Hidup

“Kehidupan yang baik di dunia akan menjana kehidupan yang baik di akhirat.”

Itulah antara isi tazkirah Ustaz Fadhlan yang sempat saya dengar – dan ingat – pada Ramadhan lepas. Kata-kata tersebut adalah sesuatu yang berasas. Namun ramai yang alpa atau tidak sedar akan kebenarannya. Kehidupan yang baik di akhirat, hanya dapat dicapai melalui satu fasa kehidupan yang baik di dunia. Terdapat satu signifikan antara kehidupan di dunia dan juga kehidupan di akhirat. Allah menciptakan kita – kemudian meletakkan kita di dunia – bukanlah atas sebab yang kosong. Pasti ada hikmah dan sebab yang penting di sebalik penciptaan manusia ini. Namun, kenapa kita masih mempunyai sikap ambil mudah – dan acuh – tentang pentingnya kehidupan dunia yang baik agar kita dapat menjana kehidupan yang juga baik di akhirat?

Allah berfirman,

“Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepadaKu.

Ya. Allah menciptakan kita dan juga kaum Jin untuk menyembah dan beribadat kepadaNya. Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa, “Allah menciptakan jin dan manusia supaya mereka menyembah kepadaNya, namun bukanlah bermakna Allah memerlukan mereka.”

Benar. Allah tidak memerlukan kita. Namun kita yang memerlukanNya. Kita mendambakanNya, dan juga hari pengakhiran. Saya teringat satu pembelajaran di dalam kelas Islamic Worldview saya. Mengenai signifikan wujudnya hari akhirat. Salah satunya adalah hari akhirat sebagai klarifikasi kepada kehidupan dunia, supaya manusia dapat melihat tentang halatuju perjuangan mereka dan tujuan sebenar kehidupan mereka di dunia. Ini membenarkan pemahaman saya mengenai kaitan antara kehidupan di dunia dan juga akhirat. Kemudian membawa saya berfikir bahawa, hanya orang yang melakukan kebajikan di dunia, yang pasti akan menikmati buah yang juga baik dan manis di akhirat. Dan apakah seorang yang melakukan dosa dan kejahatan di dunia masih mampu mengharapkan kebaikan baginya di akhirat? Pada saya, mereka mungkin mampu berharap. Namun adakah harapannya itu relevan dengan segala perbuatannya di dunia? Hari akhirat juga menjadi medan bagi kita menyelesaikan permasalah di dunia. Itu satu anugerah, tanda keadilan Allah bagi kita; hambanya. Apa agaknya yang akan terjadi jika ketidak adilan di dunia ini dibiarkan tanpa ada penyelesaian? Tentu sekali bobrok.

Dunia dan akhirat bukan dua jalan yang berbeza. Mustahil untuk anda menjumpai jalan ke dunia dan satu jalan yang lain untuk ke akhirat dipisahkan oleh sebuah simpang. Mustahil dunia dan akhirat dapat dipisah-beza menjadi dua jalan?


Nak pegi mana? Dunia ke? Akhirat?

Jika melalui dunia dan melalui akhirat adalah mengikut dua jalan yang berbeda. Sudah pasti punah dan rosak tujuan kita. Mana mungkin kita dapat pergi ke B jika kita memilih jalan A. Dan mana mampu kita untuk merasai keindahan dan kebaikan di jalan A jika kita hanya memilih jalan B? begitu juga proses perjalanan di dunia dan di akhirat.

Dunia dan akhirat adalah ibarat satu jalan yang lurus. Dunia sebagai permulaan jalan itu dan akhirat sebagai garisan tamatnya. Dan di awal jalan itu sudah rosak. Pertengahannya juga punah. Adakah anda mengharapkan ianya sempurna di pengakhiran? Jika anda melalu sebuah jalan raya seperti itu, anda mungkin tidak meletakkan harapan yang tinggi tentang hujung jalan tersebut. Begitu juga laluan kehidupan di dunia dan akhirat. Adakah kita berani menjangka kehidupan seseorang yang buruk di dunia, mampu melahirkan satu kehidupan yang baik di akhirat? Kita mungkin tidak punya keberanian untuk memikirkan mengenainya.

Jadi, penting bagi kita memanfaatkan kehidupan dunia – yang merupakan platform kita untuk pergi ke ahirat. Sebagaimana pesawat yang ingin terbang memerlukan landasan, begitu juga dengan kita. Apakah mungkin seseorang dapat ke penghujung tanpa ada permulaan? Tentu sekali tidak. Jadi kenapa mesti kita mengambil mudah akan kehidupan di dunia? Sikap acuh, tidak ambil berat tentang amal yang dilakukan di dunia bukanlah satu sikap yang elok. Manfaatkanlah segenap sudut kehidupan di dunia, agar dapat kita ke akhirat dengan jayanya. Lebih dari itu. Manfaatkan kehidupan di dunia tanpa melupakan kaitan dunia dengan akhirat. Gunakan setiap saat yang dikurniakan Allah ini dengan cemerlang agar dapat kita jana kehidupan akhirat yang juga cemerlang. Adalah rugi dan malang bagi insan yang menyedari kelebihan dunia, tetapi tidak memanfaatkannya.

Adakah anda ingin menjadi menuntut kehidupan yang baik di akhirat dengan rekod buruk di dunia? Wujudkanlah satu keseimbangan antara kemahuan bagi kehidupan dunia dan juga akhirat. Agar nanti dapat kita rasa kemanisan perjuangan dan tujuan kehidupan kita di dunia.

Abu Fadhl
Lebuh Raya Pantai Timur
1 Zulqa'idah 1428

0 comments: