Melayu Berhantu


Tidak banyak yang boleh saya komen pada karikatur tersebut. Melainkan berkata YA dan YA. Ummat Melayu Malaysia sudah begitu banyak disogokkan dengan cerita-cerita mengarut dan tahyul. Seingat saya apabila dunia perfileman bermula di Tanah Melayu, sudah ada cerita seram. Dan yang paling saya ingat adalah filem lama berjudul “Pontianak” lakonan Maria Menado yang kemudian bersambung menjadi beberapa siri filem yang turut menggunakan nama ‘pontianak’ sebagai judul. Dan hari ini sogokan cerita-cerita seram masih lagi berlangsung. Terbaru; “Waris Jari Hantu” arahan Shuhaimi Baba, yang sebelum ini pernah mengarahkan “Pontianak Harum Sundal Malam I dan II”. Nampaknya cerita seram akan terus ‘menghantui’ masyarakat Melayu Malaysia. Selain di panggung wayang, fenomena yang sama turut ada di peti TV. Siri drama “Misteri” yang disiarkan di TV3 yang – kononnya – memaparkan kisah seram yang benar-benar berlaku di sekitar masyarakat kita. Juga drama “Susuk” yang ‘kebetulan’ disiarkan pada hari Khamis malam Jumaat. Saya tidak tahu apa signifikannya ia disiarkan pada malam Jumaat – mungkin terpengaruh dengan ‘sindrom’ malam Jumaat Keliwon masyarakat Jawa. Tapi yang pasti kaitan malam Jumaat dan juga ‘hantu’ akan terus menerus menjadi satu ‘taboo’ dalam masyarakat Melayu. Siri ‘Seekers’ juga menjadi satu lagi bukti ‘bodoh’ masyarakat kita mengenai hantu. Setakat ini, sudah beberapa kali saya tontoni siri paranormal berkenaan. Namun sayang, mereka hanya ketemukan nyamuk dan bukannya hantu dalam pencarian mereka. Apa kejadah dan faedah mereka merentasi hutan belantara untuk pergi ke kubur di tengah-tengah hutan tersebut semata-mata mencari sesuatu yang tidak pasti akan kewujudannya? Apa yang lebih teruk – jika anda dapat lihat – percampuran lelaki dan wanita yang bukan muhrim. Apakah ini selari dengan kehendak agama? Tentu sekali tidak. Si perempuan pula tidaklah menutup aurat, malah pergi ketengah hutan dengan gaya pakaian yang ‘seksA’. Terfikir juga saya, “Minah ni buat apa la kat tengah hutan? Cari hantu ke? Keluar ‘dating’?” Saya tidak pasti samada musim baru ‘Seekers’ ini masih lagi diterajui oleh Uncle dan konco-konconya ataupun telah bertukar tangan pengarahan. Namun ‘content’nya masih lagi sama dan tidak berubah.

Saya tidak bimbang melainkan sogokan cerita tahyul yang berpanjangan ini boleh menyebabkan masyarakat kita jatuh syirik! Ini bukanlah perkara mustahil. Malah mungkin akan berlaku jika perkara mengenai ‘hantu’ ini dicernakan ke dalam minda Melayu dan menjadi sebahagian daripada hidup mereka. Fenomena takut kepada ‘hantu’ mungkin membawa implikasi yang tidak bagus. Kesudahannya mungkin ‘hantu’ itu akan dianggap sebagai satu ‘force’ yang hebat. Na’udzubiLlah.

Firman Allah SWT:

“Maka janganlah kamu membuat sekutu untuk Allah padahal kamu mengetahui (bahawa Allah adalah maha Esa).” (QS. Al Baqarah, 22)

Ibnu Abbas r.a. dalam menafsirkan ayat tersebut mengatakan: "membuat sekutu untuk Allah adalah perbuatan syirik, suatu perbuatan dosa yang lebih sulit untuk dikenali dari pada semut kecil yang merayap di atas batu hitam, pada malam hari yang gelap gulita. Iaitu seperti ucapan anda: 'demi Allah dan demi hidupmu wahai fulan, juga demi hidupku', Atau seperti ucapan: 'kalau bukan kerana anjing ini, tentu kita didatangi pencuri pencuri itu', atau seperti ucapan: 'kalau bukan kerana angsa yang dirumah ini, tentu kita didatangi pencuri-pencuri tersebut', atau seperti ucapan seseorang kepada kawan-kawannya: 'ini terjadi kerana kehendak Allah dan kehendakmu', atau seperti ucapan seseorang: 'kalaulah bukan kerana Allah dan fulan'.

Oleh kerana itu, janganlah anda menyertakan "si fulan" dalam ucapan-ucapan diatas, kerana boleh menjatuhkan anda kedalam kemusyrikan." (HR. Ibnu Abi Hatim)

Diriwayatkan dari Umar bin Khaththab r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barang siapa yang bersumpah dengan menyebut selain Allah, maka ia telah berbuat kekafiran atau kemusyrikan" (HR. Turmudzi, dan ia nyatakan sebagai hadis hasan, dan dinyatakan oleh Al Hakim shoheh).

Dan Ibnu Mas'ud r.a. berkata: "Sungguh bersumpah bohong dengan menyebut nama Allah, lebih aku sukai daripada bersumpah jujur tetapi dengan menyebut nama selainNya."

Diriwayatkan dari Hudzaifah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kalian mengatakan: 'atas kehendak Allah dan kehendak si fulan', tapi katakanlah: 'atas kehendak Allah kemudian atas kehendak si fulan'." (HR. Abu Daud dengan sanad yang baik).

Diriwayatkan dari Ibrahim An Nakha'i bahawa ia melarang ucapan: "Aku berlindung kepada Allah dan kepadamu", tetapi ia memperbolehkan ucapan: "Aku berlindung kepada Allah, kemudian kepadamu", serta ucapan: 'kalau bukan kerana Allah kemudian kerana si fulan', dan ia tidak memperbolehkan ucapan: 'kalau bukan kerana Allah dan kerana fulan'.

[Di atas adalah petikan Kitab at-Tauhid karya Syeikhul Islam Muhammad bin Abdul Wahhab dalam bab Larangan Menjadikan Sekutu Bagi Allah]

Nampaknya ‘hantu’ dan Melayu itu sendiri masih tidak dapat dipisahkan. Semacam ada satu sinergi antara dua perkara itu. Maka tidak hairanlah apabila Melayu makin layu dan makin jadi macam hantu.

P.S: Teringat kisah debat si Uncle Seekers dan Dr Fadzilah Kamsah dalam rancangan yang dikelolakan Linda Onn. Sesiapa pun boleh menilai. Mana yang lebih bijak dan mana yang lebih ….. Terlalu obses dengan hantu mungkin juga boleh menyebabkan seseorang itu berperangai seperti hantu.

1 comments:

BroSyarief said...
This comment has been removed by the author.