Ikhtilat



Ikhtilat? Ketika menghadiri daurah yang lepas, isu ini adalah salah satu – daripada beberapa – isu yang seakan-akan menjadi satu pertikaian, menyebabkan saya ada menulis sebuah artikel untuk menjawab mengenai hal ini. Dan baru-baru ini, ketika melayari weblog seorang peserta daurah, saya terjumpa satu artikel yang amat menarik mengenai ikhtilat. Satu artikel yang menyebabkan saya termangu. Artikelnya ringkas, namun sedikit sebanyak, anda akan merasa seperti ‘ditampar’ kerana kebenaran yang ada di dalamnya. Walaupun artikel tersebut lebih memfokuskan kepada mereka yang bergelar Ustaz dan Ustazah, namun ianya tidak jauh dengan isu yang dihadapi oleh du’at dari kalangan remaja. Di sini saya lampirkan sebahagian tulisan muslimat tersebut tanpa mengurangi walau satu ayat di dalamnya dan saya turut selitkan komentar serta sedikit revisi ke atasnya pada hujung artikel ini.

IKHTILAT IKHWAH DAN AKHAWAT,

SEKSISKAH KITA???

Persoalan mungkin, ikhtilat IKHWAH dan AKHAWAT, Bagaimana dengan kita?. Sesungguhnya menjadi kewajipan bagi seseorang muslimin-muslimat yang beriman kepada Allah dan Rasul itu menjauhi ikhtilat yang haram antara lelaki dan perempuan. Hendaklah seorang wanita itu apabila telah cukup ilmu dan fahamnya dan terlibatnya di dalam dakwah untuk memastikan dirinya jauh dari ikhtilat (percampuran lelaki-perempuan) yang bukan mahramnya.

Perlanggaran batas-batas pergaulan muslimin-muslimat masih terjadi dan hal ini mungkin disebabkan kerana :

1. Belum mengetahui batas-batas pergaulan.

2. Sudah mengetahui, namun belum memahami.

3. Sudah mengetahui namun tidak mahu mengamalkan.

4. Sudah mengetahui dan memahami, namun tergelincir kerana lalai.

Kita mungkin sibuk menghiasi penampilan luar kita dengan menyimpan janggut, berkopiah ataupun dengan tudung labuh warna-warni. Kita sibuk berhiaskan simbol-simbol front Islam namun lupa substans Islam. Kita bersungguh belajar ilmu Islam namun tidak fokus pada pemahaman dan amal.

Untuk bacaan lanjut, KLIK DI SINI.

Komentar:

Suka untuk saya menyelitkan dalil serta pandangan dalam menilai semula apa yang disampaikan di dalam artikel ini.

Tidak Menundukkan Pandangan ( Gadhul Bashar )

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

(An-Nur: 30)

Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan."

Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa, “Ini adalah arahan daripada Allah kepada hamba-hambanya yang beriman untuk menundukkan pandangan mereka daripada melihat apa yang telah diharamkan ke atas mereka. Mereka sepatutnya melihat kepada apa yang dihalalkan kepada mereka, dan menundukkan pandangan mereka. Andaikata pandangan seseorang itu tanpa sengaja melihat sesuatu yang diharamkan, dia perlu memalingkan pandangannya secepat mungkin.”

Kemudian Ibn Katsir membawakan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab shahih beliau daripada Jarir yang bertanyakan kepada Rasulullah SAW,

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نَظْرَةِ الْفَجْأَةِ فَقَالَ اصْرِفْ بَصَرَكَ

“Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang pandangan sepintas lalu. Maka dia menjawab, “Palingkan pandanganmu.”

Hadith Shahih Riwayat Muslim

Selain itu terdapat beberapa hadith shahih lagi yang menerangkan mengenai hal ini. Dan jelas bahawa menundukkan pandangan bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng.

Couple, “Chop awal2 Untuk berkahwin

Tiada istilah couple di dalam Islam. Dan tiada juga istilah “chop awal-awal” untuk berkahwin. Dan tidak ada guna menggunakan istilah “chop” untuk menghalalkan perbuatan “couple” ini.

لم نر للمتحابين مثل النكاح

“Kami tidak melihat di antara dua orang yang saling menyukai melainkan perkahwinan.”

Diriwayatkan oleh Ibn Majah di dalam Sunannya, dinilai sebagai shahih oleh al-Albani di dalam Silsilah as-Shahihah serta Shahih Wa Dha’if Sunan Ibn Majah.

Mereka yang saling menyukai tidak akan berakhir melainkan dengan perkahwinan. Jika benar, anda menyukai seseorang gadis. Maka pinangilah ia. Kerana itu sesungguhnya lebih baik untuk orang yang beriman daripada menjerumuskan diri daripada lembah kehinaan.

Malang sekali bagi mereka yang sudah layak untuk bernikah, tetapi menangguhkan hal ini dengan alasan kononnya ingin mengambil lebih masa untuk mengenali bakal isteri, atau kononnya untuk memilih bakal isteri yang benar-benar sesuai.

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

(An-Nur: 32)

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.

Ibn Katsir ketika menafsirkan

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu”

berkata bahawa “Ini adalah arahan untuk berkahwin.”

Rasulullah SAW berkata;

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

“Wahai pemuda, siapa sahaja dari kalangan kamu yang mampu untuk berkahwin, maka berkahwinlah, kerana ianya adalah lebih berkesan dalam menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan mereka. Siapa yang tidak mampu untuk berbuat demikan, maka berpuasalah, kerana ia adalah perlindungan buatnya.”

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan juga Muslim

Jika sudah mampu untuk berkahwin, maka berkahwinlah. Dan jika tidak, usah sesekali mendekatkan diri anda dengan perkara yang tidak berfaedah.

Berbicara Mendayu-Dayu

Allah telah menjadikan Ummuhatul Mu’minin sebagai contoh terbaik dalam hal ini kepada semua muslimat yang lain.

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا

(Al-Ahzab: 32)

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain jika kamu bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ

“Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja.”

Ibn Katsir menyatakan bahawa As-Suddi dan yang lain berpendapat bahawa ayat tersebut membawa makna ‘jangan bercakap dalam keadaan lemah lembut apabila berbicara dengan lelaki.’

وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوف

“Dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik.”

Ibn Zaid berkata: “Kata-kata yang mulia dan cantik yang diketahui elok (ma’ruf).” Ini bermakna dia (muslimat) sepatutnya berbicara dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya dalam keadaan yang tiada kelembutan (yakni tegas-pent), sebagai contoh, seorang wanita tidak boleh berbicara dengan lelaki yang bukan mahram sebagaimana dia berbicara dengan suaminya.

Wanita perlu bercakap dalam nada yang tegas apabila berbicara dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya. Dan tidak sepatutnya untuk seorang wanita solehah berbicara dalam keadaan mendayu-dayu, lembut, mahupun merengek yang mana sifat tersebut tidaklah layak untuk dibawa olehnya.

Telefon Tidak ‘Urgent’, SMS Tidak ‘Urgent’, Yahoo Messenger/Chatting Yang Tidak ‘Urgent’.

Dan termasuk dalam perkara yang baik bagi seorang mu’min adalah dengan meninggalkan perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan faedah bagi dirinya, mahupun pada diri orang selainnya. Perbuatan ‘telefon’, ‘SMS’ mahupun ‘YM’ atau ‘chatting’ yang tidak mendatangkan sebarang faedah adalah termasuk di dalam perkara yang sia-sia. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan perhubungan antara dua orang; iaitu lelaki dan wanita.

Rasulullah SAW bersabda bahawa,

مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكَهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

“Sebahagian daripada kebaikan keislaman seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.”

Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi dan beliau menghukumnya sebagai hasan. Dan al-Albani menilainya sebagai shahih di dalam Shahih Wa Dha’if Sunan Tirmdizi (2317) dan (2318)

Islam tidak pernah menyempitkan perjalanan da’awah. Namun amat malang bagi mereka yang mempergunakan kemudahan teknologi sebagai satu cara untuk ‘menghalalkan’ ikhtilat. Bukankah lebih baik untuk dimanfaatkan setiap ruang yang ada dalam da’awah ini dengan cara yang betul?

Sekilas lalu mengenai komentar saya pada isi yang ketiga, sikap yang tegas, bukan hanya di dalam bicara. Tetapi juga perlu diterap dalam perhubungan melalui ‘SMS’, ‘YM’, mahupun ‘chatting’. Sikap tegas di sini bermaksud untuk berurusan di atas perkara yang perlu sahaja, dan mengelakkan ‘perbualan maya’ yang meleret-leret dan tak punya manfaat. Tidak perlu untuk berbual-bual kosong yang mana mampu menimbulkan fitnah.

Tinggalkan perkara yang tidak perlu. Amat menakutkan mengenangkan hakikat bahawa kadangkala kita terleka dengan perkara yang bathil sehingga menyebabkan kita terlupa perkara yang perkara yang lebih perlu diutamakan.

Dan peringatan ini tidaklah saya tujukan melainkan kepada diri saya sendiri.Allahua’lam.

Abu Fadhl

4 comments:

shuhada said...

bab ni mmg susah betul nak jg..especially when u commented regarding the sms,ym etc..i always sms/ym my friends(the opposite sex)just to say hi..i better learn to be moderate n only sms/ym them if there's anything URGENT:)

Ariff Arifin said...

assalamu3alaikum shuhada.

Allahua3lam.

perkara yang penting adalah cara untuk berinteraksi dengan masalah-masalah sebegini.

Islam tidak pernah menyusahkan. Akan tetapi penting untuk kita meneliti semula setiap gerak geri kita agar kita tidak terleka.

Dan tidaklah bermakna saya sendiri tidak terlepas dalam permasalahan seperti ini. Semua orang melakukan silap, dan semua punya ruang untuk membaiki diri.

Allahua3lam.

shuhada said...

thanks ariff, i would like to link ur blog to my page, is it ok with u?keep on writing ya.u have a lot of knowledges to share with others.tq.

Ariff Arifin said...

yeah.i'm fine with it.thank you.

terima kasih kerna sudi luangkan masa membaca blog kecil ini.dan terima kasih kerna sudi link-kan blog saya ini.

Allahua3lam.