Taubat


Dalam artikel lepas saya ada membincangkan peri-pentingnya kita memanfaatkan kehidupan yang baik di dunia agar seterusnya dapat kita menjana satu kehidupan yang juga baik di akhirat kelak. Dan mungkin ada yang bertanya,

“Saya seorang yang banyak buat dosa, macam mana saya nak melepaskan diri daripada terus melakukan dosa?”

Atau

“Saya ni banyak buat salah masa hidup ni. Macam mana agaknya akhirat saya nanti? Mesti kena seksa sebab dosa-dosa saya tu kan?”

Taubat

Sebagai manusia, tentu sekali tiada yang terlepas daripada melakukan dosa sewaktu hidup. Yang dipelihara daripada melakukan dosa hanyalah Rasul yang maksum sahaja. Saya sendiri tidak terlepas melakukan dosa dan kesalahan dalam hidup ini. Dan semua orang turut punya satu isu yang sama. Namun, tiadakah ruang untuk mereka yang melakukan dosa ini untuk bertaubat?

Allah itu Maha Adil. Dia tidak akan sesekali membiarkan hambaNya terus berada dalam satu kondisi sahaja.

Allah berfirman,

“Dan Dialah yang menerima taubat hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan,” (42:25)

Begitu indah sekali kehidupan orang yang beriman. Apabila mereka melakukan kesalahan dan kemudian bertaubat. Allah menerima taubat mereka itu.

Syeikh Ibn Utsaimin apabila ditanyakan mengenai taubat menerangkan bahawa,

Taubat adalah kembali dari keadaan maksiat kepada Allah menuju ketaatan kepadaNya.

Mudah sekali untuk kita memahami penerangan Syeikh Ibn Utsaimin tersebut. Untuk bertaubat, kita hanya perlu meninggalkan kemaksiatan dan kembali menuju ketaatan kepada Allah SWT.

Point of no return

Di dalam Islam, tiada wujud istilah seperti point of no return. Setiap keadaan, pasti akan ada jalan kembali atau jalan pulang.

Bagi saya,

“A Muslim will never cross point of no return. As long as he has faith in Allah and he has willing to repent, he will get the chance.”

Muslim yang inginkan perubahan dan mahu bertaubat, pasti akan punya peluang. Point of no return bagi orang-orang yang beriman dengan Allah hanyalah kematian. Kerana hanya kematian yang menjadi pemisah antara manusia dengan taubat. Selagi masih bernyawa, pasti akan punya peluang untuk kembali taat kepada Allah.

Firman Allah,

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: ‘Sesungguhnya aku bertaubat sekarang,’ (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (4:18)

Ibn Katsir menafsirkan ayat tersebut sebagai,

“Allah menyatakan bahawa Dia menerima taubat hambanya yang melakukan kesilapan lantaran kejahilan dan kemudian bertaubat, walau sebelum dia melihat malaikat maut, sebelum rohnya sampai ke kerongkong.”

Di sini jadi bukti bahawa Allah tidak akan membiarkan hidup hamba-hambaNya terbiar sia-sia hatta sebelum kematiannya. Allah memberikan peluang taubat walau sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

Manusia pasti tidak akan terlepas daripada melakukan dosa,dan yang penting adalah cara untuk berinteraksi dengan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Itu yang utama. Dan taubat adalah satu yang perlu bagi orang-orang yang beriman meloloskan diri mereka daripada dosa dan kemaksiatan.

Syeikh Ibn Utsaimin ketika menyambung menjawab persoalan mengenai taubat juga mengatakan,

“Taubat itu wajib atas setiap mukmin,”

Dan beliau menyambung jawapan tersebut dengan sepotong ayat,


“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya.”(66: 8)

Semoga kita semua menghargai nikmat taubat. Kerana sesungguhnya ia merupakan satu anugerah daripada Allah, sebagai tanda keadilan dan kemaafanNya. Seperti yang dikatakan Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat tersebut mengatakan bahawa taubat yang benar-benar murni, yakni taubat nasuha dapat memadamkan dosa-dosa kejahatan yang dilakukan sebelum ini dan membaiki kecacatan orang yang bertaubat, menggalakkan dan membawanya untuk berhenti melakukan dosa yang pernah dia lakukan.

Abu Fadhl

Kuala Terengganu

3 Zulqa’idah 1428


Verses Of Life juga mencadangkan artikel Hidup

0 comments: