya. Agar dapat menjejak semula malam al-Qadr. Namun bagaimana jika ini Ramadhan terakhir bagi kita..?

****************************

Bila lagi kita akan bertemu wahai Ramadhan? Di kala aku mendambakan keampunan. Kau pergi berlalu. Di kala aku mengharapkanmu menjadi peluang padaku. Kau semakin jauh. Apakah aku akan menemuimu lagi wahai Ramadhan?

اللهم إنك عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُ الْعَفْوَ فاعْفُ عَنِّي

Ya Allah, sesungguhnya engkau adalah pemberi kemaafan lagi mulia, dan cinta akan kemaafan, berilah kemaafan kepadaku.

Ya Allah, terimalah permohonan taubatku, kabulkanlah istighfarku kepadaMu. Kerana aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkanMu ya Allah. Aku mahu menyembahMu walau di mana aku berada, di barat mahupun timur, di kala fajar menyinsing mahupun terbenam, di kala aku berdiri, mahupun duduk, di saat aku jaga mahupun tidur. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku bahkan matiku adalah keranaMu ya Allah. Aku mahukan keampunan serta kemaafan. Tiada yang lebih berharga, melainkan rasa kecintaan kepadaMu wahai pemilik ‘Arsy yang mulia. Sesungguhnya aku ingin menjadi di antara mereka yang mendapat wajahMu di hari akhirat kelak. Jika ini Ramadhan yang terakhir bagiku, maka jangan biarkan aku membiarkan ia sia-sia, dan jauhkanlah aku dari disia-siakan wahai Allah. Aku bermohon kepadaMu. Biar sahajalah basah mata ini keranaMu. Biar sahaja lemah kaki ini, berdiri menghadapMu. Biar sahaja... Kerana aku mendambakanMu wahai Allah...

Ilmu dan Neraka

Sebelum berbuka sebentar tadi, Syeikh Aiman ada memberikan tazkirah ringkas. Tazkirah berkisar mengenai tazkiyatun nafs atau penyucian diri.

Antara yang masih saya ingat adalah bahawa penyucian diri itu melalui tauhid. Kepala dalam Islam adalah tauhid. Dan tauhid itu adalah asas kepada penyucian diri. Ya. Jika difikir-fikir, memang.. Dalam agenda penyucian diri, tauhid menjadi asas. Jika diri tidak mentauhidkan Allah, entah bagaimana kita ingin mencapai tahap penyucian diri yang sebenar. Ramai orang alpa dan leka, kononnya berzikir kepada Allah dalam tujuan menyucikan diri. Ramai pula yang bersedekah dan berbuat bermacam lagi amalan, dengan satu maksud, untuk menyucikan diri. Namun mereka jugalah yang berbuat syirik kepada Allah. Menyembah kepada selain daripada Allah, samada dalam keadaan sedar atau tidak. Walhal, berat sekali azab siksa Allah kepada mereka yang mensyirikkanNya. Apakah mereka lebih sanggup mendiami Jahannam akibat dari mensyirikkan Allah?! Na’udzubillah!

Syeikh juga ada menyebut bahawa ilmu adalah sebagai salah satu medium mensucikan diri. Ya. Dengan ilmu, tentu sekali kita sedar bahawa apa yang sepatutnya dilakukan, dan mana yang tidak. Mana yang baik, dan mana satu jugakah yang LEBIH baik. Serta mana satukah yang buruk. Ini semua pasti kita dapati dengan adanya ilmu.

Hati jadi tersentuh apabila Syeikh mengingatkan kepada hadirin bahawa Allah membenci orang yang mempunyai ilmu akan tetapi dia sendiri tidak mengamalkannya. Sebagaimana yang difirmankan Allah;

“Wahai orang-orang yang beriman! Kenapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak kerjakan? Amat besar kebenciannya di sisi Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan.”

Hati jadi sakit. Jadi pedih. Jadi sayu. Jadi geram. Marahkan diri sendiri apabila mendengar kata-kata Syeikh. Betapa saya sendiri kadang-kadang, bahkan selalu melalaikan diri. Semoga Allah mengampunkan saya!

Syeikh kemudian menyambung dengan satu hadith bahawa antara yang terawal masuk atau dibakar api neraka adalah orang alim.

Diri ini terdiam. Sungguh, bahawa orang alim itu punya bahagian juga di dalam api neraka. Ajaib bukan? Tapi jika dinilai dari surah as-Saff tersebut. Apa yang dihairankan? Memang.. Memang benar sekali.

Moga Allah ampunkan diri kita dari sifat yang demikian. Moga dijauhkan. Betapa dha’if diri, namun masih leka dan lupa. Sungguh! Moga dijauhkan dari kesesatan. Berat dan panas azab neraka belum tentu dapat ditanggung dipikul oleh tubuh kecil ini.

Betapa aku rindu untuk jadi diri sendiri. Diri yang positif.

Kenapa perlu jadi bakhil?

Masuk ke pengajian Syeikh agak lambat, kerana bersolat di masjid UIAM, kemudian minum-minum bersama Ustaz Arif serta Zahid, sebelum disertai oleh Abdullah. Masuk sahaja ke pengajian, terdengar Syeikh membacakan hadith dari Kitab Doa daripada Kitab Shahih at-Targhib wa at-Tarhib.

Antara hadith yang dibaca sewaktu saya masuk menyertai pengajian;

عن حسين رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال البخيل من ذكرت عنده فلم يصل علي

Dari Hussain R.A dari Nabi SAW, katanya; “Orang yang bakhil adalah siapa yang disebutkan namaku padanya, akan tetapi tidak berselawat ke atasku?”

Apa signifikannya hadith ini? Dan kenapa orang yang tidak berselawat itu orang yang bakhil? Serta apa balasan kepada orang yang bakhil ini? Apabila membuka Kitab Shahih at-Targhib wa at-Tarhib, maka kita akan dapati bahawa terdapat satu hadith yang panjang;

وعن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم صعد المنبر فقال آمين آمين آمين

قيل يا رسول الله إنك صعدت المنبر فقلت آمين آمين آمين فقال إن جبريل عليه السلام أتاني فقال من أدرك شهر رمضان فلم يغفر له فدخل النار فأبعده الله

قل آمين فقلت آمين ومن أدرك أبويه أو أحدهما فلم يبرهما فمات فدخل النار فأبعده الله قل آمين فقلت آمين ومن ذكرت عنده فلم يصل عليك فمات فدخل النار فأبعده الله قل آمين فقلت آمين

Dari Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW menaiki minbar dan berkata, “Amin, amin, amin.”

Aku berkata, “Ya Rasulullah, sesungguhnya engkau menaiki minbar dan berkata amin,amin,amin”

Katanya, “Sesungguhnya Jibril A.S datang kepadaku dan berkata, “Sesiapa yang mendapat bulan Ramadhan, akan tetapi tidak diampunkan kepadanya (dosa-dosanya) maka masuklah dia ke dalam neraka dan dijauhkannya Allah, katakanlah amin” maka aku berkata amin. “Dan sesiapa yang mendapat kedua ibu bapanya atau salah seorang dari mereka, akan tetapi tidak berbuat baik kepada mereka dan mati maka akan masuk neraka dan dijauhkannya Allah, katakanlah amin” maka aku berkata amin. “Sesiapa yang disebutkan (nama)ku padanya, tetapi tidak berselawat (kepadaku) kemudian mati, maka masuklah dia ke dalam neraka dan dijauhkannya Allah, katakanlah amin.” Maka aku berkata amin.”

Jelas di situ bahawa kealpaan sesetengah daripada kita untuk berselawat ke atas Nabi SAW apabila disebutkan namanya boleh mencampakkan kita ke dalam neraka. Siapa sangka? Apabila sesetengah orang memandang enteng kepada perkara ini, rupanya ia begitu berat sekali.

Bukanlah sukar untuk berselawat ke atas Nabi SAW. Tidak memerlukan tenaga yang banyak. Jadi, kenapa perlu bakhil?

***********************

Timbunan kerja yang bersepah dan bersepah. Kepala tengah pening. Submission is on Friday. The schedule of rate is my job.

Makanan Hati


Di atas adalah antara artwork terawal ariff.arifin.studio (sebelum itu belum wujud).

*****************

Gemersik suara Yusuf, sahabatku, yang mengimamkan terawikh di Zubair terhenti. Lama.. Kemudian terdengar esak tangisan. Suaranya yang mengalunkan bacaan dalam riwayat warsy itu tersekat-sekat, cuba menahan esak, tapi pecah.. Berderai.. Aku ketika itu masih di kamar, terdiam, meneliti ayat yang dibaca.. Aku yakin, itu ayat dari surah al-A’raf.

Turun bersolat dalam keadaan sedikit lewat. Usai sahaja solat, ternampak Syeikhuna Aiman ad-Daqaq Hafidzahullah mengambil mushaf. Terdetik dalam hati, “Malam ini bukan kuliah Shahih al-Targhib wa al-Tarhib.” Nampak wajah tenang Syeikh membacakan ayat yang menyebabkan derai tangisan Yusuf.

لَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آَذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Dan Sesungguhnya Kami jadikan isi neraka jahanam banyaknya dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Sungguh. Penerangan yang benar-benar menggoncangkan hati. “Tuhan kamu mahukan dari kamu HATI kamu! Tuhan kita mahukan dari kita HATI kita!” Terdiam dan terpana. Syeikh menyambung, “Dikhabarkan kepada kita dari Sadiqul Masduq SAW; Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk serta tubuh badan kamu, akan tetapi Dia melihat kepada hati serta amal kamu.”

Betapa kerdil diri apabila mendengar kata-kata Syeikh. Entah sudah berapa banyak tompokan noda hitam dalam hati ini. Allahu Rabbuna, sucikanlah semula hatiku. Betapa diri terasa sanagat kecil apabila memikirkan bahawa betapa amal-amal sedikit selama ini dipalit dan dicalit dosa maksiat. Ramai terdiam. Termasuk aku.

Betapa ramai yang punya hati, akan tetapi, tidak digunakan untuk memahami ayat-ayat Allah. Syeikh berkata, “Mereka mempunyai hati tapi mereka menggunakannya untuk memahami dinar dan dirham, mereka mempunyai hati tapi mereka menggunakannya untuk memahami hawa nafsu, mereka mempunyai hati tapi menggunakannya untuk memahami dunia!”

Aku tidak mahu jadi demikian.. Tidak mahu..

Hati itu raja.” Memang benar, hati itu raja. Jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota yang lain, tapi jika buruk, maka padahlah juga pada seluruh anggota yang lain. Siapa sangka seketul daging kecil dalam tubuh itu mampu membawa implikasi besar kepada hidup manusia? Siapa sangka??

“Mereka punya mata tapi tidak mahu melihat dengannya. Mereka punya mata, tapi tidak menggunakannya untuk melihat.” Betapa risaunya aku sedangkan mata ini banyak sekali digunakan untuk melihat perkara yang tidak layak. Yang mengotorkan aqal dan hati. Ya Rabbul ‘Arsyil Karim, sucikanlah semula apa yang sudah ada padanya kotoran. Mahunya aku jadi seperti bayi yang baru dilahirkan. Yang suci dari noda dunia serta isinya.

Hum yanzuruun lakin la yubsiruun! Hum yasma’uun lakin la yastajibuun!” Suara Syeikh agak meninggi. Menekan. Kemudian menyambung dengan ayat dari surah lain;

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ قَالُوا سَمِعْنَا وَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang berkata: "Kami dengar", padahal mereka tidak mendengar.

Syeikh bertanya, “Keif yasma’uun wa la yasma’uun?” Mereka itulah orang yang mendengar akan tetapi tidak mahu menerima. Memang, orang yang melihat itu tidak menerima. Orang yang mendengar juga tidak menerima. Tidak menerima dengan hati. Tidak! Kerana itu hilang pedoman. Kerana itu ramai yang terhalang oleh bayang-bayang dosa dan kemunafikan. Seperti mereka yang dalam ayat tersebut. Hati jadi nipis mendengar. Kecil. Kerdil. Dicarik-carik. Sedih.

Sedih.

Lebih parah lagi kesayuan apabila mendengar doa Syeikh di hujung pengajian. Agar diselamatkan dari sifat nifaq dan kadzib! Allahu Rabbuna, selamatkan aku! Selamatkan kami!

Hapuskan Tangisan...


Benarlah manusia itu dalam kerugian. Hanya ingat akan ALLAH di waktu dia berada dalam kesusahan dan kesakitan, akan tetapi lupa di waktu senang.

Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan tatkala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami, memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu), demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.[i]

Manusia itu, apabila menangis. Meratap tidak ketahuan. Maka akan mula ingat kepada ALLAH. Namun sebaliknya di waktu riang.

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.[ii]

Sungguh! Malanglah mereka. Ya ALLAH! Tidak aku ingin menjadi orang yang demikian! Wahai Rabb kepada ‘Arsy yang agung. Selamatkanlah aku dari demikian!

Jadikanlah aku orang yang ingat padamu setiap masa. Di kala duka, di kala gembira. Sungguh itu lebih aku mahukan dari segalanya ya ALLAH....

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku akan ingat pula kepada Mu; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).[iii]

Aku mahu jadi orang yang ingat akan Mu, agar aku diingati Mu[iv]. Aku mahu dapatkan buah, hasil cinta dan kenal Mu ya Allah.[v]

Ya Allah, jadikan aku antara mereka yang ruku’ dan sujud kepada Mu. Tanpa penat dan keluh kesah. Semata mencari redha Mu ya Allah! Pancarkan kasturi keimanan dari wajahku.

Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan kurnia dari Allah serta mengharapkan keredaanNya. Tanda mereka terdapat wajah mereka - dari kesan sujud.[vi]

Jadikan pula aku orang yang takut serta taat. Agar dapat aku menuntun manusia selainku. Serta biar aku mendapat buah keharuman syurga.

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.[vii]

Sesungguhnya cukuplah Dia bagiku. Dan Dia lebih mengetahui dari setiap kalian manusia.

Sesungguhnya Allah mengetahui Segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya ia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.[viii]

Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan.[ix]




[i] Yunus: 12

[ii] Fussilat: 51

[iii] Al-Baqarah: 152

[iv] Rujuk hadith shahih dari Imam Ahmad, “Sesiapa yang mengingatkan Ku padanya, akan aku mengingatkannya kepada Ku…” (Disebutkan juga oleh Ibnu Taimiyyah dalam kitab al-Iman. Ibn Katsir dalam tafsirnya membawakan hadith ini sebagai syahid kepada ayat al-Quran yang datang sebelum ini.

[v] Taisir al-Karim ar-Rahman, as-Sa’di, Dar as-Salam, Riyadh (70)

[vi] Al-Fath: 29

[vii] An-Nur: 52

[viii] Fathir: 38

[ix] An-Nahl: 19

Tangisan kerana Syi'ah!!



Di delete atas permintaan..

***************************
Verses of Life mencadangkan:

Kenali Syi'ah

Hujjah Syi’ah dan Jawapannya: Vol. 1

Hujjah Syi’ah dan Jawapannya: Vol. 2

Hujjah Syi’ah dan Jawapannya: Vol. 3

Meredhai Allah sebagai Rabb



Sudah lama jari ini tidak memegang pena, menancap kata-kata dengan tinta. Hari ini aku luahkan semua, apa yang terbuku di dada, di atas lembaran putih berkaca.

***************************

Tauhid merupakan jalan utama dalam menyucikan jiwa untuk menghampiri Rabb kepada Arsy yang Mulia. Dalam mentauhidkan Allah, seorang mukmin akan mendapati dirinya senang dengan segala yang telah dituliskan ke atasnya. Mereka yang mentauhidkan Allah adalah mereka yang mendukung redha kepada Allah sebagai Rabb. Orang-orang yang sedemikianlah yang menjadikan Allah sebagai tempat bertawakkal dan meminta pertolongan.

وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرً

Barangsiapa bertawakkal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menetapkan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.[i]

Sesungguhnya beruntunglah orang yang bertawakkal, kerana sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW kepada Ibnu Mas’ud;

احفظ الله يحفظك، احفظ الله تجده تجاهك، وإذا سألت فاسأل الله، وإذا استعنت فاستعن بالله، واعلم أن الأمة لو اجتمعوا على أن ينفعوك، لم ينفعوك إلا بشيء كتبه الله لك، ولو اجتمعوا على أن يضروك، لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك، رفعت الأقلام، وجفت الصحف

“Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu, jagalah Allah dan dia akan berada bersamamu. Jika kamu meminta, mintalah dengan Allah, dan jika kamu pinta pertolongan, maka mintalah dari Allah. Ketahuilah, jika seluruh ummat ini bersatu untuk memberi kebaikan kepadamu, mereka tidak akan dapat memberi kebaikan padamu melainkan apa yang telah Allah tuliskan kepadamu. Dan jika mereka bersatu untuk memberi keburukan kepadamu, tidak akan mereka dapat berikan keburukan melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atasmu. Telah diangkat pena dan telah kering lembaran-lembaran.”[ii]


Sesungguhnya bagi mereka yang bertawakkal kepada Allah, serta meminta setiap sesuatu hanya kepadaNya, mereka akan jadi redha. Tiada rungutan mahupun keluhan yang akan terlahir dari bibir orang-orang yang sedemikian. Kerana bagi mereka, ketentuan yang telah ditulis oleh Allah kepada mereka menyebabkan hati jadi kuat, serta tahan segala cabaran dan dugaan. Mereka tahu mengenai kasih sayang Allah. Bagaimana Allah mengasihi hamba-hambaNya. Bahkan, kasih sayang Allah itu adalah melebihi kasih sayang seorang hamba (manusia) kepada dirinya sendiri. Kasih sayang ini akan diperoleh oleh orang-orang yang beriman. Mereka yang menelusuri jalan Allah dengan sebenar-benar rasa keimanan.

وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا

Dan adalah Dia Maha Penyayang (sentiasa melimpah-limpah rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di Akhirat).[iii]

Tabarakallah! Alangkah bertuah mereka yang memperoleh rahmat dan kasih sayangNya. Kasih sayang yang tidak ada tolok banding, di bumi mahupun di langit! Apa lagi yang dimahukan? Apa lagi yang diharapkan? Sungguh mengasyikkan apabila mengenangkan ganjaran-ganjaran Allah kepada mereka yang beriman.


Maka ingatlah! Mereka yang mentauhidkan Allah, Allah akan merasa senang dengannya, dan dia akan merasa senang dengan segala balasan Allah.

قَالَ اللَّهُ هَذَا يَوْمُ يَنْفَعُ الصَّادِقِينَ صِدْقُهُمْ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Allah berfirman: "Inilah satu hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. itulah kejayaan yang amat besar".[iv]

Sungguh beruntung mereka yang disebutkan. Mereka inilah orang yang benar dalam menyatakan mengenai ketauhidan mereka kepada Allah. Sebagaimana yang dikatakan adh-Dhahak oleh Ibnu Abbas; يوم ينفع الموحدين توحيدهم (Iaitu) hari dimana tauhid memanfaatkan orang-orang yang mengesakan (Allah).[v]


Dan berlainanlah orang yang beriman dan mengharapkan kasih sayang daripada Allah dengan mereka yang hanya merasa takabbur apabila diberikan ganjaran, dan kufur apabila diberikan ujian.

فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ - وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ

Oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takabbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!". Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, Dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"[vi]

Orang-orang yang sedemikian adalah orang yang selalu menganggapkan bahawa apabila Allah memberikan kepadanya kebaikan yang banyak, dia menganggap bahawa itu adalah bahagian kemuliaan yang diberikan Allah kepadanya, akan tetapi ianya merupaka ujian dan dugaan baginya.[vii]


Kebaikan yang banyak akan didapati oleh mereka yang mentauhidkan Allah Azza wa Jalla. Lihat sahaja kepada kesan sejarah yang dilakar oleh para Sahabat R. Anhum Ajma’in. Mereka menggadai segala-galanya demi mendapatkan wajah Allah Jalla wa ‘Ala. Mereka meredhai Allah sebagai Rabb mereka, dan mereka menerima dugaan yang hadir tanpa banyak bicara. Inilah tingkatan keimanan yang paling tinggi. Kerana mereka mengetahui, apabila mereka mentauhidkan Allah, sudah termateri ikatan mereka dengan Nama Allah serta sifat-sifat yang layak baginya. Dan orang-orang mukmin seperti merekalah yang mempunyai darjat yang tinggi, jika hendak dibandingkan dengan orang yang hanya merasa senang dengan balasanNya sahaja.

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِرُسُلِهِمْ لَنُخْرِجَنَّكُمْ مِنْ أَرْضِنَا أَوْ لَتَعُودُنَّ فِي مِلَّتِنَا فَأَوْحَى إِلَيْهِمْ رَبُّهُمْ لَنُهْلِكَنَّ الظَّالِمِينَ - وَلَنُسْكِنَنَّكُمُ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِهِمْ ذَلِكَ لِمَنْ خَافَ مَقَامِي وَخَافَ وَعِيدِ

Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seagama Dengan kami". lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: "Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim. Dan demi sesungguhnya! Kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan takut akan janji-janji azabKu".[viii]


Sahabat R. Anhum telah merasai kemanisan Islam yang sebenar. Mereka maklum akan kewujudan Allah yang akan menimbang segala amal mereka di hari akhirat kelak. Unsur tauhid yang jelas ini menyebabkan mereka tidak takut akan segala dugaan dan cabaran. Kerana mereka mengetahui, sebaik sahaja mereka melafazkan kalimah suci penyaksian. Mereka disucikan jiwa dan raga. Penyaksian mereka akan ketauhidan Allah bukanlah dari segi lisan sahaja, bahkan, dizahirkan dengan semangat dan azam. Dan inilah yang benar apabila disebut mengenai tauhid.


Dan orang-orang yang datang dan pergi selepas mereka wajar mempunyai iltizam yang sama. Untuk menyucikan diri dengan jalan yang haq iaitu dengan mentauhidkan Allah Ta’ala. Sebagaimana yang dilakukan oleh Salaful Ummah dalam mengejar keredhaan Allah, iaitu dengan meredhai Allah sebagai Rabb mereka. Dan meletakkan rasa takut (الخوف) serta harap (الرجاء) kepada Allah.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم « قال الله عز وجل أنا عند ظن عبدى بى وأنا معه حيث يذكرنى والله لله أفرح بتوبة عبده من أحدكم يجد ضالته بالفلاة ومن تقرب إلى شبرا تقربت إليه ذراعا ومن تقرب إلى ذراعا تقربت إليه باعا وإذا أقبل إلى يمشى أقبلت إليه أهرول »

Rasulullah SAW bersabda; Allah telah berfirman, “Aku berada dalam persangkaan hambaKu terhadapKu dan Aku selalu bersamanya selama mana dia mengingatiKu. Demi Allah sesungguhnya Allah itu lebih gembira dengan taubat hambaNya berbanding salah seorang daripada kamu (yang gembira) kerana menjumpai (kenderaan dan bekal perjalannya) yang hilang di padang pasir. Barangsiapa yang mendekati Aku sejengkal, maka akan Aku dekatinya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekati aku sehasta, maka akan Aku dekatinya sedepa. Dan apabila dia menuju ke arah ku secara berjalan, maka aku akan mendatanginya dengan berlari.”[ix]

Abu al-Fadhl

IIUM

____________________________


[i] At-Thalaaq: 3

[ii] Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dalam Sunannya (2516), Ahmad dalam Musnad (2763), al-Hakim dalam al-Mustadarak (6304), serta dinilai shahih oleh al-Albani di dalam al-Misykah.

[iii] Al-Ahdzab: 43

[iv] Al-Ma’idah: 119

[v] Tafsir al-Quran al-Adzim, Ibn Katsir, Dar at-Taiyyibah (3/235)

[vi] Al-Fajr: 15-16

[vii] Ibid (7/397)

[viii] Ibrahim: 13-14

[ix] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam shahihnya (7405), Muslim dalam shahihnya (7128), serta Ahmad dalam Musnad (11066). Lafaz ini didatangkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim. Dan terdapat riwayat lain dengan nun (وأنا معه حين يذكروني) sementara dalam riwayat ni dengan tsa (حيث).

Cinta Ilahi

KLIK pada gambar untuk besarkan


Cinta kepada ALLAH adalah segalanya. Cinta kepada Muhammad Rasulullah tiada dua. Cinta kepada manusia hanya kerana Dia.

Cinta, cinta dan segalanya cinta.

Cintaku pada Ilahi tiada berbelah bahagi. Cinta Rasul tiada bertepi. Cinta sesama insan mengharap redha yang tidak terperi.

Cinta, cinta dan segalanya cinta.

Pantun


Alam hanya sementara
Buana biru belantara
Salah orang nampak ketara
Kalah kita tak bersuara


Laut biru bertukar warna
Rumpai karang tidak bernyawa
Udang berarak tidak bermaya
Imbangan alam dah tiada
Tidak terkata rasa sayangnya


Bumi dipijak rasa bahangnya
Tidak terkata... Tidak terkata
Kalau boleh bersama kita pelihara
Dunia bahagia hidupan selesa


Lambat ia binasa hidup lebih lama
Hidup lebih lama
Dulu ikan senang dijala
Penyu singgah berduyun- duyun


Kini sudah jadi bencana
Usah dibawa turun temurun
Apa ada harus dijaga
Hasil bumi berkurang pula


Senang kita senang sekarang
Esok lusa pada bermula

Bait-bait pantun di atas adalah kandungan lirik lagu Pantun nyanyian Zainal Abidin. Saya bukan ingin mengajak anda mendengar lagu, kerana walau tidak dijadikan lagu, bait pantun tersebut masih mampu memberikan impak. Saya cuma mahu agar kita sama-sama meneliti relevan ingin disampaikan melalui pantun tersebut.

Salah orang nampak ketara

Kalah kita tak bersuara

Satu sindiran sinis yang punya kaitan yang signifikan dengan kehidupan kita. Tidak kira anda siapa, hatta seorang daie, penulis, pelajar, mahupun manusia biasa. Jika anda tidak mempunyai sikap seperti itu, pasti, sekurang-kurangnya anda pernah jumpa segelintir manusia yang punya sikap seperti itu.


Salah Aku + Salah Engkau.


Mungkin kerana kita terlalu banyak memerhati dan menilai orang. Sehinggakan, kadang-kadang apabila mereka melakukan kesalahan, mudah sahaja untuk kita sedari. Dan sudah pasti meletakkan mereka sebagai pesalah. Namun, bagaimana dengan kesalahan diri? Mahu atau tidak, kita perlu akur dengan kenyataan yang dilemparkan oleh pantun tersebut. Kesalahan orang lain, terlalu mudah untuk kita kenal pasti.


Tapi, kadang kala, pernahkah kita berfikir untuk menilai diri sendiri? Sungguh menyedihkan apabila seorang yang jaguh dalam menegur orang lain, namun, kadang-kadang terlupa mengenai hakikat diri yang tidak boleh ditegur. Ada yang langsung tidak mahu mengakui kesalahan. Dan ada yang ego dengan status diri.


“Ikut aku lah!”

“Aku punya suka lah! Aku punya pasal lah nak buat apapun!”

“Lantak aku lah! Kau apa susah?”


Dialog tipikal seorang yang ego apabila ditegur. Tak betah menerima nasihat, mahupun teguran. Apa yang dilakukan, terasa semuanya seolah-olah betul. Walau kadangkala kesalahan itu jelas serta tampak, dan kebenaran itu lebih jelas daripada segalanya. Masih lagi enggan mendengar. Mahu atau tidak. Inilah yang dikatakan sebagai bodoh sombong.


Bodoh + Sombong?


“Ini penyakit hati.”, kata seorang sahabat rapat saya.


Saya terdiam mendengarnya. Mahu menidakkan, ia memang kebenaran. Mahu mengiakan, terasa seperti kebenaran itu terlalu berat untuk dicernakan.


Tidak dapat disangkal, hati yang sakit mampu mencetuskan sikap yang tidak baik dan merosakkan.

وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ


"Sesungguhnya di dalam jasad (manusia ada) seketul daging, apabila baik daging itu maka baiklah seluruh jasad, dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad, dan ia adalah hati" [Bukhari dan Muslim]


Dan masalah sikap sebenarnya bukanlah hanya terjadi di kalangan orang biasa sahaja. Bahkan turut terjadi di kalangan ahli ilmu.


Ada yang hebat dalam percakapannya, dengan tutur kata yang bernas. Namun, akhlaknya gagal. Dan apabila ditegur, tetap bertegas dengan kesalahannya.


Ada yang hebat dalam menulis. Namun punya sikap ego yang tinggi. Jelas dengan kesalahan orang lain, namun tidak pada diri sendiri.


Dan dapat saya rasakan bahawa kita semua – mungkin – pernah menjadi seorang yang bersikap sedemikian. Walaupun sekali. Saya tidak pernah menyangkal bahawa, kadangkala, saya bersikap seperti itu. Lebih baik untuk mengakui daripada menidakkannya.

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ


Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. [31:18]


Manusia + Kesalahan.


Seperti yang telah saya katakan, mana mungkin untuk manusia terlepas daripada melakukan kesalahan? Sedikit sebanyak, pasti akan terkesan kesalahan pada diri seorang manusia. Namun, yang penting adalah cara untuk berkomunikasi dengan kesalahan – atau kesilapan – yang dilakukan.


Sekali melakukan kesalahan, bukanlah bermakna seorang perlu terus-menerus melakukan kesalahan seumur hidupnya. Namun, berapa ramai yang mengambil sikap untuk berhenti daripada terus melakukan kesalahan? Dan berapa ramai yang sanggup mengakui kesalahan? Dan berapa ramai pula yang sanggup menilai diri dan kemudian mengelakkan diri daripada terus mengulangi kesalahan yang dilakukan?

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ


Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan [42:25]


Manusia + Teguran.


Mahu atau tidak. Manusia perlu akan teguran. Teguran dapat menghentikan manusia daripada terus mengulangi kesalahan yang sama. Namun, kadang kala, wujud teguran tidak kena pada caranya. Ini juga masalah sikap. Sikap ego. Sikap yang bukan sahaja wujud pada diri orang yang ditegur, bahkan, pada yang menegur.


Ada yang bersikap lebih moderat dengan menasihati dengan cara yang baik dan berhikmah. Namun masih ramai yang lebih suka mengambil sikap ‘membunuh’ dengan terus menjatuhkan hukuman mandatori.


Ada yang teliti sebelum dan semasa menasihati, mungkin kerana tidak ingin jadi tersilap dalam menjatuhkan hukum, atau mungkin tidak ingin mengeruhkan keadaan. Namun, masih ada segelintir yang punya sikap gopoh dan beranggapan dia sahaja yang pandai dan betul. Sikap seperti inilah yang memungkinkan kita menghukum orang tanpa usul periksa, tanpa bukti yang nyata. Bahkan, menyebabkan timbul satu salah faham yang besar.


Bukanlah salah untuk memberikan teguran, kerana sesungguhnya, saling ingat mengingatkan adalah satu perkara yang baik buat orang-orang yang beriman. Namun, yang perlu diperhatikan adalah metode dalam memberikan teguran.

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ


Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. [51:55]

Manusia + Hidayah.


Untuk berubah, manusia perlu akan hidayah. Syeikhul Islam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah dalam ‘Risalah ila kulli muslim’ berkata bahawa, “Setiap hamba mengharapkan hidayah pada setiap waktu dan kesempatan, dalam setiap perkara yang hendak dilakukan atau ditinggalkannya.”


Apabila kita berkira-kira untuk meninggalkan sikap buruk yang ada pada diri, kita mengharapkan pertolongan daripada Allah.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ


Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan. [1:5]

Aku + Kesalahan.


Kadang kala lebih perlu untuk kita menjadi orang yang bersalah daripada menjadi orang yang membetulkan silap orang lain.


Dan kadang kala kita lebih lebih penting untuk kita letakkan diri kita di pada kondisi orang yang memerlukan teguran daripada kita menjadi pihak yang menegur.


Sekurang-kurangnya, apabila kita melakukan kesalahan, dan kemudian ditegur, maka kita punya peluang untuk berubah.


Dan tentu sekali, fikrah orang yang sedemikian; yakni orang yang menganggap bahawa mereka masih perlu diperbetulkan, adalah lebih segar dan relevan.


Tidak mengapa untuk sekali sekala kita merendahkan ego, dan kemudian menjadi orang yang ‘bersalah’ walaupun kita mungkin tidak. Kerana akhlak yang merendah diri, adalah lebih baik daripada menjadi terlalu angkuh sehingga beranggapan bahawa diri sudah sempurna.


Buang sejauh-jauhnya sikap yang degil dan suka membentak, dan menganggap orang lain tidak cukup hebat untuk menegur kita, kerana mungkin – pada satu-satu sisi – mereka adalah lebih baik daripada kita.


Apa yang penting adalah untuk kembali menilai diri agar kita tidak jadi orang yang berlebih-lebihan samada dalam melakukan kesilapan, atau membetulkan; yakni menegur kesilapan orang lain.


Dan tujuan saya menulis artikel ini – dan menulis mengenai tajuk sebegini – tiada lain, selain untuk menjadikannya sebagai peringatan kepada diri sendiri. Dan bukanlah bermakna, apabila saya menulis mengenai sesuatu permasalahan, saya sudah terlepas daripada melakukannya. Manusia tidak ma’shum melainkan Rasulullah SAW.

Allahua’lam.


Abu Fadhl
17 Dzulhijjah 1428
IIUM

Taubat


Dalam artikel lepas saya ada membincangkan peri-pentingnya kita memanfaatkan kehidupan yang baik di dunia agar seterusnya dapat kita menjana satu kehidupan yang juga baik di akhirat kelak. Dan mungkin ada yang bertanya,

“Saya seorang yang banyak buat dosa, macam mana saya nak melepaskan diri daripada terus melakukan dosa?”

Atau

“Saya ni banyak buat salah masa hidup ni. Macam mana agaknya akhirat saya nanti? Mesti kena seksa sebab dosa-dosa saya tu kan?”

Taubat

Sebagai manusia, tentu sekali tiada yang terlepas daripada melakukan dosa sewaktu hidup. Yang dipelihara daripada melakukan dosa hanyalah Rasul yang maksum sahaja. Saya sendiri tidak terlepas melakukan dosa dan kesalahan dalam hidup ini. Dan semua orang turut punya satu isu yang sama. Namun, tiadakah ruang untuk mereka yang melakukan dosa ini untuk bertaubat?

Allah itu Maha Adil. Dia tidak akan sesekali membiarkan hambaNya terus berada dalam satu kondisi sahaja.

Allah berfirman,

“Dan Dialah yang menerima taubat hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan,” (42:25)

Begitu indah sekali kehidupan orang yang beriman. Apabila mereka melakukan kesalahan dan kemudian bertaubat. Allah menerima taubat mereka itu.

Syeikh Ibn Utsaimin apabila ditanyakan mengenai taubat menerangkan bahawa,

Taubat adalah kembali dari keadaan maksiat kepada Allah menuju ketaatan kepadaNya.

Mudah sekali untuk kita memahami penerangan Syeikh Ibn Utsaimin tersebut. Untuk bertaubat, kita hanya perlu meninggalkan kemaksiatan dan kembali menuju ketaatan kepada Allah SWT.

Point of no return

Di dalam Islam, tiada wujud istilah seperti point of no return. Setiap keadaan, pasti akan ada jalan kembali atau jalan pulang.

Bagi saya,

“A Muslim will never cross point of no return. As long as he has faith in Allah and he has willing to repent, he will get the chance.”

Muslim yang inginkan perubahan dan mahu bertaubat, pasti akan punya peluang. Point of no return bagi orang-orang yang beriman dengan Allah hanyalah kematian. Kerana hanya kematian yang menjadi pemisah antara manusia dengan taubat. Selagi masih bernyawa, pasti akan punya peluang untuk kembali taat kepada Allah.

Firman Allah,

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: ‘Sesungguhnya aku bertaubat sekarang,’ (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (4:18)

Ibn Katsir menafsirkan ayat tersebut sebagai,

“Allah menyatakan bahawa Dia menerima taubat hambanya yang melakukan kesilapan lantaran kejahilan dan kemudian bertaubat, walau sebelum dia melihat malaikat maut, sebelum rohnya sampai ke kerongkong.”

Di sini jadi bukti bahawa Allah tidak akan membiarkan hidup hamba-hambaNya terbiar sia-sia hatta sebelum kematiannya. Allah memberikan peluang taubat walau sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

Manusia pasti tidak akan terlepas daripada melakukan dosa,dan yang penting adalah cara untuk berinteraksi dengan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Itu yang utama. Dan taubat adalah satu yang perlu bagi orang-orang yang beriman meloloskan diri mereka daripada dosa dan kemaksiatan.

Syeikh Ibn Utsaimin ketika menyambung menjawab persoalan mengenai taubat juga mengatakan,

“Taubat itu wajib atas setiap mukmin,”

Dan beliau menyambung jawapan tersebut dengan sepotong ayat,


“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya.”(66: 8)

Semoga kita semua menghargai nikmat taubat. Kerana sesungguhnya ia merupakan satu anugerah daripada Allah, sebagai tanda keadilan dan kemaafanNya. Seperti yang dikatakan Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat tersebut mengatakan bahawa taubat yang benar-benar murni, yakni taubat nasuha dapat memadamkan dosa-dosa kejahatan yang dilakukan sebelum ini dan membaiki kecacatan orang yang bertaubat, menggalakkan dan membawanya untuk berhenti melakukan dosa yang pernah dia lakukan.

Abu Fadhl

Kuala Terengganu

3 Zulqa’idah 1428


Verses Of Life juga mencadangkan artikel Hidup

Ikhtilat



Ikhtilat? Ketika menghadiri daurah yang lepas, isu ini adalah salah satu – daripada beberapa – isu yang seakan-akan menjadi satu pertikaian, menyebabkan saya ada menulis sebuah artikel untuk menjawab mengenai hal ini. Dan baru-baru ini, ketika melayari weblog seorang peserta daurah, saya terjumpa satu artikel yang amat menarik mengenai ikhtilat. Satu artikel yang menyebabkan saya termangu. Artikelnya ringkas, namun sedikit sebanyak, anda akan merasa seperti ‘ditampar’ kerana kebenaran yang ada di dalamnya. Walaupun artikel tersebut lebih memfokuskan kepada mereka yang bergelar Ustaz dan Ustazah, namun ianya tidak jauh dengan isu yang dihadapi oleh du’at dari kalangan remaja. Di sini saya lampirkan sebahagian tulisan muslimat tersebut tanpa mengurangi walau satu ayat di dalamnya dan saya turut selitkan komentar serta sedikit revisi ke atasnya pada hujung artikel ini.

IKHTILAT IKHWAH DAN AKHAWAT,

SEKSISKAH KITA???

Persoalan mungkin, ikhtilat IKHWAH dan AKHAWAT, Bagaimana dengan kita?. Sesungguhnya menjadi kewajipan bagi seseorang muslimin-muslimat yang beriman kepada Allah dan Rasul itu menjauhi ikhtilat yang haram antara lelaki dan perempuan. Hendaklah seorang wanita itu apabila telah cukup ilmu dan fahamnya dan terlibatnya di dalam dakwah untuk memastikan dirinya jauh dari ikhtilat (percampuran lelaki-perempuan) yang bukan mahramnya.

Perlanggaran batas-batas pergaulan muslimin-muslimat masih terjadi dan hal ini mungkin disebabkan kerana :

1. Belum mengetahui batas-batas pergaulan.

2. Sudah mengetahui, namun belum memahami.

3. Sudah mengetahui namun tidak mahu mengamalkan.

4. Sudah mengetahui dan memahami, namun tergelincir kerana lalai.

Kita mungkin sibuk menghiasi penampilan luar kita dengan menyimpan janggut, berkopiah ataupun dengan tudung labuh warna-warni. Kita sibuk berhiaskan simbol-simbol front Islam namun lupa substans Islam. Kita bersungguh belajar ilmu Islam namun tidak fokus pada pemahaman dan amal.

Untuk bacaan lanjut, KLIK DI SINI.

Komentar:

Suka untuk saya menyelitkan dalil serta pandangan dalam menilai semula apa yang disampaikan di dalam artikel ini.

Tidak Menundukkan Pandangan ( Gadhul Bashar )

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

(An-Nur: 30)

Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan."

Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa, “Ini adalah arahan daripada Allah kepada hamba-hambanya yang beriman untuk menundukkan pandangan mereka daripada melihat apa yang telah diharamkan ke atas mereka. Mereka sepatutnya melihat kepada apa yang dihalalkan kepada mereka, dan menundukkan pandangan mereka. Andaikata pandangan seseorang itu tanpa sengaja melihat sesuatu yang diharamkan, dia perlu memalingkan pandangannya secepat mungkin.”

Kemudian Ibn Katsir membawakan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab shahih beliau daripada Jarir yang bertanyakan kepada Rasulullah SAW,

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نَظْرَةِ الْفَجْأَةِ فَقَالَ اصْرِفْ بَصَرَكَ

“Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang pandangan sepintas lalu. Maka dia menjawab, “Palingkan pandanganmu.”

Hadith Shahih Riwayat Muslim

Selain itu terdapat beberapa hadith shahih lagi yang menerangkan mengenai hal ini. Dan jelas bahawa menundukkan pandangan bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng.

Couple, “Chop awal2 Untuk berkahwin

Tiada istilah couple di dalam Islam. Dan tiada juga istilah “chop awal-awal” untuk berkahwin. Dan tidak ada guna menggunakan istilah “chop” untuk menghalalkan perbuatan “couple” ini.

لم نر للمتحابين مثل النكاح

“Kami tidak melihat di antara dua orang yang saling menyukai melainkan perkahwinan.”

Diriwayatkan oleh Ibn Majah di dalam Sunannya, dinilai sebagai shahih oleh al-Albani di dalam Silsilah as-Shahihah serta Shahih Wa Dha’if Sunan Ibn Majah.

Mereka yang saling menyukai tidak akan berakhir melainkan dengan perkahwinan. Jika benar, anda menyukai seseorang gadis. Maka pinangilah ia. Kerana itu sesungguhnya lebih baik untuk orang yang beriman daripada menjerumuskan diri daripada lembah kehinaan.

Malang sekali bagi mereka yang sudah layak untuk bernikah, tetapi menangguhkan hal ini dengan alasan kononnya ingin mengambil lebih masa untuk mengenali bakal isteri, atau kononnya untuk memilih bakal isteri yang benar-benar sesuai.

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

(An-Nur: 32)

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.

Ibn Katsir ketika menafsirkan

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu”

berkata bahawa “Ini adalah arahan untuk berkahwin.”

Rasulullah SAW berkata;

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

“Wahai pemuda, siapa sahaja dari kalangan kamu yang mampu untuk berkahwin, maka berkahwinlah, kerana ianya adalah lebih berkesan dalam menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan mereka. Siapa yang tidak mampu untuk berbuat demikan, maka berpuasalah, kerana ia adalah perlindungan buatnya.”

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan juga Muslim

Jika sudah mampu untuk berkahwin, maka berkahwinlah. Dan jika tidak, usah sesekali mendekatkan diri anda dengan perkara yang tidak berfaedah.

Berbicara Mendayu-Dayu

Allah telah menjadikan Ummuhatul Mu’minin sebagai contoh terbaik dalam hal ini kepada semua muslimat yang lain.

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا

(Al-Ahzab: 32)

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain jika kamu bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ

“Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja.”

Ibn Katsir menyatakan bahawa As-Suddi dan yang lain berpendapat bahawa ayat tersebut membawa makna ‘jangan bercakap dalam keadaan lemah lembut apabila berbicara dengan lelaki.’

وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوف

“Dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik.”

Ibn Zaid berkata: “Kata-kata yang mulia dan cantik yang diketahui elok (ma’ruf).” Ini bermakna dia (muslimat) sepatutnya berbicara dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya dalam keadaan yang tiada kelembutan (yakni tegas-pent), sebagai contoh, seorang wanita tidak boleh berbicara dengan lelaki yang bukan mahram sebagaimana dia berbicara dengan suaminya.

Wanita perlu bercakap dalam nada yang tegas apabila berbicara dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya. Dan tidak sepatutnya untuk seorang wanita solehah berbicara dalam keadaan mendayu-dayu, lembut, mahupun merengek yang mana sifat tersebut tidaklah layak untuk dibawa olehnya.

Telefon Tidak ‘Urgent’, SMS Tidak ‘Urgent’, Yahoo Messenger/Chatting Yang Tidak ‘Urgent’.

Dan termasuk dalam perkara yang baik bagi seorang mu’min adalah dengan meninggalkan perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan faedah bagi dirinya, mahupun pada diri orang selainnya. Perbuatan ‘telefon’, ‘SMS’ mahupun ‘YM’ atau ‘chatting’ yang tidak mendatangkan sebarang faedah adalah termasuk di dalam perkara yang sia-sia. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan perhubungan antara dua orang; iaitu lelaki dan wanita.

Rasulullah SAW bersabda bahawa,

مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكَهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

“Sebahagian daripada kebaikan keislaman seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.”

Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi dan beliau menghukumnya sebagai hasan. Dan al-Albani menilainya sebagai shahih di dalam Shahih Wa Dha’if Sunan Tirmdizi (2317) dan (2318)

Islam tidak pernah menyempitkan perjalanan da’awah. Namun amat malang bagi mereka yang mempergunakan kemudahan teknologi sebagai satu cara untuk ‘menghalalkan’ ikhtilat. Bukankah lebih baik untuk dimanfaatkan setiap ruang yang ada dalam da’awah ini dengan cara yang betul?

Sekilas lalu mengenai komentar saya pada isi yang ketiga, sikap yang tegas, bukan hanya di dalam bicara. Tetapi juga perlu diterap dalam perhubungan melalui ‘SMS’, ‘YM’, mahupun ‘chatting’. Sikap tegas di sini bermaksud untuk berurusan di atas perkara yang perlu sahaja, dan mengelakkan ‘perbualan maya’ yang meleret-leret dan tak punya manfaat. Tidak perlu untuk berbual-bual kosong yang mana mampu menimbulkan fitnah.

Tinggalkan perkara yang tidak perlu. Amat menakutkan mengenangkan hakikat bahawa kadangkala kita terleka dengan perkara yang bathil sehingga menyebabkan kita terlupa perkara yang perkara yang lebih perlu diutamakan.

Dan peringatan ini tidaklah saya tujukan melainkan kepada diri saya sendiri.Allahua’lam.

Abu Fadhl