Kenal atau perasan iklan di atas? Si ayah bertanya kepada anak, “Burung apa tu nak?” Berulang kali, dan si anak mula bosan. “Abah ni tak dengar atau buat-buat tak dengar? Apa lagi yang abah nak saya cakap ni? Burung murai! Burung murai tu bah!”
Sambil berlatarkan lagu “Ayah dan Ibu” nyanyian Sudirman, si bapa menyerahkan sebuah diari milik ibu kepada anak. Kenangan lalu berputar dan senario yang hampir sama seperti tadi dipaparkan. Cuma yang berbeza, yang bertanya adalah anak yang masih kecil.
Pertama kali saya menonton iklan ini. Saya dapat rasakan kelainannya. Mesej yang ingin disampaikan memang hebat. Iklan-iklan terbitan Petronas memang kita ketahui hebat. Dan ini bukanlah kali pertama syarikat gergasi petroleum nasional ini mengetengahkan mesej keibu-bapaan sebagai hidangan raya. Kalau anda masih ingat, iklan “7 Beradik” juga menceritakan hal yang sama. Perihal 7 adik-beradik keluar mencari daging lembu semata-mata kerana tidak mahu mengecewakan ibu mereka, dan akhirnya bawa pulang seekor lembu sebagai ganti.
Namun, pada saya, iklan kali mesejnya lebih berunsur Islami.
Pertama, iklan ini membawa mesej mengenai perlunya untuk kita tidak meninggikan suara terhadap ibu bapa dan menyanyangi mereka.
Firman Allah di dalam al-Quran;
وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun).” [i]
Ibn Katsir ketika menafsirkan وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانً berkata; “Di sini Dia menyuruh (mengarahkan) berbuat baik kepada ibu bapa sebagaimana Dia berkata:
أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [ii]
إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ
Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah" bermakna usah biarkan mereka mendengar apa-apa yang menyinggung (perasaan mereka) daripada kamu, walaupun “Ah!” yang mana ia merupakan perkataan kurang menyenangkan yang paling lembut.
Ya. Tanpa kita sedar. “Ah!” itu paling lembut kata-katanya. Apalah “Ah!” itu jika dibandingkan dengan kata-kata makian yang mana memang dapat menyinggung perasaan ibu bapa. Dan bagi kita, mana mungkin “Ah!” itu mampu mencederakan hati dan perasaan ibu bapa. Kita mungkin katakannya tanpa kita sedari seperti, “Ah. Tak nak lah mak. Tak suka.” Atau, “Hah? Apa dia ayah?” Namun Allah jelas sama sekali melarang akan perbuatan tersebut. Adalah begitu sekali Islam menekankan perilaku yang baik kepada ibu bapa.
Berbalik kepada senario dalam iklan tadi, si anak telah meninggikan suara akibat sifat tidak sabarnya. Ini satu fenomena yang biasa dalam masyarakat hari ini. Bukan untuk memperkecilkan mahupun memperkatakan mengenai sesiapa, tapi ianya juga merupakan peringatan kepada penulis sendiri, bahawa perlunya untuk kita mengubah tabiat ini. Mendidik diri agar lebih bersabar dalam melayan karenah ibu bapa, serta berkata-kata dengan perkataan yang baik kepada mereka. Sebenarnya, bukanlah suatu perkara yang sukar untuk bersabar dengan ibu bapa, ataupun untuk berkata kata-kata yang baik. Namun, akibat sudah terbiasa, kita terkadang merasakan ianya seperti suatu yang tiada salahnya.
Kedua, mengenai kasih sayang yang dicurahkan oleh seorang bapa kepada anaknya. Bagaimana dia sanggup menjawab segala pertanyaan anak tanpa jemu. Mungkin kita mempertikaikan adakah wujud seorang bapa yang begitu penyabar? Namun, adalah tidak mustahil untuk adanya bapa yang sebegitu. Kenapa? Kerana kasih sayang seorang bapa adalah begitu mendalam. Mana mungkin seorang lelaki sanggup mengenepikan seorang anak yang lahir daripada benihnya? Pernah jumpa seorang lelaki yang dulunya panas baran, namun boleh berubah menjadi penyabar melayan karenah sang anak? Sanggup bersengkang mata menjaga anak yang sedang sakit? Sanggup berhabis wang kerana melayan permintaan anak? Sifat ini jarang kita temui, kecuali pada mereka yang bergelar bapa.
Dan betapa sifat ini juga dikongsi oleh seorang wanita bergelar ibu, bahkan perasaan sayangnya lebih dari itu. Lebih hebat daripada bapa. Kerana apa? Kerana kalau bukan jasa ibu, manalahlah mungkin si anak mampu lahir ke dunia. Mana mampu untuk sang anak membesar dalam tempoh kritikal hidupnya. Bahkan, mana mungkin untuk sang anak hidup tanpa kasih sayang ibunya itu?
Firman Allah dalam surah Luqman;
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun. [iii]
Kalaulah jasa ibu dan bapa itu begitu kecil, tidak mungkin Allah mewajibkan seluruh manusia untuk berbuat baik kepada ibu dan bapanya. Perihal mengenai ketaatan kepada ibu dan bapa ini bukan sahaja disebut oleh Allah di dalam al-Quran, malah terdapat hadith-hadith yang shahih mengenainya.
عن أبي عبد الرحمن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه قال: سألت النبي صلى الله عليه وسلم: أي العمل أحب إلى الله تعالى ؟ قال: الصلاة على وقتها، قلت: ثم أيٌ ؟ قال: بر الوالدين، قلت: ثم أيٌ ؟ قال: الجهاد في سبيل الله
Dari Abu Abdirrahman Abdullah Ibn Mas’ud berkata: Aku bertanya kepada Nabi SAW: “Apakah amal yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala?” Baginda menjawab: “Solat tepat pada waktunya.” Aku katakan, “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Mentaati kedua ibu bapa.” Aku katakan: “Kemudian apa?” Baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah.” [iv]
Nah! Apa lagi yang ingin katakan mengenai perlunya mentaati kedua ibu bapa? Jasa mereka adalah tidak terkira dan tidak terbalas.
وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا يجزي ولدٌ والداً إلا أن يجده مملوكاً، فيشتريه، فيعتقه
Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Seorang anak tidak boleh (tidak mampu) membalas jasa orang tua kecuali jika dia menemukannya (orang tuanya) dalam keadaan menjadi budak (hamba), kemudian dia beli dan dia merdekakan.” [v]
Apa yang ingin dijelaskan dalam hadith di atas? Tiada lain melainkan untuk menerangkan mengenai bahawa betapa berat dan sukar untuk kita membalas jasa orang tua. Rasulullah membuat perbandingan bahawa, jasa ibu bapa hanya mampu dibalas oleh anak jika dia mampu bertemu dan kemudian memerdekakan orang tuanya yang menjadi hamba.
Adalah mustahil untuk kita pada hari ini untuk menemui senario yang demikian. Jadi, perbandingan yang diberikan oleh Rasulullah SAW mengenai hal tersebut adalah amat jelas; iaitu besarnya jasa ibu bapa dan sukarnya untuk kita membalas jasa serta budi baik mereka.
Maka amat malang sekali bagi mereka yang meminggirkan ibu bapa yang masih hidup. Dan alangkah kasihan bagi mereka yang mengambil jalan mudah untuk meninggalkan serta mengabaikann ibu atau bapa atau kedua-duanya yang telah tua hanya semata-mata tidak mahu melayan karenah mereka. Inilah orang yang kurang sabar yang akhirnya mereka terdiri daripada golongan yang malang.
وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: رغم أنف، ثم رغم أنف، ثم رغم أنف من أدرك أبويه عند الكبر، أحدهما أو كليهما، فلم يدخل الجنة
Sungguh malang, sungguh malang, sungguh malang orang yang sempat hidup bersama ayah ibunya di kalau usia lanjut mereka, salah seorang (daripada mereka) atau kedua-duanya, tetapi tidak beroleh Syurga. [vi]
Apalah sangat pengorbanan kita untuk dibandingkan dengan jasa mereka. Namun, malangnya, masih ramai yang tidak sedar mengenai hakikat ini. Saban hari – dalam arus perdana – kita dihidangkan dengan berita-berita yang tidak menyenangkan mengenai pengabaian kepada ibu bapa. Mengapa ini berlaku? Dan lebih buruk ianya melibatkan golongan yang beragama Islam. Adakah Islam menganjurkan hal ini? Jika dinilai berdasarkan dalil-dalil di atas. Jelas sekali bahawa Islam menghalang dan mengharamkan kita daripada berlaku biadap kepada ibu bapa.
Islam adalah satu agama yang syumul, yakni menyeluruh dan meliputi segala aspek. Ianya tidak meminggirkan satu-satu hal dan hanya memberikan penekanan kepada satu hal yang lain. Namun Islam tertegak hasil daripada penekanan yang sama rata kepada segala aspek; tidak kira samada ianya ibadah, budaya, persekitaran, politik, mahupun aspek yang lain. Dan jika kita nilai, penghormatan dan sikap mengasihi serta menyayangi ibu bapa adalah berkaitan bukan sahaja dengan aspek ibadah, bahkan turut melibatkan konsep budaya. Menghormati dan mengasihi ibu bapa adalah ibadah sebagaimana kita maklum. Namun pada masa yang sama, budaya kita turut menekankan perkara yang serupa. Nilai-nilai murni yang diterapkan oleh budaya dalam menghormati dan mengasihi ibu bapa adalah tidak bertentangan dengan norma-norma Islam. Maka, ianya adalah seperti satu bonus buat kita. Penghormatan dan kasih sayang kepada ibu bapa bukan sahaja ibadah, namun pada masa yang sama, dapat mencerminkan keindahan dan kebaikan akhlaq seorang anak.
Sewajarnya kita mengambil peluang untuk mendampingi ibu dan bapa. Kerana keredhaan Allah itu hanya boleh didapati dengan keredhaan ibu dan bapa. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW;
رضا الرب في رضا الوالدين و سخطه في سخطهما
Keredhaan tuhan (Allah) terletak pada keredhaan ibu dan bapanya, dan kemarahanNya (Allah) adalah terletak pada kepada kemarahan mereka (ibu bapa).[vii]
Dan kisah Juraij wajar menjadi peringatan buat kita. Kisah mengenai betapa pentingnya untuk kita memenuhi hajat ibu dan bapa, dan memperoleh keredhaan mereka. Juraij bukanlah sengaja mengabaikan panggilan ibunya. Namun dia memilih untuk beribadah sehingga akhirnya, menyinggung perasaan ibunya. Akhirnya akibat berkecil hati, si ibu berdoa kepada Allah agar tidak mematikan Juraij sehingga dia melihat wajah pelacur. Juraij diuji oleh Allah, apabila datang pelacur kepadanya, menawarkan batang tubuhnya kepada Juraij. Namun, Juraij enggan dan sang pelacur meninggalkannya. Kisah ini bersambung sehingga pelacur tersebut melahirkan anak hasil hubungannya dengan seorang pengembala kambing. Dan Juraij didakwa sebagai bapa kepada anak tersebut. Biaranya diruntuhkan. Dan dia dipukul. Namun, akhirnya terserlah kebenaran. Apabila bayi tersebut berkata-kata dan menerangkan siapa bapanya yang sebenar.[viii]
Dan sewajarnya kita mengambil iktibar dari kisah tersebut. Mentaati ibu bapa bukanlah satu perkara yang kecil, bahkan, sesuatu yang cukup besar untuk kita ambil berat. Dan mengabaikan mereka bukanlah satu pilihan. Sebagai anak, sewajarnya kita menggunakan setiap detik yang kita perolehi ini dengan berbakti dan mengasihi mereka.
24 Syawal 1428
Zubair al-Awwam
______________________
[i] Surah al-Israa': 23
[ii] Surah Luqman: 14
[iii] Surah Luqman: 14
[iv] Dikeluarkan oleh Imam al-Bukari dalam shahihnya bab “Kelebihan Solat Pada Waktunya” [Hadith 496]
[v] Dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam shahihnya [Hadith 2779]
[vi] Dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam shahihnya bab “Kebajikan, Silaturahim dan Adab” [Hadith 4627]
[vii] Dikeluarkan oleh imam as-Suyuti dan dishahihkan oleh al-Albani dalam Shahih Dha’if Jami’ as-Saghir [Hadith 5820]
[viii] Kisah ini adalah berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dalam bab “Mendahulukan ketaatan kepada Ibu bapa daripada solat sunat”
1 comments:
saLaM~
mmg selalu sgt kiter tak beradab dgn org tua kiter kan? :( nanti bile mereka da takde, baru nak menyesal. syukran akH~
barakallaah feek~
Post a Comment