Showing posts with label kuliah. Show all posts
Showing posts with label kuliah. Show all posts

Ilmu dan Neraka

Sebelum berbuka sebentar tadi, Syeikh Aiman ada memberikan tazkirah ringkas. Tazkirah berkisar mengenai tazkiyatun nafs atau penyucian diri.

Antara yang masih saya ingat adalah bahawa penyucian diri itu melalui tauhid. Kepala dalam Islam adalah tauhid. Dan tauhid itu adalah asas kepada penyucian diri. Ya. Jika difikir-fikir, memang.. Dalam agenda penyucian diri, tauhid menjadi asas. Jika diri tidak mentauhidkan Allah, entah bagaimana kita ingin mencapai tahap penyucian diri yang sebenar. Ramai orang alpa dan leka, kononnya berzikir kepada Allah dalam tujuan menyucikan diri. Ramai pula yang bersedekah dan berbuat bermacam lagi amalan, dengan satu maksud, untuk menyucikan diri. Namun mereka jugalah yang berbuat syirik kepada Allah. Menyembah kepada selain daripada Allah, samada dalam keadaan sedar atau tidak. Walhal, berat sekali azab siksa Allah kepada mereka yang mensyirikkanNya. Apakah mereka lebih sanggup mendiami Jahannam akibat dari mensyirikkan Allah?! Na’udzubillah!

Syeikh juga ada menyebut bahawa ilmu adalah sebagai salah satu medium mensucikan diri. Ya. Dengan ilmu, tentu sekali kita sedar bahawa apa yang sepatutnya dilakukan, dan mana yang tidak. Mana yang baik, dan mana satu jugakah yang LEBIH baik. Serta mana satukah yang buruk. Ini semua pasti kita dapati dengan adanya ilmu.

Hati jadi tersentuh apabila Syeikh mengingatkan kepada hadirin bahawa Allah membenci orang yang mempunyai ilmu akan tetapi dia sendiri tidak mengamalkannya. Sebagaimana yang difirmankan Allah;

“Wahai orang-orang yang beriman! Kenapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak kerjakan? Amat besar kebenciannya di sisi Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan.”

Hati jadi sakit. Jadi pedih. Jadi sayu. Jadi geram. Marahkan diri sendiri apabila mendengar kata-kata Syeikh. Betapa saya sendiri kadang-kadang, bahkan selalu melalaikan diri. Semoga Allah mengampunkan saya!

Syeikh kemudian menyambung dengan satu hadith bahawa antara yang terawal masuk atau dibakar api neraka adalah orang alim.

Diri ini terdiam. Sungguh, bahawa orang alim itu punya bahagian juga di dalam api neraka. Ajaib bukan? Tapi jika dinilai dari surah as-Saff tersebut. Apa yang dihairankan? Memang.. Memang benar sekali.

Moga Allah ampunkan diri kita dari sifat yang demikian. Moga dijauhkan. Betapa dha’if diri, namun masih leka dan lupa. Sungguh! Moga dijauhkan dari kesesatan. Berat dan panas azab neraka belum tentu dapat ditanggung dipikul oleh tubuh kecil ini.

Betapa aku rindu untuk jadi diri sendiri. Diri yang positif.

Kenapa perlu jadi bakhil?

Masuk ke pengajian Syeikh agak lambat, kerana bersolat di masjid UIAM, kemudian minum-minum bersama Ustaz Arif serta Zahid, sebelum disertai oleh Abdullah. Masuk sahaja ke pengajian, terdengar Syeikh membacakan hadith dari Kitab Doa daripada Kitab Shahih at-Targhib wa at-Tarhib.

Antara hadith yang dibaca sewaktu saya masuk menyertai pengajian;

عن حسين رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال البخيل من ذكرت عنده فلم يصل علي

Dari Hussain R.A dari Nabi SAW, katanya; “Orang yang bakhil adalah siapa yang disebutkan namaku padanya, akan tetapi tidak berselawat ke atasku?”

Apa signifikannya hadith ini? Dan kenapa orang yang tidak berselawat itu orang yang bakhil? Serta apa balasan kepada orang yang bakhil ini? Apabila membuka Kitab Shahih at-Targhib wa at-Tarhib, maka kita akan dapati bahawa terdapat satu hadith yang panjang;

وعن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم صعد المنبر فقال آمين آمين آمين

قيل يا رسول الله إنك صعدت المنبر فقلت آمين آمين آمين فقال إن جبريل عليه السلام أتاني فقال من أدرك شهر رمضان فلم يغفر له فدخل النار فأبعده الله

قل آمين فقلت آمين ومن أدرك أبويه أو أحدهما فلم يبرهما فمات فدخل النار فأبعده الله قل آمين فقلت آمين ومن ذكرت عنده فلم يصل عليك فمات فدخل النار فأبعده الله قل آمين فقلت آمين

Dari Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW menaiki minbar dan berkata, “Amin, amin, amin.”

Aku berkata, “Ya Rasulullah, sesungguhnya engkau menaiki minbar dan berkata amin,amin,amin”

Katanya, “Sesungguhnya Jibril A.S datang kepadaku dan berkata, “Sesiapa yang mendapat bulan Ramadhan, akan tetapi tidak diampunkan kepadanya (dosa-dosanya) maka masuklah dia ke dalam neraka dan dijauhkannya Allah, katakanlah amin” maka aku berkata amin. “Dan sesiapa yang mendapat kedua ibu bapanya atau salah seorang dari mereka, akan tetapi tidak berbuat baik kepada mereka dan mati maka akan masuk neraka dan dijauhkannya Allah, katakanlah amin” maka aku berkata amin. “Sesiapa yang disebutkan (nama)ku padanya, tetapi tidak berselawat (kepadaku) kemudian mati, maka masuklah dia ke dalam neraka dan dijauhkannya Allah, katakanlah amin.” Maka aku berkata amin.”

Jelas di situ bahawa kealpaan sesetengah daripada kita untuk berselawat ke atas Nabi SAW apabila disebutkan namanya boleh mencampakkan kita ke dalam neraka. Siapa sangka? Apabila sesetengah orang memandang enteng kepada perkara ini, rupanya ia begitu berat sekali.

Bukanlah sukar untuk berselawat ke atas Nabi SAW. Tidak memerlukan tenaga yang banyak. Jadi, kenapa perlu bakhil?

***********************

Timbunan kerja yang bersepah dan bersepah. Kepala tengah pening. Submission is on Friday. The schedule of rate is my job.